Salah kalau fikir hutan itu balak - Utusan Malaysia

Salah kalau fikir hutan itu balak

Kesan kerosakan selepas kejadian tanah runtuh berhampiran Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak yang berlaku pada 11 November 2015.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) menjadi satu-satunya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sering bersuara lantang dalam isu alam sekitar. Dalam mendepani cabaran isu alam sekitar, pelbagai persepsi dilontarkan terhadap NGO itu sehingga ada yang menganggapnya propembangkang, mempunyai agenda serang kerajaan dan berkepentingan peribadi.

Menjawab perkara ini, wartawan Utusan Malaysia, ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN mengupas pendirian sebenar Presiden Peka, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil.

Ikuti temu bual yang diadakan di Bentong, Pahang, baru-baru ini:

 

Baru-baru ini kecoh dalam media sosial mengenai pertengkaran antara Puan Sri dan seorang individu sehingga individu berkenaan mengeluarkan kenyataan menelefon Tuhan memanggil hujan sehingga menjadi tular dan perbualan netizen. Komen?

Sebenarnya saya terperanjat besar bila tiba-tiba Sungai Kenoi yang merupakan salah satu sungai Kelas 1 (dalam keadaan semula jadi) yang tidak banyak tinggal di Lentang, tiba-tiba keruh walaupun tiada hujan. Selalu kalau hujan, baru air sungai keruh. Itu pun keruh pasir, tetapi ini keruh lain macam dan saya sebagai aktivis alam sekitar tahu ada pembalakan di atas.

Dengan berjalan kaki, akhirnya saya terperanjat besar apabila nampak pembukaan hutan yang sangat teruk. Apa yang kami takut apabila mereka membalak di atas, kita akan kehilangan banyak khazanah terutama flora dan fauna serta sumber air. Apa yang saya rasa terkilan adalah mereka menggunakan nama-nama orang kenamaan (VVIP) untuk kepentingan mereka. Benda-benda macam ini sepatutnya tidak berlaku dan tidak boleh dibuat lagi.

Apa yang dibimbangi Puan Sri?

Hutan Lentang di sini adalah kawasan yang sangat sensitif. Di sini juga adalah kawasan tadahan air, terletak bersebelahan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak yang ada jajaran gempa bumi. Mereka sudah buka jalan balak sepanjang tiga kilometer. Jadi, kami di sini minta kerajaan terutama kerajaan negeri, tolonglah tengok hutan sebagai khazanah dan bukannya sebagai bank.

Pada 2014, kalau masih ingat, kami telah menulis surat kepada Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan ada pembukaan hutan Simpan Lentang, berlaku pembalakan.

Lepas itu dalam tempoh setahun lebih pada 11 November 2015, terjadinya tanah runtuh yang teruk.Nasib baik tidak ada orang terkorban. Jadi, sampai bila? Takkanlah kita mahu satu malapetaka yang teruk terjadi, barulah kerajaan hendak hentikan benda ini.

Apakah cabaran dalam isu alam sekitar di negara ini?

Masalahnya di Malaysia, kerajaan kita dan masyarakat kita tidak mengutamakan kesejahteraan alam sekitar. Malaysia sangat kaya dengan khazanah alam tetapi mereka tidak mahu menjaga khazanah-khazanah alam yang ada. Mereka tengok khazanah alam sebagai punca untuk mereka buat duit, iaitu pembalakan dan melombong. Sekarang kena berhenti pembalakan kerana hutan kita sudah semakin kurang dan sudah semakin teruk, malah sungai kita sudah makin tercemar.

Jadi, sepatutnya kerajaan lebih prihatin menjaga khazanah alam seperti gazetkan kawasan tadahan air. Air ini untuk kehidupan semua makhluk di dunia. Jadi, kalau kita tidak gazet, nanti macam inilah jadinya. Pembukaaan balak, balak, balak, itulah dia.

Ada yang menyatakan Puan Sri propembangkang?

Saya tidak pro kepada siapa-siapa ahli politik. Sebaliknya saya akan bekerjasama dengan mana-mana ahli politik yang mahu menjaga alam sekitar. Peka tidak ada kaitan dengan mana-mana ahli politik atau mana-mana parti politik. Saya sendiri pun bukan orang politik. Sebagai aktivis alam sekitar, sebenarnya saya sangat sakit hati melihat banyak khazanah alam kita dirosakkan dan dimusnahkan. Saya terima mana-mana ahli politik yang mahu bekerjasama dengan kami kerana ahli politik adalah policy makers (pembuat dasar). Jadi, kami kena bekerjasama dengan mereka.

Bagaimana pula tanggapan yang Puan Sri sering menyerang kerajaan negeri?

Tidak. Kalau kamu baca dalam Facebook Peka, semua negeri saya bercakap. Saya tegur Kelantan, Terengganu, Perak, Kedah, Pulau Pinang. Semua saya tegur kerana saya adalah Presiden Peka, iaitu pencinta alam sekitar yang tidak memihak kepada mana-mana badan politik. Kalau orang kata saya propembangkang, saya boleh saman dia. Tunjukkan bukti.

Sebagai pemilik pusat pelancongan terkenal, ada yang menuduh Puan Sri ada kepentingan?

Macam saya cakap, saya sudah melabur banyak. Saya adalah salah satu pemain industri pelancongan. Jadi, saya ada hak untuk menjaga tempat saya supaya tidak dijahanamkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Pasal mereka ini tidak faham, kita ini buat bisnes dalam alam semula jadi dan kita kena jaga alam semula jadi.

Apa guna kerajaan cakap pasal ekopelancongan, apa guna kerajaan suruh banyak pelancong datang, kalau tempat-tempat alam semula jadi mereka sudah dirosakkan? Jadi tidak guna, siapa hendak datang tempat yang buruk, yang kotor, yang sudah musnah? Siapa hendak pergi mandi sungai yang sudah kotor?

Kenapa tidak bekerjasama dengan kerajaan dalam isu alam sekitar?

Dari dahulu saya hendak bekerjasama dengan mana-mana kerajaan. Di mana kita boleh rancang apa yang terbaik untuk penjagaan alam sekitar tetapi sehingga kini, kami tidak pernah dijemput.

Selalunya kerajaan buat jawatankuasa itulah, inilah tetapi kenapa NGO tidak dijemput? Kenapa kami tidak dijemput? Kerana kami NGO yang selalu turun padang, kami tahu apa yang terjadi terutamanya dalam hutan.

Sekarang dengan satelit yang ada, kami tahu mana-mana pembukaan hutan besar-besaran tetapi masalahnya, kerajaan tidak mahu mendengar cakap kami. Kerajaan fikir hutan itu, balak itu, untuk ekonomi mereka. Itu adalah salah. Malaysia sangat kaya dengan khazanah alam. Kalau kita selalu merosakkan khazanah alam, kita akan jadi miskin. Itu yang saya tekankan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN