Kita senasib Truman Burbank - Utusan Malaysia

Kita senasib Truman Burbank

KEADAAN kita sekarang adalah seperti dalam filem The Truman Show apabila kehidupan peribadi dipaparkan secara langsung kepada umum.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 1998 pengarah, Peter Weir menghasilkan filem The Truman Show yang dijenamakan sebagai komedi. Dilakonkan oleh ikon komedi, Jim Carrey. Maka sebahagian besar penonton melihat The Truman Show sebagai komedi yang memberikan hiburan dan bahan untuk bergelak ketawa.

Filem ini mengenai program televisyen yang menyiarkan secara langsung kehidupan peribadi seorang lelaki, Truman Burbank. Dia dipantau oleh 5,000 kamera dalam sebuah rumah 24 jam sehari. Truman Burbank tidak ada ruang peribadi, semua mengenai gerak-gerinya dipaparkan kepada umum.

Saya tidak bermaksud untuk mengulas filem ini tetapi hanya memetik mengenai media yang mengambil ruang peribadi manusia pada era ini di mana pengaruh dan kebergantungan pada teknologi komunikasi berada di kemuncaknya.

Untuk rekod, ketika The Truman Show ditayangkan, belum wujud istilah ‘TV realiti’, internet pula belum menyeluruh di dunia, teknologi komunikasi tercanggih pun hanya e-mel. Media sosial memang jauh sekali. Ketika itu mereka yang ada akaun e-mel sudah dikira orang moden.

Maka isu di mana ruang peribadi diceroboh dengan pemantauan kamera siaran langsung ke seluruh dunia tidak lebih sebuah idea futuristik. Truman Burbank dibayangkan sebagai mangsa pencerobohan ruang peribadi oleh media.

Malah, ketika itu belum wujud globalisasi media rentas dunia – jarak antara Kuala Lumpur dan New York masih ‘jauh’ berbanding sekarang yang terlalu ‘dekat’.

MANGSA

Filem ini dianggap pemula konsep ‘TV realiti’ di Amerika Syarikat (AS) dengan munculnya program Survivor, Idols dan Big Brother pada awal 2000 serentak alaf baharu. Kemudian negara kita pun diserang sindrom ‘TV realiti’ pada hal kebanyakan entah apa-apa.

Siapa menyangka dua dekad kemudian, kita ialah ‘Truman Burbank’ yang ruang peribadi diceroboh atau menunggu masa untuk dilakukan demikian oleh teknologi. Ini selari dengan menggelegaknya media sosial – Facebook, Instagram dan beberapa yang lain.

Kalau dulu penderitaan Truman Burbank menjadi bahan yang menghiburkan kita, tetapi dilihat dalam konteks semasa, wacana filem ini menjadi lebih besar tentang ruang peribadi. Adakah kehidupan pascamoden tidak memerlukan ruang peribadi?

Itu boleh diwacanakan kerana pencerobohan ruang peribadi sudah dianggap satu normal baharu. Malah telah wujud kecenderungan membuka ruang peribadi kepada umum – kalau boleh semuanya dibuat secara langsung dalam media sosial.

Sekarang ini kehidupan kita dipantau oleh media sosial dan kamera litar tertutup (CCTV). Dengan teknologi kamera telefon pintar resolusi tinggi, hanya masa yang menentukan bila kita akan dimangsakan seperti Truman Burbank.

Semua gerak-geri kita dilihat dan dipantau – tidak kurang juga rakaman CCTV disebarkan dengan sengaja dalam media sosial. Atas alasan keselamatan, hidup kita dikelilingi CCTV. Malah ada yang memasang di segenap sudut di dalam kediaman atau pejabat. Ini berpotensi menjadi tontonan umum kerana sindrom ‘gila viral’ juga menjadi satu normal baharu.

MUSUH

Memang tujuannya CCTV untuk kebaikan. Misalnya, dalam kes samun, teknologi ini membantu mengenal pasti pelaku insiden berkenaan. Tetapi pada sisi lain, kaum wanita khususnya sudah tidak bebas lagi membetulkan baju, kain atau seluar di tempat tersorok. Manusia di sebalik kamera tersembunyi sentiasa memerhati.

Ini membuat ruang peribadi kita semakin kecil dan hilang. Rakaman yang sebenarnya sulit dan sangat peribadi tidak dijamin kerahsiaannya kerana kurang amanah sesetengah pihak.

Maka disebabkan nipisnya sikap amanah, potensi untuk terlepas kemudian dimuat naik dalam media sosial adalah besar. Jadi, apakah bezanya kita dengan Truman Burbank?

Pada masa sama banyak yang teruja hingga membiarkan kehidupan peribadi dikawal oleh media sosial. Ini dilakukan dengan sedar kerana teruja menjadi popular. Kelakuan yang mengaibkan dan sangat peribadi pun sengaja ditularkan dalam media sosial. Tujuannya untuk popular.

Pada era ini, kemajuan teknologi media tidak selalunya menjadi kawan, ada kalanya menjadi musuh yang merampas ruang peribadi yang sepatutnya kita nikmati sebagai manusia merdeka.

Ekosistem media berkembang sangat pesat. Hampir semua orang mempunyai kamera video. Mereka juga mempunyai keupayaan merakam apa sahaja dan memuatkan dalam media sosial tanpa usul periksa.

PERSEPSI

Bagaimana seksanya Truman Burbank, begitu juga kita pada era yang sangat kritikal kerana kemajuan teknologi yang tidak dipimpin oleh pengguna yang beretika.

Pemilik akaun media sosial yang tidak bertanggungjawab akan mendedahkan perkara peribadi kepada umum. Ketika stesen televisyen sengit bersaing dengan media sosial, inilah program The Truman Show yang menjadikan sesetengah kita sebagai pelakonnya.

Peter Weir nampaknya memberikan isyarat awal tentang wujudnya satu keadaan di mana atas nama kemajuan, kita tidak tidak dapat mengelak dari menjadi mangsa – perihal kita dirakam dan dimuat naik ke media sosial.

Disebabkan sesetengah pemilik akaun media sosial mahu menjadi pakar dalam segala bidang – dari bidang agama hingga dunia angkasa, kecaman yang dilemparkan memang membentuk persepsi yang buruk kepada mangsa.

Jelas sekali kita tidak mempunyai ruang yang benar-benar peribadi – kalau orang tidak melanggar sempadan itu, kita sendiri yang melakukan apabila semua hal hendak diberitahu kepada dunia.

Demikianlah kemajuan teknologi media terlalu pantas hingga sesetengah dalam kalangan masyarakat tidak mampu mengejar dalam berfikir kesan baik buruknya sesuatu tindakan. Truman Burbank, anda bukan keseorangan.

PENULIS ialah Editor portal Kuseman.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN