MyBrain 15 realisasi agenda bangsa - Utusan Malaysia

MyBrain 15 realisasi agenda bangsa

Sahol Hamid Abu Bakar (depan, empat dari kanan) bersama pelajar University of Stuttgart, Jerman pada 2018.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDIDIKAN ialah wadah untuk mewujudkan bangsa yang bijaksana dan dihormati oleh bangsa-bangsa lain di seluruh dunia. Tanpa pendidikan, golongan yang lemah akan terus dihina dan diperlekehkan oleh mereka yang kaya dan maju waima bangsanya sendiri.

Menurut bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Emeritus Tan Sri Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar, pendidikan adalah aspek penting dalam kehidupan. Justeru, langkah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mewujudkan semula MyBrain 15 bagi memperbanyakkan pemegang gelaran doktor falsafah (PhD) pada masa depan amat dialu-alukan.

MyBrain 15 mampu meramaikan graduan PhD bagi memastikan agenda pendidikan anak bangsa tidak terbantut akibat kekurangan kelompok tersebut terutama orang Melayu. Sehubungan itu, beliau yang kini mengajar di University of Stuttgart, Jerman memohon agar peruntukan untuk MyBrain 15 ditingkatkan bagi meramaikan pemegang PhD.

Mengulas lanjut, jelas beliau, keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menamatkan program MyBrain 15 adalah suatu tindakan yang tidak sepatutnya dan merugikan. Memang ada yang gagal di dalam program tersebut tetapi kebaikan yang dituai pada hakikatnya lebih tinggi. Kegagalan pelajar PhD mungkin disebabkan kelemahan penyelia, bukan salah pelajar sahaja.

IR 4.0

Dalam menuju negara yang diterajui Revolusi Perindustrian (IR) 4.0, pemegang PhD sama ada dalam bidang pendidikan atau pekerjaan perlu digandakan. Kerajaan perlu menyediakan peruntukan khas untuk memperkasa MyBrain 15 secara lebih teliti pelaksanaannya.

Bagi memperkasa MyBrain 15, Sahol Hamid yang berpengalaman sebagai penyelia program PhD berkata, penyelia juga tidak boleh dibiarkan begitu sahaja sebaliknya perlu dipantau oleh pihak atasan iaitu naib canselor.

Ini kerana pelajar yang gagal mungkin berpunca daripada pihak universiti atau kesilapan penyeliaan. Sepatutnya ada usaha untuk memantau para penyelia dan naib canselor perlu memainkan peranan. Pemantauan secara sistematik akan membolehkan pelajar menamatkan pengajian dalam tempoh ditetapkan.

Berdasarkan pengalaman, beliau pernah menasihatkan universiti di India dan Turki untuk menggunakan kaedah-kaedah tertentu yang beliau sendiri pernah lakukan demi memastikan pelajar berjaya walaupun ada juga beberapa peratus yang gagal kerana tidak mampu menghabiskan kursus PhD mereka.

Selain MyBrain 15 yang perlu diwujudkan dengan bajet khas, beliau melihat cadangan-cadangan lain berkaitan pendidikan dalam Belanjawan 2021 adalah baik dan komprehensif. Belanjawan 2021 bukan sekadar pelengkap misi dan visi Kementerian Pengajian Tinggi sebaliknya memupuk nilai keusahawanan dalam diri para pelajar universiti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN