SEINGAT saya, belum lagi terlintas depan mata ada sekumpulan bekas pelajar (Alumni) UiTM ‘terang lagi bersuluh’ cenderung menyokong DAP.
Dalam lima atau dua tahun lepas ini tidaklah hinggap di telinga ini isu sekelompok dalam jumlah ramai mereka yang berbuat demikian.
Cuma ada lah seorang dua. Antaranya Dyana Sofya Mohd. Daud, pelajar UiTM yang terdidik menjadi peguam, bertanding tiket DAP dalam PRK Parlimen Teluk Intan 2014. Kalah tipis 238 undi kepada presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong. Popular Dyana waktu itu. Selepas itu isu ‘dia pencacai UiTM’ pun senyap.
Tapi dalam bab ramai-ramai bekas pelajar UiTM sertai DAP seperti terpapar pada penyebaran poster program bual bicara langsung di Facebook baru-baru ini mengejutkan saya. Tajuk bual bicara itu “UiTM dan DAP” anjuran sayap Muda DAP Kampung Tunku. Saya akui tidak mengikuti program itu.
Begitupun yang pasti, Kampung Tunku bukanlah penempatan calang-calang. Itu antara kawasan elit di Petaling Jaya. Didiami kebanyakan keluarga berada dan berpendidikan tinggi.
Dan bila terpapar nama empat bekas graduan UiTM terbabit dalam program bual bicara itu ada yang pegang jawatan dalam DAP, saya terkedu seketika.
Kalau tidak kerana PKP dan kekangan kesibukan di ofis, sudah ‘terbang’ saya ke Kampung Tunku untuk bertemu mereka ini – Setiausaha DAPSY Damansara, Farhan Haziq (Alumni UiTM Shah Alam); Ahli Jawatankuasa (AJK) DAP Kampung Tunku-SS1,Nur Rahim Nasir (Alumni UiTM Raub) dan Aslam Ramli (Alumni UiTM Melaka) serta Setiausaha Publisiti DAP Kampung Tunku , Ahmad Afiq (Alumni UiTM Negeri Sembilan).
Bukannya apa, bila bertemu mereka ingin saya tanya, selami isi hati anak-anak muda ini . Kenapa tak pilih sahaja sertai parti-parti Melayu yang berlambak tumbuh hari ini. Ada UMNO, Pas, Bersatu, Amanah atau PKR (kira macam parti Melayu jugalah). Atau empat orang ini boleh sahaja sertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) atau MUDA, parti ciptaan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman.
Tidak minat
Atau boleh sahaja masuk parti Datuk Ibrahim Ali, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra). Tapi kenapa mereka tidak minat? Nantilah, tak lama lagi menyusullah saya jumpa mereka. Lagipun ofis Utusan di Quattro West, Petaling Jaya hanya ‘setapak’ sahaja dengan Kampung Tunku.
Kembali pada topik tadi. Ya, apa agaknya kata Alumni UiTM dalam isu bekas graduan muda mereka masuk DAP ini? Saya percaya, jumlah bekas pelajar universiti itu cenderung kepada DAP, angkanya solid. Wallahualam.
Seingat saya juga waktu Dyana Sofya berkempen dalam PRK dulu, dia ada perjuangkan isu UiTM ini milik semua. Terbuka untuk masuk kepada semua. Masa itu pun tidak ketara sangat penyertaan bekas pelajar UiTM dalam DAP.
Tapi mutakhir ini seperti suatu gerakan massa pula. Ya, bila saya dikejutkan dengan hal bual bicara anak-anak muda Melayu DAP Kampung Tunku ini. Mahu tak mahu saya akui dalam usia saya capai lima dekad ini banyak benda terlepas pandang.
Mahu tidak mahu saya akur ada beberapa isu yang dimadahkan grup anak muda ini ‘membuka fikiran’ orang muda hari ini. Yang mahukan persaingan lebih terbuka, merit dan pokok pangkal asasnya – survival dan daya saing pendidikan jawapannya.
Maka, adakah Alumni UiTM yang memiliki ratusan ribu ahli wajar buat homework lebih sikit, selami kehendak anak-anak muda hari ini? Bak kata Datuk Seri Mohamad Hasan, timbalan presiden UMNO kepada saya sebelum-sebelum ini pun: Adakah DAP akan buang ideologinya jika kita (orang Melayu) bersama mereka. Tidak sama sekali. Sebab itu ‘No DAP’ terus menjadi prinsip Tok Mat.
Nilai sentimental
Waima apa pun orang kata, UiTM ada nilai sentimental kepada orang Melayu. UiTM benteng Melayu, begitu tajuk titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Konvensyen Nasional Penyatuan Bangsa 2016 di UiTM, Shah Alam. Sedutan titah baginda yang sempat saya titipkan:
“Penubuhan UiTM, adalah satu tanggungjawab, yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan dalam semangat menjunjung salah satu daripada tujuh titah wasiat Raja-Raja Melayu. Langkah demi langkah dirintis untuk menubuhkan UiTM, tapak demi tapak UiTM mendaki tangga kejayaan.”
Rang Undang-Undang Institut Teknologi Mara (ITM) dibentangkan di Parlimen pada 13 April 1976 oleh Dr. Mahathir Mohamad (Tun) yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran. Tiga daripada pembahas usul masa itu, Ahli Parlimen Kepong, Dr. Tan Chee Khoon, Ahli Parlimen Kota Melaka, Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Padang Serai, Lim Kiam Hoon, yang berhujah mahu memupuk perpaduan kaum, mencadangkan supaya pintu ITM turut dibuka kepada semua warganegara. Dr. Mahathir semasa menggulung perbahasan menolak cadangan itu. hujahnya – perpaduan tidak wajar hanya didesak untuk dilaksanakan di ITM.
Maka dengan itu benarlah pendirian UiTM menerusi Ketua Perhubungan Awam, Media dan Protokol Jabatan Komunikasi universiti, Nora Noordin baru-baru ini yang menyelar tindak-tanduk sayap Muda DAP Kampung Tunku itu yang cuba mengheret nama UiTM dalam program DAP mereka.
Begitupun kerja masih belum selesai di pihak Alumni UiTM – khususnya dalam memastikan alumni muda mereka mendapat pemahaman sebenar akan isu-isu untung nasib dan perjuangan bangsa.
Acuan 80-an
Atau adakah politik Malaysia hari ini terlampau ikut acuan pemimpin-pemimpin politik tahun 80-an sehingga orang muda seperti empat sekawan dari DAP Kampung Tunku tadi sudah bosan, muak, jemu.
Begini mesej WhatsApp yang diterima saya kelmarin:
“Nama-nama pemimpin politik ini (hari ini) saya sudah baca kat surat khabar sejak saya sekolah menengah lagi. Sekarang saya sudah ada cucu. Masih lagi nama-nama mereka.
“Masa saya sekolah dulu saya ingat nama dua orang Presiden Amerika ialah Ronald Reagan dan Jimmy Carter. Di UK, Perdana Menterinya ialah Margaret Tatcher. Di Indonesia, Suharto. Di Filipina, Marcos. Di India, Indira Ghandi. Singapura Lew Kuan Yew. Di Jepun, Nakasone. Di Mesir, Anwar Sadat.
“Hari ni dalam pentas politik dunia orang tak sebut dah nama-nama ni semua. Mereka sudah terlalu usang. Tapi di Malaysia masih lagi dengan nama-nama yang sama memenuhi ruang akhbar bicara pasal politik negara.”
Ya, pastikan imej dan nama baik UiTM dipertahankan. Yakni, untuk menjamin jangan ada alumni memperguna nama universiti untuk mencanai sokongan politik, kebendaan atau bersifat eksklusif. Saya yakin pihak berkuasa cerdik pandai alumni universiti berupaya menanganinya.










