Tak sejahat disangka - Utusan Malaysia

Tak sejahat disangka

Kim Druzhinin berhasrat untuk menjalin kerjasama dengan penggiat filem dari Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Filem-filem Hollywood, Hindustan dan Korea sentiasa menjadi pilihan utama rakyat Malaysia tidak kira tua dan muda. Tidak terkecuali filem-filem dari Turki yang semakin rancak disiarkan di kaca televisyen. Sikap keterbukaan negara kita ini membuatkan banyak pihak mengambil peluang mempromosi budaya dan bahasa mereka sehingga memberi impak yang besar terhadap sektor pelancongan di negara mereka.

Selain itu, filem-filem dari Mexico, Venezuela dan Arab juga sudah menjadi tarikan. Namun, tidak untuk filem Rusia yang dilihat masih sukar mendapat perhatian daripada penggemar filem di negara ini. Saya melihat perkara ini berlaku disebabkan pandangan serong dan salah faham masyarakat kita terhadap filem Rusia yang kononnya mempunyai unsur-unsur ideologi komunis dan keganasan. Pandangan sebegini terbentuk hasil daripada propaganda filem-filem Hollywood yang sentiasa menggambarkan Rusia sebagai negara yang penuh dengan kejahatan.

Bagaimanapun, tahukah anda bahawa filem-filem Rusia pernah memenangi anugerah Oscar sebanyak empat kali? My Name Is Ivan merupakan filem pertama Rusia yang dihantar ke Oscar pada 1963 sewaktu era Kesatuan Soviet. Filem di era Rusia berjudul Burnt by the Sun pula memenangi anugerah Oscar pada 1994.

PEMINAT

Saya merupakan salah seorang peminat filem Rusia. Bagi saya, filem mereka lebih kepada kehidupan dan berfakta. Saya pernah mencadangkan kepada Pusat Sains dan Kebudayaan Rusia di Kuala Lumpur supaya menayangkan filem Rusia di Malaysia sebagai langkah percubaan. Alhamdulillah, cadangan saya diterima dan filem berjudul Panfilov’s 28 Men dipilih. Filem ini mengisahkan sekumpulan 28 pegawai tentera Soviet yang berjuang menentang segerombolan tentera Nazi Jerman yang sedang menuju Moscow bersama kereta kebal mereka.

Filem ini ditayangkan di Pawagam Mini P. Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pada 24 September lalu dengan kerjasama Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM). Ia dihadiri Duta Besar Persekutuan Rusia di Malaysia, Nayl M. Latypov dan Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid selain selebriti dan penggiat filem tanah air. Filem ini mendapat sambutan yang sangat positif daripada para penonton.

Dalam pada itu, menurut Timbalan Presiden FDAM, Zaki Abdul Rahim, secara umumnya penggiat filem tempatan kurang terdedah kepada perkembangan filem-filem dari Rusia berbanding negara-negara Barat, China, India, Korea, Hong Kong, Thailand dan Indonesia. Apatah lagi untuk mengenali serta mendekati nama-nama penerbit, pengarah, penulis lakon layar dan pelakonnya, walaupun industri perfileman Rusia telah pun bermula selepas revolusi 1917. Ketika itu muncul filem bisu, Strike 1924 diikuti Battle of Potemkin (1925), October (1927) dan Ivan The Terrible (1944).

PELAKON MALAYSIA

“Ternyata filem-filem Rusia lebih bertemakan sejarah, seni, peperangan, kebudayaan dan konflik perang dingin Amerika-Rusia. Hinggakan kita keliru siapa yang lebih benar dalam perjuangan kerana filem Hollywood akan menjadikan rejim Rusia itu musuh dan begitulah sebaliknya jika filem-filem itu terbitan Rusia.

“Betapa filem menjadi wadah untuk manipulasi pemikiran baik dan buruk sangka terhadap sesuatu subjek yang diangkat,” katanya.

Pada Jumaat lalu, saya bercakap dengan pengarah filem Panfilov, Kim Druzhinin. Perbualan selama 40 minit itu berakhir dengan khabar gembira buat para penggiat seni tanah air.

“Bagi kami, penerimaan filem kami di Malaysia adalah sesuatu yang sangat bernilai, apatah lagi ia berkisar tentang sejarah negara kami. Ini juga merupakan satu inisiatif yang baik dalam memperkenalkan sesebuah kebudayaan dan menghubungkan tali persaudaraan,” katanya kepada saya.

TEATER

Kim berasal dari Omsk, Siberia dan merupakan lepasan Akademi Teater di St. Petersburg.

Dalam perbualan itu, Kim melahirkan hasrat untuk bekerjasama dengan penggiat perfileman dari Malaysia.

“Saya juga berminat untuk bekerjasama dengan pelakon Malaysia bagi filem saya pada masa hadapan.

“Mungkin satu hari nanti, kita dapat berbincang tentang cara pengajaran filem antara kedua-dua negara sebagai bentuk perkongsian ilmu. Saya melihat ini merupakan satu potensi besar untuk bekerjasama di peringkat seterusnya,” ujarnya.

Pandangan Kim saya kongsikan dengan beberapa artis tempatan kita. Bagi pelakon dan pengacara televisyen, Hilmy Ashley, kerjasama sedemikian amat baik untuk memperoleh kepakaran teknologi dan pengalaman dari Rusia. Kerjasama dari sektor kreatif ini amat diperlukan sebagaimana Malaysia berjaya menghasilkan beberapa filem bersama negara-negara Asia.

Kim kini sibuk dengan penggambaran filem terbarunya, Litvyak. Filem ini mengisahkan tentang kejayaan juruterbang wanita Rusia terbaik berumur 21 tahun sewaktu Perang Dunia II.

PENULIS ialah pengkaji hubungan Malaysia-Rusia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN