Al-kisah riuh satu dunia bila Tun Dr. Mahathir Mohamad menulis dalam media sosial tentang penyembelihan seorang rakyat Perancis oleh seorang pemuda Muslim kerana isu kartun Nabi Muhammad. Dari aspek ceritanya, guru Perancis itu sedang mendidik tentang kebebasan ekspresi dalam demokrasi dan menggunakan kartun majalah Charlie Hebdo yang memaparkan karikatur Nabi Muhammad. Seorang pemuda Muslim telah memenggal kepala guru tersebut dan selepas itu berlaku dua lagi pembunuhan berkaitan di sebuah gereja. Presiden Perancis telah memberi satu ucapan tentang bahaya golongan ekstremis Islam dan ucapannya menerima banyak komen dari pelbagai pemimpin Islam. Tup-tup Dr. M kita pun tulislah dalam akaun sosial media dengan menyebut kemarahan orang Islam boleh dijustifikasi sebab sejarah merakamkan berjuta umat Islam dibunuh oleh tentera Perancis.
Kenyataan beliau bahawa umat Islam berhak ke atas prinsip keadilan qisas bahawa nyawa dibayar nyawa, maka Muslim berhak membunuh berjuta-juta rakyat Perancis. Kenyataan beliau telah dikritik hebat oleh ramai pemimpin dunia. Akaun sosial media Dr. M ditarik balik apabila ramai yang mengecam tindakannya itu.
Dalam kolum hari ini, saya hendak menjadikan isu tafsiran sejarah dan penggunaannya dalam konteks isu semasa.
Walaupun ramai orang bukan Islam kecewa dengan Dr. M dengan kenyataan kejam itu, saya sendiri dapati sentimen tersebut bukan khusus kepada beliau semata-mata tetapi adalah sentimen yang boleh dikatakan umum dalam kalangan umat Islam Melayu dan warga dunia lain. Contohnya, apabila saya cuba menceritakan tentang kekejaman Islamic State (IS) dalam pengeboman Stadium Manchester yang membunuh ramai orang awam termasuk kanak-kanak, reaksi yang saya terima adalah: “Ala..Din, orang kafir lagi ramai bunuh orang Islam dulu-dulu..tengok sajalah Palestin.”
Tidak ada belas kasihan pun dirakam dan tidak ada rasa apa-apa kekejaman berlaku. Saya lihat pun ramai golongan agamawan yang hebat-hebat berceramah tetapi mereka juga tiada menyuarakan belas kasihan dan seperti bersetuju dengan tindak-tanduk IS. Hanya orang Muslim di mana tempat pembunuhan itu dilakukan terdapatnya kecaman terhadap perbuatan keji seperti ini. Kemungkinan mereka takut balasan dendam daripada golongan bukan Islam. Saya rasa pihak IS sedang tersenyum berpuas hati dengan konflik Muslim dan bukan Muslim yang boleh memporak-perandakan ekonomi dan politik dunia supaya mudah mereka laungkan slogan jihad dan berperang menjadikan mereka pemerintah dunia suatu hari nanti.
DENDAM KESUMAT
Persoalan saya ada dua. Pertama, betulkah sejarah kedengkian antara agama yang menghasilkan dendam kesumat sehingga kini berlaku sebabnya agama? Apakah sebenarnya fakta sejarah dan naratif sejarah? Soalan kedua, kalau betul pun sesuatu yang buruk telah dilakukan oleh golongan A terhadap golongan B, maka berhakkah golongan B masa kini berdendam darah terhadap golongan A? Dr. M seolah-olah mengambil sejarah pembunuhan yang lepas sebagai fakta muktamad dan beliau juga menjustifikasikan dendam sejarah sebagai sesuatu yang diterima oleh prinsip moral. Saya tidak bersetuju dengan Dr. M dalam kedua-dua persoalan tersebut.
Untuk persoalan pertama, mari kita ambil contoh Perang Salib. Pastikah kita Perang Salib itu bermotifkan kepentingan agama atau ia lebih bermotif politik peribadi pemimpin Kristian dan Muslim?
Betulkah peperangan dan pembunuhan berlaku? Banyak bukti mengatakan ia memang berlaku. Tetapi soalannya, kenapa ia berlaku dan atas niat apakah ia diperlakukan? Maka itu, inilah yang menjadi isu sejarah. Niat berlakunya sesuatu kejadian itu tiada siapa yang boleh pastikan. Sebabnya ia adalah niat hati dan sukar kita membaca hati, hanya meneka. Keduanya, terlalu ramai personaliti yang memainkan peranan dan kita sukar menentukan siapa sebenarnya pencetus atau penyebab.
HAMBA SEKS
Ketiga, urutan apakah yang menjadikan kejadian pembunuhan tersebut? Kita pun sukar nak jawab. Maka itu sejarah adalah ditulis mengikut perspektif atau teropong sejarawan dan teropong tersebut tak nampak semua perkara. Contoh lagi satu adalah Jepun menakluki Malaya. Naratif sejarah kita, Jepun tamak tanah dan merompak dan merogol banyak orang Melayu. Mereka penceroboh, pembunuh dan perogol. Di China lagi teruk Jepun buat. Ramai wanita dijadikan hamba seks. Apa naratif Jepun kepada anak-anak Jepun? Jepun membebaskan Malaya daripada cengkaman orang putih. Jepun pembebas dan wira penyelamat Asia. Oleh itu, jangan cepat sangat kita menghukum seseorang atau sesuatu golongan manusia semata-mata menggunakan sejarah sahaja.
Persoalan kedua, jika benar fakta dan naratif sejarah maka patutkah kita membawa dendam kejadian 1,000 tahun atau 100 tahun lalu ke hari ini? Kita tak kenal pun orang-orang yang berjuang dalam Perang Salib. Apahal pula kita berdendam dengan orang yang hidup masa kini? Kalau kita berdendam maka kita perlu membunuh setiap orang Jepun dan orang Jerman yang mengakibatkan Perang Dunia Kedua. Dr. M sendiri membuat polisi Dasar Pandang Ke Timur dan kita pun ada juga minta pinjaman wang dan pemindahan teknologi dari sana. Dari sudut sejarah juga, anak-anak perempuan saya banyak menggunakan kata-kata pedas di depan saya, maka patutkah saya berdendam kepada mereka? Patutkah saya batalkan pembayaran kereta setiap bulan atau bantuan sara hidup untuk mereka ketika mereka hilang pekerjaan dan sedang belajar buat PhD (ijazah doktor falsafah)? Saya boleh buat demikian tetapi saya tidak mengambil hati atau dendam. Dasar kasih sayang dan keampunan menjadi tonggak kedudukan moral saya sebagai seorang bapa.
Akhir sekali, saya ingin berpesan kepada orang Melayu dan orang Malaysia. Jangan berdendam ikut sejarah. Sebabnya sejarah itu suatu perkara yang kita tak akan dapat tahu cerita sebenar sampai bila-bila pun sebab angkubahnya terlalu banyak dan bacaan niat dalam hati, Allah sahaja yang tahu. Kita juga jangan terlalu banyak berdendam sebab ia bakal merosakkan jiwa kita. Kalau Rasulullah berdendam, Abu Sufyan dipenggal lehernya dan Wahsyi pembunuh Hamzah digantungnya dan dicincang hidup-hidup. Penduduk Taif pun bakal diganyang Nabi. Tetapi baginda tidak berdendam kesumat demikian. Maka itu kita harus ikut Nabi, jangan ikut orang-orang politik yang sengaja nak cari pasal.
PROFESOR Dr. Mohd. Tajuddin Mohd. Rasdi ialah ahli akademik seni bina dan penganalisis kritis media sosial.










