KEWUJUDAN Kluster Padang di daerah Kota Tinggi pada awal bulan ini mencetuskan kebimbangan dalam usaha menangani penularan virus Covid-19 di kawasan luar bandar.
Terletak kira-kira 42 kilometer dari Johor Bahru, Kota Tinggi mempunyai 10 bandar utama antaranya Bandar Kota Tinggi, Sedili Besar, Sedili Kecil dan Ulu Sungai Johor.
Daerah itu mempunyai lebih 200,000 penduduk merangkumi 26 kampung induk tradisional, 117 kampung rangkaian, 29 kawasan penempatan Felda dan lima kawasan bandar baharu Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora).
Jika berdasarkan fakta tersebut, langkah mengawal penularan Covid-19 perlu agresif dan jika tidak dilakukan segera, boleh menyebabkan pertambahan jangkitan.
CABARAN
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba segera turun padang bagi melihat sendiri aktiviti kawalan pengesanan melibatkan pelbagai agensi antaranya Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Pejabat Kesihatan Kota Tinggi, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Sementara itu, Pakar Kesihatan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh menjelaskan, terdapat tiga faktor yang menjadi cabaran untuk menangani pandemik di luar bandar.
Katanya, tiga cabaran tersebut ialah kedudukan geografi, kekurangan kepadatan penduduk dan akses maklumat khususnya di kawasan pedalaman.
“Jika di bandar, kita mudah mengumpulkan beramai-ramai dalam satu kawasan tetapi di kampung, petugas kena turun dari rumah ke rumah,” ujarnya.
Selain itu, katanya, masalah akses internet dan perhubungan juga menjadi cabaran.
“Maka kita memerlukan lebih ramai petugas Kementerian Kesihatan dan agensi lain bagi turun padang melakukan ujian saringan.
“Malah perlu memakai peralatan perlindungan diri (PPE) ke setiap rumah. Ini saya boleh katakan cabaran di luar bandar,” katanya.
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Johor.










