Nasi kandaq Penang sampai depan pintu! - Utusan Malaysia

Nasi kandaq Penang sampai depan pintu!

Rasa nasi kandar dikatakan lebih lazat jika digaulkan sekali dengan pelbagai jenis kuah. – Utusan/Fauzi Baharudin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA sedang berbual bersama rakan-rakan tentang perancangan bercuti selepas pandemik Covid-19 berakhir, pelbagai idea tercetus.

Ada yang bercadang untuk menghabiskan cuti tahunan ke luar negara, ada juga mahu bercuti di dalam negara bagi memangkin semula ekonomi yang menguncup akibat pandemik itu.

Salah seorang daripada kami mengutarakan idea untuk ke Pulau Pinang kerana negeri tersebut dikenali dengan pelbagai tarikan pelancongan termasuk variasi port makanan tempatan seperti nasi kandar yang cukup sinonim dengan Pulau Mutiara itu.

Entah bagaimana, dalam sesi perbualan itu, salah seorang daripada kami berempat rasa teringin untuk pekena nasi kandar selepas terliuq mendengar senarai kedai makan di Pulau Pinang yang dimasukkan dalam senarai wajib disinggahi.

Namun, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), maka impian untuk menikmati nasi kandar original dari negeri itu terkubur begitu sahaja.

Sambil menikmati secawan kopi panas bernilai RM1 di pantri pejabat, tangan leka scroll Facebook Nasik Kandaq Transporter (Penang to KL), iaitu perkhidmatan yang membekalkan nasi kandar dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur.

FOOD HUNTER

Perkhidmatan tersebut menjadi tular sejak beberapa bulan lalu ketika penularan pandemik Covid-19. Ia tular selepas individu dikenali sebagai Food Hunter memperkenalkan laman rasmi Nasik Kandaq Transporter yang dikendalikan Mamu Zir di grup WhatsApp dan Facebook.

Kami pun memesan empat bungkus nasi kandar untuk dinikmati pada minggu depan. Saya terkejut kerana kita boleh memesan dan mereka akan membawa nasi kandar dari Pulau Pinang terus ke Lembah Klang!

Saya bukanlah penggemar nasi kandar. Jika ke Pulau Pinang tidak pekena nasi kandar pun tidak kisah. Tak kebuloq orang kata, namun teringin juga mencuba perkara-perkara tular. Kononnya nak in trend.

Terbayang keenakan nasi kandar bersama kuah campur yang dihidangkan dengan pelbagai lauk seperti ayam goreng, daging hitam, bendi dan telur rebus.

Mereka membuka pesanan setiap Isnin, Selasa dan Rabu dengan beberapa pilihan restoran yang berbeza. Makanan yang dipesan akan dihantar pada Sabtu, Ahad dan Isnin.

Antara restoran nasi kandar yang termasuk dalam senarai tempahan ialah Nasi Kandar Imigresen, Nasi Kandar Kampung Melayu dan Nasi Kandar Deen Jelutong.

Cara nak memesannya mudah. Anda hanya perlu mengisi Google Form yang diberikan, buat pilihan lauk-pauk dan buat pembayaran secara dalam talian.

Beberapa check point sekitar Lembah Klang seperti Setiawangsa, Bandar Sri Permaisuri, Kajang, Shah Alam dan Putrajaya dijadikan lokasi untuk pembeli mengambil nasi kandar yang dipesan.

Cubaan pertama menggunakan perkhidmatan ini, saya berpuas hati kerana keenakan nasi kandar yang dibawa dari Pulau Pinang masih ‘padu’ dan segar walaupun dibungkus selama beberapa jam.

Pelik juga bagaimana saya boleh makan nasi yang diperap dengan lauk sebegitu sedangkan saya bukanlah golongan yang makan nasi dengan kuah yang banyak, sebaliknya lebih menggemari makanan yang kering-kering.

PENGANTAQ

Harganya sangat berpatutan, jauh lebih murah jika memandu sendiri ke sana. Harga sebungkus nasi kandar bermula daripada RM10 mengikut pilihan lauk-pauk, tidak termasuk caj penghantaran.

Mereka turut menawarkan servis dikenali sebagai pengantaq (penghantar). Anda tidak perlu ke lokasi tersebut, sebaliknya pengantaq akan menghantar makanan terus di hadapan pintu rumah dan anda perlu membayar caj penghantaran itu.

Bak kata otai nasi kandar, makan nasi kandar seeloknya kuah campoq atau makan secara bungkus dan diperam untuk seketika. Tujuannya bagi menyerap campuran kuah tersebut bersama nasi dan lauk supaya rasanya lebih padu atau orang Penang habaq, lagi surr.

Tidak lupa, tukang cedok kuah atau lebih dikenali sebagai joki perlu mempunyai kemahiran untuk mencampur kuah kerana faktor itu sangat diteliti peminat tegar nasi kandar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN