Sudah ada beberapa negeri dilanda banjir pada masa in. Walaupun jumlah mangsa yang berpindah belum mencapai 1,000 orang di setiap daerah, tetapi banjir tidak boleh dipandang remeh kerana kita sudah banyak pengalaman pahit tentang bencana itu. Tahun lalu, Pahang dan Johor dilanda banjir agak teruk. Banyak kereta tenggelam, rumah hanyut dan jalan raya rosak.
Pada 2014, Pahang, Johor Kelantan dan Terengganu dilanda banjir besar sehingga sesi persekolahan ditangguh seminggu pada Januari 2015. Pada 2007 dan 2008, negeri-negeri tersebut juga mengalami masalah sama sehingga menjejaskan Tahun Melawat Malaysia yang diadakan pada 2007.
Masuk sahaja musim tengkujuh, terpahat dalam ingatan kita tentang banjir. Besar atau tidak banjir, tidak boleh ditentukan. Itu belum lagi dikira banjir kilat yang tidak kira musim apa. Tiba-tiba sahaja air menerjah masuk ke kedai, rumah dan menenggelamkan kenderaan selepas hujan lebat beberapa jam. Malah, kita ditambah pula dengan ‘banjir termenung’. Hujan lebat beberapa jam dan air bertakung di kampung dan kebun. Air tidak tahu ke mana hendak pergi sampai dua atau tiga bulan lalu merosakkan tanaman orang kampung.
LEMAS
Tidak kira apa jenis banjir pun, banyak pihak yang mesti peka dan buka mata terhadap risiko dan bahaya banjir. Keprihatinan ibu bapa dan setiap individu sangat penting untuk mengelak kejadian-kejadian tidak diingini semasa banjir. Banjir sangat sinonim dengan kejadian lemas akibat dihanyutkan arus deras. Bagi yang tidak pandai berenang, jangankan air deras, air yang tenang pun boleh membawa maut. Oleh itu, setiap individu mesti peka terhadap bahaya dan risiko banjir.
Jika ditoleh kepada peristiwa-peristiwa banjir yang lepas-lepas, ada mangsa banjir yang lemas kerana enggan berpindah ke tempat yang lebih selamat. Ada yang sengaja main air kerana bagi mereka, banjir adalah satu pesta yang tidak boleh dilepas peluang tanpa menyedari banjir boleh meragut nyawa mereka. Persepsinya, banjir bukan selalu. Kadang-kadang setahun sekali, kadang-kadang tiga tahun sekali. Inilah yang perlu dielakkan kerana ‘pesta’ ini boleh mengundang padah.
Tugas menangani situasi banjir bukan terletak pada bahu pihak berkuasa yang ditugaskan untuk mengawal keadaan banjir semata-mata. Ternyata ibu bapa dan penjaga mempunyai tanggungjawab yang sangat berat, apatah lagi ke atas anak-anak mereka yang masih kecil. Malah, anak-anak yang belum memahami risiko banjir mesti diberi perhatian yang lebih agar mereka tidak menjadi mangsa lemas.
Selain itu, golongan belia boleh bertindak sebagai sukarelawan di kawasan mereka dengan menjadi pemantau agar boleh mengenal pasti kanak-kanak yang bebas bermain air supaya kejadian tidak diingini dapat dielakkan. Selain itu, mereka mesti memfokuskan juga kepada golongan kurang upaya supaya nasib tidak terabai semasa musim banjir .
IKLAN
Kita tidak nafikan, di sesetengah negeri dan kawasan yang sering dilanda banjir, penduduknya mempunyai banyak pengalaman dengan suasana banjir, memahami bahaya banjir dan mengetahui selok-belok menyelamatkan diri serta mengurangkan jumlah kerugian semasa musim banjir. Pengalaman ini sebaik-baiknya dimanfaatkan dalam menempuh setiap banjir yang melanda kawasan mereka.
Ini termasuklah memahami masalah-masalah dan cabaran-cabaran semasa musim banjir, mengetahui cara-cara menyelamatkan diri dan harta benda, memahami apa yang bahaya dan apa yang tidak bahaya. Pengalaman-pengalaman berguna ini mestilah diperturunkan kepada setiap generasi, apatah lagi kepada golongan muda supaya mereka memperoleh pengetahuan tentang banjir.
Selain itu, bagi pihak berkuasa pula, iklan-iklan mengenai bahaya banjir mesti diperbanyakkan dalam media massa sebagai usaha melengkapkan pengetahuan orang ramai tentang banjir. Di kawasan-kawasan yang sering berlaku banjir, papan-papan tanda arahan dan amaran mesti diletakkan sebagai peringatan kepada orang ramai tentang situasi banjir di tempat mereka.
Selain itu, kawalan keselamatan di rumah-rumah yang ditinggalkan oleh mangsa yang berpindah mesti dipantau kerana sering berlaku kes kecurian barang-barang di kediaman mereka. Dalam soal ini, kita tidak nafikan ada dalam kalangan penduduk yang enggan berpindah kerana memikirkan keselamatan rumah yang ditinggalkan. Oleh itu, rondaan oleh pelbagai pihak yang menjadi petugas banjir sangat penting untuk memastikan keselamatan rumah yang ditinggalkan supaya kes seumpama ini tidak berlaku.
Kita percaya, komitmen pelbagai pihak ketika mendepani situasi banjir dapat mengurangkan bahaya banjir tidak kira kepada sesiapa sahaja. Kita juga percaya, setiap negeri sudah bersedia untuk menghadapi kemungkinan banjir dengan segala macam persediaan.
PENULIS ialah penganalisis sosial dan bekas guru.










