Kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, kerjasama erat UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) di Pahang adalah well tested and strongly proven seperti mana kejayaan cemerlang calon-calon Barisan Nasional (BN) dari UMNO pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, hujung Januari 2019 dan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, awal Julai lalu.
Ini disebut oleh Wan Rosdy yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan BN negeri semasa menggulung perbahasan pada hari terakhir Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga DUN Ke-14, 20 Julai lalu:
“Oleh itu, kerjasama erat kita dalam MN di negeri ini yang bertunjangkan keikhlasan dan kejujuran sesama kita parti-parti berpaksikan Melayu-Islam, UMNO dengan Pas, disokong pula oleh parti-parti bukan Melayu-Islam dalam BN hendaklah diteruskan sehingga menjelang dan melangkaui tempoh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak, insya-Allah.”
Terkesan dengan kata-kata ini, seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang mencelah dan dalam nada menyindir menanyakan kot-kot beliau bersedia melantik seorang ADUN Pas sebagai ahli Exco kerajaan negeri.
Wan Rosdy segera membalas, beliau memang bersedia tetapi Pas menolak. Lalu bangun Andansura Rabu (Pas-Beserah) yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri berkata: “Sebenarnya tidak timbul soal beri laluan ataupun menawarkan jawatan Exco kerana kami tak nak. Dalam erti kata lain, PhD…tak perlulah berpolitik begitu sekali dalam Dewan ini.
“Kita nak majukan negeri. Jadi, kalau kerajaan yang ada dah berjalan dengan baik, kenapa harus ganggu dengan perkara-perkara remeh, yang tak perlukan sebarang pindaan (perubahan)?”
Datuk Seri Sharkar Shamsuddin (BN-Lanchang) pula meminta laluan dan menempelak ADUN pembangkang tersebut: “…bukannya batu api (tapi) ronson. Dan ronson ini, api dia dalam air pun hidup.”
Dialog-dialog terkini ini pun membuktikan kukuhnya persepakatan UMNO-Pas dalam MN Pahang. Kemuncaknya adalah pada sebelah petang apabila kelapan-lapan ADUN Pas bersama-sama 24 ADUN BN dari UMNO dan seorang ADUN BN dari MCA menyuarakan persetujuan kepada sebuah rang undang-undang (RUU).
Malangnya, setelah RUU diluluskan dengan suara majoriti, blok minoriti kelapan-lapan ADUN pembangkang (tidak termasuk seorang yang sedang bercuti) seumpama ‘budak kalah main guli’ tidak dapat menerima hakikat, telah secara biadab keluar Dewan tanda protes.
RUU yang dimaksudkan ialah Enakmen Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang (Bahagian Kedua) (Pindaan) 2020 berkaitan pelantikan tidak lebih lima ADUN (dilantik) tanpa melalui proses pilihan raya.
Dalam tempoh seminggu, dua kebelakangan ini pula, di tempat lain termasuk peringkat nasional, perkara berkaitan pembahagian kerusi sesama anggota MN bagi menghadapi PRU-15 mula diperkatakan. Malah, ada yang dipersepsikan sebagai retak menanti belah tetapi tidak halnya di Pahang.
OUT OF THE BOX
Sudah beberapa kali termasuk wawancara dengan Utusan Malaysia, Wan Rosdy secara konsisten menyebut bahawa sehingga kini, pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang adalah menurut status-quo – yang mana kerusi diduduki UMNO akan diserahkan kepada calon UMNO untuk mempertahankkannya manakala milik Pas, begitulah juga.
Yang lain, sembilan kerusi ketika ini diduduki ADUN pembangkang, tujuh DAP dan dua PKR serta satu MCA. MN dan BN negeri akan berbincang bagi menentukan parti mana dalam kalangan MN dan BN yang akan bertanding kelak.
Demikianlah istimewanya persepakatan dalam MN dan BN negeri di bawah teraju Wan Rosdy. Dan beliau pula mewarisi BN negeri daripada mentornya, Datuk Seri Adnan Yaakob yang pada PRU-14 lepas, ‘mewariskan’ Pahang sebagai hanya satu daripada dua negeri di bawah BN yang terus kekal memerintah.
Menyingkap kembali perihal MN Pahang, ia mula terserlah setelah calon BN dari UMNO memenangi PRK Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari 2019. Ketika itu, cabaran utamanya ialah kerajaan Pusat dikuasai oleh Pakatan Harapan (PH) dan pula, empat PRK pasca PRU-14 sebelum itu dimenangi berturut-turut oleh calon-calon PH.
Dengan formula out of the box, Wan Rosdy meletakkan pertama kalinya dalam sejarah pilihan raya negara, anak Orang Asli sebagai calon BN, Datuk Ramli Mohd. Noor. Pas pula tidak bertanding, sebaliknya memberi sokongan dan bekerja kuat demi persepakatan dalam MN.
Ekoran itulah, calon BN berjaya pecahkan jinx kekalahan pada PRK DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong serta PRK Parlimen Port Dickson sebelumnya.
Seolah-olah kemenangan BN di Cameron Highlands merupakan pemula dan faktor suntikan semangat kepada dua PRK DUN berikut –Semenyih dan Rantau (dimenangi calon BN).
Persepakatan MN Pahang tidak terhenti di situ malah diperkuatkan lagi dengan pertama kali dalam sejarah, penganjuran perhimpunan sehingga 10,000 orang termasuk ahli UMNO dan Pas pada Himpunan Perpaduan Ummah (HPU) di Padang Majlis Perbandaran Kuantan pada 27 April 2019.
Susulan itulah pada 13 September atau empat bulan kemudian, HPU peringkat kebangsaan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Seperti mana di Kuantan yang turut dihadiri oleh kedua-dua Presiden parti –Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang, begitulah juga di PWTC.
Dan, PRK DUN Chini pada 4 Julai lalu seumpama icing on the cake, sebagai pengabsahan kekuatan MN Pahang apabila calon BN sekali lagi menang bergaya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Sejarah inilah yang hendak dijadikan bekalan dan pedoman khususnya dalam aspek kerjasama MN Pahang yang tidak boleh mudah jadi batu api mahupun mengadudombakan seperti mana kata-kata Wan Rosdy tadi: “…yang bertunjangkan keikhlasan dan kejujuran sesama kita – parti-parti berpaksikan Melayu-Islam, UMNO dan Pas, disokong pula oleh parti-parti bukan Melayu-Islam dalam BN, hendaklah diteruskan sehingga menjelang dan melangkaui tempoh PRU-15, insya-Allah.”










