Netizen masih belum insaf - Utusan Malaysia

Netizen masih belum insaf

Tidak keterlaluan untuk dikatakan, pada hari ini kita hampir tidak boleh hidup tanpa media sosial. – GAMBAR HIASAN/AMIR IRSYAD OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) baru-baru ini mendedahkan telah menerima sebanyak 178 Laporan Maklumat Pertama (FIR) berkaitan kesalahan penyalahgunaan media sosial bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini berbanding hanya 139 dalam tempoh sama, tahun lalu. Statistik ini menunjukkan aktiviti salah guna dalam kalangan pengguna media sosial yang lebih dikenali sebagai netizen semakin meningkat dan membimbangkan. Malah kita percaya, kes salah guna media sosial ini sebenarnya jauh lebih banyak daripada apa yang direkodkan secara rasmi oleh SKMM. Ini kerana tidak semua salah laku dilaporkan di samping si pelaku pula sangat licik dalam mengaburi mata pihak berkuasa.

Hakikatnya, aktiviti salah guna media sosial dalam kalangan rakyat kita seperti memuat naik, berkongsi dan menyebarkan berita palsu, kandungan jelik, lucah serta untuk pelbagai aktiviti propaganda politik dan perkauman cukup membimbangkan. Justeru, aktiviti penyalahgunaan media sosial ini perlu ditangani dengan lebih serius dan agresif melalui inisiatif bersasar supaya dapat membentuk dan melahirkan netizen yang berintegriti.

Secara umumnya, media sosial merujuk kepada saluran komunikasi dalam talian yang membolehkan netizen berinteraksi dengan mudah secara bebas, berkongsi dan membincangkan maklumat menggunakan gabungan elemen-elemen multimedia terdiri daripada teks, gambar, video dan audio. Antara media sosial yang popular ialah Facebook, YouTube, Twitter dan Instagram.

Untuk rekod, secara keseluruhannya dianggarkan di seluruh dunia terdapat 2.77 bilion pengguna media sosial di mana Facebook sendiri mempunyai 2.27 bilion pengguna dan Instagram (1 bilion pengguna). Malah, Digital 2019 melaporkan, Malaysia menduduki kelompok kelima tertinggi di dunia dan tempat teratas di Asia Tenggara dalam penembusan media sosial mudah alih. Ironinya, dek kerana kelebihan dan keluasan rangkaian komunkasi seperti inilah, ramai yang mula mengambil kesempatan dan menyalahgunakan media sosial untuk pelbagai agenda dan tujuan tidak betul.

PROFIL TINGGI

Justeru, kerajaan perlu mengambil inisiatif untuk mendidik dan melahirkan pengguna media sosial yang berintegriti. Hal ini kerana walaupun pihak berkuasa sentiasa mengambil tindakan penguatkuasaan, namun aktiviti salah guna media sosial kelihatan semakin berleluasa dan terlalu sukar untuk dikawal sepenuhnya. Jelas sekali tahap kesedaran dalam kalangan netizen masih rendah dan belum mampu menginsafkan mereka.

Antara kes berprofil tinggi membabitkan penyalahgunaan media sosial di negara kita ialah penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW, agama Islam serta institusi diraja di samping usaha pihak tertentu untuk mencetuskan perbalahan antara kaum melalui penyebaran kandungan yang sensitif sehingga menyinggung hati dan perasaan sesuatu kaum.

PERANG SIBER

Akibatnya, kita dapat lihat betapa media sosial bertukar menjadi medan perang siber apabila anggota masyarakat yang tidak berpuas hati serta marah dengan isu dimainkan oleh pihak tidak bertanggungjawb ini mula saling berbalas komen sehingga mencetuskan perbalahan yang panjang. Lebih membimbangkan apabila perbalahan yang bermula di alam siber berpanjangan sehingga ke alam nyata. Ini bukan sahaja menganggu-gugat ketenteraman awam, malah boleh merobek keharmonian antara kaum serta mengancam keselamatan negara.

Oleh itu, kita perlu fokus kepada inisiatif untuk melahirkan netizen yang berintegriti dan bertanggungjawab agar media sosial tidak lagi digunakan sebagai platform untuk menyebarkan kandungan berunsur prejudis terhadap kaum, agama, jantina, seksual atau keganasan. Kita boleh mulakan dari anak-anak di sekolah kerana bilangan remaja yang menggunakan media sosial semakin meningkat.

KEMPEN

Misalnya, guru boleh membantu mendidik anak murid tentang keperluan menjadi seorang netizen yang bertanggungjawab dan berintegriti. Majikan di sektor awam dan swasta juga boleh memainkan peranan dengan menyedarkan pekerja masing-masing tentang etika penggunaan media sosial menerusi penekanan kepada soal integriti. Di samping itu, pihak kementerian dan agensi berkaitan juga boleh secara berterusan mengadakan kempen etika penggunaan media sosial agar anggota masyarakat faham tentang keperluan soal integriti serta sedar kesan dan akibat jika kita menyalahgunakan media sosial.

Harus diingat, soal integriti dan etika ini membabitkan aspek sikap dan tingkah laku netizen yang tidak mungkin dapat diubah dalam sekelip mata. Namun jika kita dapat mengadakan kempen secara agresif dan bersasar, perubahan tersebut boleh berlaku secara berperingkat dan pada akhirnya kita dapat melahirkan pengguna media sosial yang lebih beretika dan berintegriti.

Hakikatnya, media sosial sudah menjadi sebahagian daripada hidup kita dan tidak keterlaluan untuk dikatakan, pada hari ini kita hampir tidak boleh hidup tanpanya. Oleh itu, tidak mungkin kita dapat menghalang atau menyekat penggunaan media sosial. Justeru, kita berharap pihak berkuasa akan terus melipatgandakan usaha bagi memberi kesedaran kepada semua lapisan anggota masyarakat tentang keperluan untuk menjunjung aspek integriti ketika menggunakan media sosial. Marilah kita berganding bahu menghentikan perbuatan menyalahgunakan media sosial.

Perubahan perlu bermula dari diri kita sendiri.

PENULIS ialah pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN