Dalam mendepani serangan wabak Covid-19, kita dianjurkan mengamalkan norma baharu dalam setiap urusan seharian baik dari segi penjagaan kesihatan, cara bekerja mahupun pengurusan ekonomi dan kewangan diri serta keluarga. Namun begitu, unsur rasuah dan salah guna kuasa masih terus menjadi norma biasa dalam kalangan sekelompok anggota masyarakat terutamanya yang diberi kuasa dan kedudukan untuk menjaga kepentingan rakyat serta negara.
Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan laporan rasuah dan salah guna kuasa segelintir anggota penguat kuasa dalam dua agensi penguatkuasaan yang cukup penting iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen. PDRM dilaporkan mengenalpasti lebih 20 anggota, pegawai dan pegawai kanannya yang disyaki mempunyai kaitan dengan individu yang ditahan bagi membantu siasatan sindiket judi dalam talian dan Macau Scam. Manakala Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan menahan 50 orang termasuk 28 pegawai imigresen yang dikatakan terbabit dalam sindiket menyalahgunakan pengesahan cop keluar dan masuk sempadan utama negara dalam satu operasi khas, Op Selat. Ironinya, kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan anggota penguat kuasa bukanlah perkara baharu di negara kita. Hampir setiap hari, ada sahaja laporan penangkapan membabitkan golongan ini dari pelbagai agensi.
Jelas sekali kelompok penjawat awam terlibat masih berpaksikan kepada amalan rutin yang mereka lazimi selama ini apabila rasuah dan salah guna kuasa terus menjadi amalan norma biasa walaupun ia boleh melumpuhkan ekonomi serta mengancam keselamatan rakyat dan negara. Lebih malang lagi, mereka bertindak umpama harapkan pagar, pagar makan padi apabila menyalahgunakan kuasa dan kedudukan yang diberi untuk memenuhi kepentingan peribadi. Dek kerana tamakkan harta, mereka sanggup menganiaya rakyat yang tidak berdosa serta menjual kedaulatan negara.
AMANAH
Jadi budaya rasuah yang telah menjadi norma biasa dalam kalangan segelintir penguat kuasa seperti ini perlu dicegah dan ditangani dengan segera. Hal ini kerana ia membabitkan soal imej serta kredibiliti semua agensi penguatkuasaan dan juga melibatkan soal keyakinan dan kepercayaan anggota masyarakat. Kita tidak mahu tindak tanduk segelintir anggota penguat kuasa seperti ini merosakkan terus imej dan nama baik keseluruhan agensi, umpama nila setitik, rosak susu sebelanga.
Tindakan pertama ialah memastikan semua yang terlibat dikenakan tindakan undang-undang dan tatatertib yang sewajarnya. Mereka dengan jelas telah mengkhianati amanah rakyat dan negara, maka tidak boleh ada sebarang kompromi dalam soal menjatuhkan hukuman yang setimpal. Biar hukuman keras itu juga menjadi peringatan dan iktibar kepada rakan-rakan mereka yang lain.
Saya percaya, amalan rasuah dan salah guna kuasa mereka yang terlibat ini bukan bermula semalam, sebaliknya mungkin sudah menjadi biasa bertahun-tahun lamanya sebelum ini. Cuma hanya baru sekarang kita dapat menghidu perbuatan tersebut dan dapat menangkap mereka. Oleh itu, sebagai langkah susulan daripada kes ini, kita memohon agar semua agensi penguatkuasaan mengambil iktibar seterusnya melaksanakan dengan segera proses pemutihan anggota agar dapat dibersihkan sepenuhnya agensi masing-masing daripada parasit dan pengkhianat seperti ini.
Mereka ini sewajarnya digelar pengkhianat kerana begitu mudah dan rakus mengkhianati amanah yang diletakkan di bahu mereka oleh rakyat dan negara. Malah individu yang sanggup bersekongkol dengan sindiket dan membuka pintu sempadan negara kepada warga asing sewajarnya tidak layak menjadi warganegara bumi bertuah ini.
Agensi penguatkuasaan juga wajar melihat semula sistem penempatan anggota di sesuatu bahagian yang sensitif, ‘panas’ dan terdedah kepada unsur rasuah serta salah guna kuasa. Sewajarnya penempatan di bahagian seumpama itu digilirkan sekerap mungkin agar mereka tidak terlalu lama dan selesa sehingga boleh terlibat dengan rasuah. Malah pemilihan dan penempatan anggota bahagian tersebut juga wajar dilakukan melalui sebuah jawatankuasa tapisan yang bebas dan berintegriti tinggi agar kita dapat memilih dan menempatkan mereka yang benar-benar jujur, ikhlas dan sentiasa menjunjung integriti sebagai amalan hidup. Di samping itu, kita juga mengesyorkan agar semua agensi penguatkuasaan menjadi rakan strategik SPRM agar dapat mewujudkan sistem pemantauan terhadap anggota penguat kuasa secara berterusan.
TEGUR
Dalam pada itu, kita juga memohon agar anggota penguat kuasa turut wajib membudayakan konsep #KitaJagaKita iaitu masing-masing perlu menjaga maruah dan integriti diri, rakan sekeliling serta organisasi masing-masing. Jangan sesekali menggadai integriti diri dan jika didapati ada rakan yang terlibat dalam unsur rasuah dan penyalahgunaan kuasa, segeralah tegur mereka ataupun melaporkan terus kepada pihak atasan agar dapat mencegah perbuatan ini daripada terus berleluasa dalam agensi terbabit. Setiap anggota penguat kuasa perlu sedar betapa rakyat meletakkan harapan yang tinggi dalam menguatkuasakan undang-undang serta melindungi rakyat dan juga menjaga kedaulatan negara. Jadi, janganlah mengecewakan harapan tersebut. Buktikan kita juga boleh berubah ke arah amalan norma baharu yang berpaksikan nilai integriti dan tanggungjawab tinggi.
Tuntasnya, kira berharap setiap agensi penguatkuasaan dan individu anggota penguat kuasa akan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi memastikan rasuah tidak lagi menjadi norma biasa dalam kalangan anggota mereka.
PENULIS ialah Ahli Pemikir Malaysia Corruption Watch (MCW) dan penganalisis isu semasa.










