SETIAP kali keluar rumah, kami menahan lemas, bersiap siaga, pelitup muka dipakaikan dan cecair pembasmi kuman sentiasa menjadi peneman setia di sisi. Usai urusan, pulang ke rumah pula bermandikan keringat masam dan berlengas. Baru menarik nafas lega akibat gangguan air pada Oktober lalu, kini November, masalah bekalan terganggu lagi.
Amalan harian yang sudah pun sukar di marcapada pasca Covid-19, dibebankan pula dengan gangguan bekalan air di beberapa daerah di Selangor. Kerajaan bertukar bersilih ganti, namun negeri yang pesat membangun dengan kota raya maju lagi metropolis, bagai indah khabar daripada rupa. Mengapakah isu dangkal dan asas ini masih membelenggu bumi Darul Ehsan?
Kegelisahan penduduk dicitrakan dengan omokan pawang-pawang satira menawarkan perubatan metafizikal kepada Jabatan Air Selangor sebagai pengubat gangguan-gangguan bekalan air di negeri itu. Masyarakat sudah muak menunggu penyelesaian rasional yang saban hari masih tidak tiba-tiba.
Pandangan sarwa masyarakat bahawa isu gangguan air ini bukan isu yang baharu. Malahan hanya tiga bulan lalu, bekalan air di 686 kawasan terjejas akibat gangguan air disebabkan oleh pencemaran bau di Sungai Selangor. Sudah tentu sukar untuk diterima akal apabila terlalu banyak gangguan disebabkan oleh pencemaran di sungai sama. Prakarsa kerajaan negeri seperti tumpul dan tidak berdaya untuk membanteras angkara korporat dan konglomerat keparat.
KERETA KUDA
Namun, adakah adil jika kegagalan ini digelong oleh kerajaan negeri semata-mata? Sebelum saya pun turut serta menaiki kereta kuda pawang-pawang satira ini, perlulah diingatkan agar kita membuat keputusan sendiri. Tidak mahu menjadi seperti si luncai terjun dengan labu-labunya. Jadi, bermulalah pengembaraan dalam menelusuri bahasa-bahasa perundangan yang runyam dan rumit.
Perjalanan saya bermula dengan satu akta Persekutuan berjudul Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655). Saya terpanggil dengan Seksyen 3 (1) Akta 655 di mana jelas tertera kuasa eksekutif bagi segala perkara berkaitan bekalan air di seluruh Semenanjung adalah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan. Manakala jika dirujuk Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127), Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melalui Jabatan Alam Sekitar berperanan dalam melindungi sungai dan sumber air awam. Jelas, Menteri Alam Sekitar dan Air juga harus dipertanggungjawabkan ke atas kegagalan urus tadbir yang membawa kepada gangguan bekalan air di mana-mana negeri. Sementelahan pula ada bukti kementerian memandang enteng saranan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dalam usaha menambah keterampilan penguatkuasaan Akta 127.
Aktivis alam sekitar sudah pun mengemukakan cadangan pindaan segera terhadap Akta 127 dengan menambah seksyen baharu yang membolehkan tuntutan kerugian oleh pihak yang terjejas.
Namun, apabila nasi sudah menjadi bubur, dengan sikap acuh tidak acuh, kerajaan yang enggan bertegas, murba juga jadi mangsa.
Pada 3 November lalu, Menteri Alam Sekitar dan Air membuat kenyataan di Parlimen, dari tempoh 1 Januari hingga 30 September lalu, sebanyak 61 premis dibawa ke mahkamah dan dikenakan tindakan kompaun atas kesalahan berkaitan pencemaran air serta pengurusan buangan berjadual. Jumlah keseluruhan denda adalah sebanyak RM 6.1 juta. Ditegaskan bahawa kementerian tidak bersedia untuk memperkenalkan hukuman penjara mandatori bagi pencemar sungai yang tegar, mahupun membenarkan pengguna menuntut ganti rugi daripada pesalah yang mencemarkan sumber air atau syarikat industri.
HAMBAR
Sejujurnya, pendekatan yang diambil oleh kementerian adalah sedikit hambar dan tidak padan dengan permasalahan yang acap kali timbul ini. Ini dibuktikan dengan insiden pencemaran di Rantau Panjang yang berlaku lagi, baru-baru ini. Saya percaya, rakyat sudah jemu dengan cogan yang hanya ralit disorak-sorak sebagai piagam. Kementerian harus mempersudikan penyelesaian yang lebih drastik termasuklah mempertanggungjawabkan konglomerat syarikat air dengan tugas fidusiari agar mereka juga akan memastikan keabsahan bekalan air bagi rakyat.
Sebagai pengitlakan, KASA harus lebih proaktif dan menyambut baik cadangan-cadangan bernas daripada pertubuhan bukan kerajaan, bukannya bersikap reaktif. Bukannya mengambil sikap sudah terhantuk baru hendak tengadah. Lebih-lebih lagi, apakah kementerian masih dilihat muntul dan berkongkalikung melindungi konglomerat syarikat industri air yang tidak efektif? Tuntasnya, kerugian yang diakibatkan oleh pencemaran ini tidak adil untuk dipikul di bahu pengguna semata-mata.
Mungkin sudah tiba masanya bagi rakyat marhaen untuk tidak lagi menunggu penyelesaian dari cabang eksekutif yang sibuk berpolemik dan berantakan, mahupun memasang harapan daripada penggubal perundangan yang tercungap-cungap dan selektif dalam membuat pindaan. Berganjaklah ke cabang kehakiman dan memburu keadilan di situ.
PENULIS ialah seorang peguam litigasi.










