Media tempatan minggu lalu menyiarkan berita mengejutkan tentang siri tangkapan beberapa pegawai tinggi Jabatan Imigresen yang disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah perdagangan manusia dan penyeludupan migran di negara ini.
Mengikut berita itu, 46 individu termasuk 27 pegawai imigresen ditahan dalam serbuan serentak di empat negeri kerana disyaki terbabit dalam sindiket salah guna cop keluar dan masuk di sempadan negara. Serbuan itu, yang dinamakan Ops Selat dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Jabatan Imigresen sendiri, membabitkan serbuan di Putrajaya, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching.
Selain 27 pegawai imigresen, turut ditahan 14 ejen pekerja asing dan lima orang awam (berusia antara 21 hingga 46 tahun) yang dipercayai memainkan peranan sebagai orang tengah dalam operasi haram itu.
Sindiket haram ini menjalankan aktivitinya sejak setahun lalu dan SPRM mengesan pembabitan mereka ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 18 Mac lalu. Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Norazlan Mohd. Razali mengesahkan tangkapan dan siasatan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Tangkapan yang dilakukan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bangunan Sultan Iskandar, Johor membabitkan 10 orang, manakala di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membabitkan 30 orang.
KERETA MEWAH
Pada 21 November lalu, media melaporkan, SPRM menahan tiga lagi pegawai imigresen termasuk seorang berpangkat timbalan pengarah yang bertugas di KLIA berhubung siasatan kes rasuah membabitkan cop sempadan. Ketiga-tiga mereka (berusia antara 38 hingga 54 tahun) ditahan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya selepas dipanggil untuk memberikan keterangan.
Mengikut laporan itu lagi, sehingga kini jumlah yang ditahan SPRM di bawah Ops Selat meningkat hingga 53. Tidak mustahil angka ini bertambah dalam seminggu dua lagi. Lebih RM800,000 wang tunai, 26 kereta mewah dan empat motosikal berkuasa tinggi dirampas dalam operasi berkenaan.
Sindiket dipercayai membabitkan rangkaian aktiviti jenayah penyeludupan antarabangsa khusus dari China, Vietnam, Indonesia dan Bangladesh.
Berita tangkapan pegawai-pegawai imigresen ini mengingatkan pengalaman saya beberapa tahun lalu sewaktu terlibat dalam siri program kesedaran isu pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran yang dianjurkan oleh Institut Akhbar Malaysia (MPI) dan beberapa agensi kerajaan lain dengan sokongan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur.
Pengalaman dalam siri program itu menyedarkan saya bahawa Malaysia telah sekian lama menjadi bukan hanya sebagai negara destinasi (penerima), bahkan negara asal (sumber) dan negara transit kegiatan jenayah merentasi sempadan ini. Mengikut laporan Trafficking in Persons (TIP) yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara AS pada 26 Jun lalu, Malaysia masih lagi gagal mencapai standard minimum untuk membasmi jenayah pemerdagangan orang ini walaupun telah mengambil ‘langkah yang signifikan’ ke arah itu.
PROSIDING
Mengikut Laporan TIP itu – Corruption and official complicity facilitated trafficking and impeded anti-trafficking efforts. The government did not report convicting any complicit officials during the reporting period. The government did not report initiating prosecutions against any of the 600 immigration officials it reassigned in 2017, including seven who were arrested, for their alleged involvement in four smuggling networks that operated at the Kuala Lumpur International Airport, which may have facilitated trafficking” (https://my.usembassy.gov/our-relationship/official-reports/2020-trafficking-in-persons-malaysia/)
Laporan itu menyebut tentang rasuah dan penglibatan di peringkat pegawai, kegagalan menjalankan prosiding terhadap mana-mana orang dalam kalangan 600 pegawai imigresen yang ditukarkan tempat bertugas pada 2017, termasuk mereka yang ditangkap kerana terlibat dalam sindiket penyeludupan orang di KLIA.
Dalam perenggan akhirnya, Laporan TIP itu menyatakan – Official complicity continues to undermine anti-trafficking efforts… Corrupt immigration officials facilitate trafficking by accepting bribes from brokers and smugglers at border crossings, including at airports. Some government officials profit from bribes and direct involvement in extortion from and exploitation of migrants.
Pendedahan media tempatan mengenai siri tangkapan melibatkan pegawai tinggi Jabatan Imigresen, minggu lalu itu mengesahkan apa yang terkandung dalam laporan TIP itu, sekali gus membuat saya sedar bahawa ‘penyakit’ lama kita sekian lamanya ini belum sembuh atau bertambah baik seperti diimpikan, bahkan sebaliknya menjadi lebih parah lagi.
PALING BAWAH
Disebabkan keadaan yang buruk ini, Malaysia masih lagi ditempatkan di Tier 2 Watch List dalam senarai (ranking) laporan TIP itu. Kita tidak bergerak, kekal di tangga itu selama tiga tahun berturut-turut. Ia bukan sesuatu yang boleh kita banggakan. Jika kita gagal berbuat sesuatu untuk memperbaiki keadaan, jangan hairan jika tahun depan kita jatuh ke tingkat paling bawah, Tier 3.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung (KPISM), Norhisham Murujan mencadangkan jumlah pegawai integriti jabatan yang mempunyai sijil Certified Integrity Officer (CeIO) ditambah lagi, selain diambil tindakan segera memperkemas prosedur operasi standard (SOP) dan membangunkan Pelan Anti Rasuah Jabatan Imigresen yang menyeluruh, serta skim latihan lebih mantap lagi.
Bolehkah imej Jabatan Imigresen dipulihkan? Mengikut KPISM, ia boleh dilakukan sekiranya tiga strategi tersebut dapat dilaksanakan – iaitu tindakan dalaman, pencegahan dan pendidikan berterusan mengenai integriti dalam penguatkuasaan, sambil memastikan ‘ruang dan peluang perlakuan rasuah ditutup sepenuhnya.’
Dalam portal rasmi Jabatan Imigresen, saya temui dokumen setebal 38 halaman bertajuk Kod Etika dan Tatakelakuan Jabatan Imigresen Malaysia. Hendaknya apa yang dikata boleh dikota sepenuhnya.
DATUK Salleh Buang ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia.










