Labun tidak lagi di jalanan. Sehingga kini, Labun mempunyai lebih 14,000 pengikut di media sosial. Ini cerita kucing jalanan yang berjaya diselamatkan di kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor. Nasibnya kini lebih sejahtera bersama kucing-kucing jalanan lain yang diberi nafas baharu oleh sukarelawan yang kebanyakannya merupakan ahli Kelab Abu Hurairah.
Kelab tersebut ditubuhkan bagi memberi sokongan kepada haiwan jalanan terutama kucing. Inisiatif ini bermula pada 2011 apabila sekumpulan pelajar menyelamat dan merawat serta mendapatkan penjaga angkat untuk kucing jalanan di kampus mendapat perhatian pengurusan tertinggi UIAM. Usaha murni itu membawa kepada penubuhan kelab tersebut secara rasminya pada 2019.
Dalam tempoh kurang setahun, sebanyak 89 ekor kucing jalanan di dalam kampus UIAM diselamatkan melalui beberapa program termasuk Catch-A-Cathon dan Catday. Program-program ini adalah berkonsepkan rescue-neuter-rehome (RNR). Kucing-kucing yang diselamatkan akan dirawat sebelum diserahkan kepada penjaga baharu.
Seekor kucing yang diberi nama Oren adalah antara yang bertuah kerana dipilih oleh Rektor UIAM, Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak sendiri sebagai penjaga angkat.
Program seumpama ini merupakan sebahagian aktiviti Greater Gombak Cat Shelter yang diketuai pensyarah UIAM, Zarinah Jan Yusof Khan di bawah kendalian Pusat Kepakaran Serantau Gombak (RCE G2). Ini merupakan fasa pertama projek Pusat Transit Perlindungan Haiwan yang kini dalam usaha mengumpulkan dana.
Tanpa pengurusan dan pendidikan sewajarnya, populasi kucing jalanan yang semakin meningkat akan turut menyumbang kepada isu-isu lain seperti pengurusan najis dan jangkitan penyakit. Kurangnya pemahaman tentang krisis ini serta ‘hilangnya’ rasa belas kasihan terhadap kucing sudah cukup untuk mengganggu keseimbangan ekosistem.
SIFAT KASIH SAYANG
Di tengah-tengah cabaran pembangunan mampan, hadir pelbagai kategori manusia dan penerimaan mereka terhadap haiwan jalanan seperti kucing adalah berbeza-beza. Yang membimbangkan adalah golongan pelampau yang sering mencederakan atau lebih zalim, membunuh tanpa berperikemanusiaan atas dasar kebencian.
Justeru, selari dengan agenda UIAM ke arah pembelajaran transformatif dan memanusiawikan pendidikan, penerapan nilai kasih sayang melalui pendidikan dapat membantu melahirkan insan sejahtera yang membawa kebaikan.
Ini adalah sebahagian nilai Khair (khalifah, amanah, iqra dan rahmatan lil alamin) yang secara mudahnya boleh diertikan, setiap daripada kita adalah pemimpin (khalifah) yang menunaikan kepercayaan diberikan dengan penuh integriti (amanah) berbekalkan ilmu dipelajari secara berterusan (iqra) agar menjadi insan penyayang membawa kebaikan kepada sekalian alam (rahmatan lil alamin). Usaha berterusan penerapan nilai Khair tidak terhad kepada komuniti di dalam kampus sahaja tetapi turut melibatkan komuniti luar.
GREATER GOMBAK CAT SHELTER
RCE G2 melalui Kelab Abu Hurairah UIAM dan para sukarelawan sentiasa menggandakan usaha memupuk kesedaran dan kepentingan tindakan bersama dalam memelihara kebajikan kucing jalanan khususnya dan haiwan jalanan lain secara amnya.
Antaranya menubuhkan Greater Gombak Cat Shelter bagi menghimpunkan kucing-kucing jalanan yang terbiar dan diberikan perlindungan.
Greater Gombak Cat Shelter yang dibina di Mahallah Aminah mampu menempatkan sebanyak 60 hingga 70 ekor kucing pada satu-satu masa. Pusat perlindungan kucing ini mula beroperasi Oktober lalu dengan dengan mod rintis dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang menghambat.
Kejayaan membina Greater Gombak Cat Shelter memperlihatkan perbezaan agama tidak menjadi penghalang malah nilai kemanusiaan insan sejahtera menjadi penghubung kerjasama individu dan komuniti dengan RCE G2 yang beroperasi di UIAM.
Sikap pemurah individu digabungkan bersama sukarelawan, ahli kelab, warga kampus, kakitangan UIAM serta kerjasama rakan strategik menjadikan Greater Gombak Cat Shelter satu kenyataan.
KERJASAMA GLOBAL
Konsep jalinan kerjasama sebegini merupakan elemen utama RCE G2 yang kini memiliki jaringan global melibatkan lebih 175 pusat kepakaran serantau di seluruh dunia. Seiring dengan semangat ini, projek Greater Gombak Cat Shelter direalisasikan hasil kerjasama institusi pendidikan, agensi kerajaan (termasuk luar negara), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat dan perniagaan serta komuniti.
Walaupun inisiatif seperti ini menelan kos perbelanjaan yang tinggi, berbekalkan semangat belas kasihan terhadap haiwan, usaha murni ini perlu diteruskan dan sumbangan yang diterima daripada pelbagai organisasi dan individu dalam pelbagai bentuk termasuk sumbangan kewangan, makanan, perubatan serta penjagaan kesihatan kucing dan khidmat sukarelawan demi memastikan kelestarian projek ini berterusan.
CALON RCE AWARD 2020
Projek tersebut juga dicalonkan untuk RCE Awards 2020 anjuran United Nations University (UNU). Anugerah tersebut merupakan projek di bawah RCE G2 yang dipengerusikan bersama oleh Rektor UIAM dan Pengerusi Pertubuhan Perkhidmatan Sosial dan Pembangunan Komuniti Daerah Gombak (PSPK). Pemenang untuk anugerah itu dijangka diumumkan Disember ini. Namun, apa yang lebih penting dari itu adalah usaha berterusan dalam memelihara kebajikan haiwan terutama kucing jalanan. Pendidikan dan pemupukan nilai manusiawi untuk bersikap penyayang terhadap makhluk ciptaan Tuhan perlu dipupuk sejak dari awal lagi.
Oleh itu, janganlah kebencian terhadap sesuatu makhluk itu menyebabkan kita untuk berlaku tidak adil kerana sesungguhnya keadilan itu membawa kita dekat dengan Tuhan.
Dua tiga kucing berlari,
Mana nak sama si kucing belang,
Kucing jalanan sama dilindungi,
Membina masyarakat Malaysia penyayang.
PENULIS ialah Pegawai Tadbir di Sejahtera Centre for Sustainability and Humanity, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), juga bertindak sebagai Sekretariat Pusat Kepakaran Serantau Gombak (RCE G2)3










