LEBIH 30 peratus pelajar sekolah di Kedah dilaporkan tidak dapat mengikuti sesi pengajian di rumah menggunakan kaedah home based learning kerana tidak mendapat capaian internet yang memuaskan di negeri ini sepanjang tempoh penutupan sekolah bermula 9 November lalu.
Kementerian Pendidikan sebelum ini mengumumkan penutupan sekolah sehingga hari terakhir persekolahan tahun ini, iaitu 17 dan 18 Disember depan.
Kebanyakan pelajar terlibat tinggal di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai liputan internet menyebabkan mereka tercicir mengikuti pengajian secara dalam talian.
Malah segelintir pelajar berkenaan tidak mempunyai gajet terutama dalam kalangan anak-anak daripada keluarga golongan B40.
Jumlah pelajar di sekolah rendah dan menengah di negeri ini dianggarkan kira-kira 195,000 orang.
Lebih mengecewakan, sebahagian pelajar terbabit bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pada 22 Februari depan. Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pula akan bermula 8 Mac 2021.
Pelajar yang bakal menduduki peperiksaan penting itu pasti kecewa apabila tidak dapat mengikuti kelas dalam talian itu seperti rakan-rakan mereka di kawasan bandar yang mendapat capaian internet tinggi.
JURANG
Situasi tersebut akan menyebabkan berlaku jurang pendidikan yang serius antara pelajar di kawasan bandar dan pedalaman.
Malah, beberapa pelajar di pedalaman yang bakal menduduki peperiksaan SPM dan STPM tidak lama lagi ketika saya temui mendakwa telah hilang mood untuk belajar kerana tidak dapat mengikuti kelas dalam talian yang ditetapkan guru.
Mereka kecewa apabila sering gagal mendapatkan capaian internet setiap kali ingin mengikuti kelas secara dalam talian.
Terdapat dalam kalangan pelajar itu tidak yakin boleh mendapat keputusan baik dalam peperiksaan SPM dan STPM berikutan gagal mengikuti pembelajaran dengan sempurna sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19 dilaksanakan, Mac lalu.
Segelintir pelajar terbabit terpaksa menumpang di rumah keluarga terdekat di kawasan yang mendapat capaian internet baik sepanjang tempoh penutupan sekolah.
MEROSOT
Mereka sanggup berbuat demikian semata-mata tidak mahu terlepas dalam setiap pembelajaran secara dalam talian kerana mahukan keputusan yang baik dalam peperiksaan nanti.
Berdasarkan perkembangan tersebut, dibimbangi peratusan pelajar di sekolah luar bandar yang lulus dalam peperiksaan SPM dan STPM akan merosot kerana mereka tidak dapat mengikuti pembelajaran dalam talian mengikut jadual.
Bukan setakat pelajar sekolah, penuntut di pusat pengajian tinggi awam dan swasta dari kawasan pedalaman di negeri ini juga kecewa kerana mereka juga senasib apabila gagal mengikuti kuliah secara dalam talian.
Dua pelajar, Mohammad Saiful Izwan Mohamad Hilmi, 21, dan Muhamad Fairul Ezuan Saidi, 21, masing-masing merupakan pelajar Universiti Sultan Azlan Shah di Kuala Kangsar, Perak dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, Sungai Petani baru-baru ini yang dilaporkan terpaksa memanjat pokok rambutan setinggi kira-kira lapan meter bagi mendapatkan capaian internet untuk menghadiri kelas secara dalam talian di Kampung Tembak B, Kuala Ketil, Baling menarik perhatian ramai.
Mereka dikatakan memanjat pokok rambutan untuk memasang router wifi bagi mendapatkan capaian internet lebih baik bagi memastikan mereka dapat mengikuti kuliah dalam talian bersama-sama pelajar lain.
Mereka mendakwa tidak sanggup berulang-alik ke bandar bagi mengikuti kelas dalam talian setiap hari. Jadi, usaha yang boleh diambil adalah memasang router wifi di atas pokok rambutan.
Sebelum ini, dilaporkan penduduk di Ladang UP Bahagian Bukit Selambau, Sungai Petani yang berhadapan masalah akses internet ‘tenat’ mengambil inisiatif membina ‘menara’ telekomunikasi mereka sendiri.
Terdapat enam menara yang diperbuat daripada tiang besi setinggi kira-kira 12 meter dilengkapi modem internet tanpa wayar dibina oleh penduduk kampung itu untuk mendapat capaian internet yang lebih pantas.
LEMAH
Inisiatif berkenaan membolehkan beberapa pelajar termasuk penuntut universiti yang menetap di kampung berkenaan mendapat manfaat daripada pembinaan menara telekomunikasi itu.
Namun, penduduk di kampung tersebut kini gembira dan teruja apabila Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mula mendirikan sebuah menara komunikasi sementara bagi menyelesaikan masalah capaian internet di kawasan terbabit.
Difahamkan, masalah capaian internet lemah juga berlaku di kawasan pedalaman di daerah Sik, Padang Terap, Kulim dan Kubang Pasu.
Sementara itu, Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor baru-baru ini memberitahu, pihaknya telah mengemukakan permohonan kepada SKMM supaya membina kira-kira 200 menara telekomunikasi baharu di seluruh negeri ini.
Ini selaras dengan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) diperkenalkan kerajaan sebelum ini yang bertindak sebagai asas peralihan infrastruktur digital dengan menyediakan liputan perkhidmatan jalur lebar menyeluruh dan berkualiti tinggi kepada semua rakyat.
Dalam Belanjawan 2021, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM500 juta bagi merapatkan jurang digital dalam sektor pendidikan untuk memastikan kesalinghubungan di 430 sekolah seluruh negara.
Selain itu, peruntukan sebanyak RM7.4 bilion turut disediakan untuk tempoh dua tahun bagi memperluaskan perkhidmatan jalur lebar terutamanya di kawasan luar bandar.
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Kedah.










