"Boleh tengok jenazah anak makcik?" - Utusan Malaysia

“Boleh tengok jenazah anak makcik?”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ZARUL berdiri sambil bercekak pinggang di hadapan kaunter. Dia memandang deretan kerusi kosong di hadapannya. Nampaknya malam ini dapatlah dia berehat seketika kerana tidak kelihatan seorang pun kelibat waris si mati yang ingin menuntut jenazah di situ, maklumlah dari pagi hingga ke maghrib tadi tak putus-putus dia melayan kerenah mereka yang datang menuntut jenazah, semuanya dia lakukan demi tugas.

Dia toleh jam di dinding, waktu menunjukkan 12.45 tengah malam. Lantas dia menarik kerusi yang berada di situ sambil merebahkan tubuh.Tak sampai beberapa minit kemudian dia pun terlelap kepenatan.

‘Tok… tok.. tok…!’ Zarul bingkas bangun. Kelihatan seorang wanita separuh abad sedang berdiri di hadapannya. Zarul bingkas bangun sambil membuka pintu.

Wanita tersebut kelihatan uzur, tubuhnya sedikit bongkok sambil tangannya menjinjing sebuah beg plastik.
Selesai memberi salam, Zarul lantas bertanya tujuannya kerana jarang sekali dia menerima tetamu pada lewat malam begini.

Wanita tersebut memandang Zarul dengan pandangan sayu. Riak wajahnya sedih ditambah pula matanya sedikit berkaca seolah-olah sedang menahan air mata dari jatuh.

“Mak cik nak minta tolong kat anak ni… boleh tak kalau makcik nak minta kebenaran lihat jenazah anak makcik buat kali terakhir?” katanya perlahan sambil memandang Zarul dengan penuh harapan.

Zarul tergamam. Tak pernah seumur hidupnya ada tetamu yang datang lewat malam begini semata-mata untuk melihat jenazah.

Kebiasaannya kalau lewat sekalipun pasti sebelum jam 12 tengah malam, tapi kini sudah jam 1.15 pagi.

Zarul garu kepala. Hendak ditolak permintaan wanita tersebut rasa kasihan pula.

Dia tahu bagaimana hati dan perasaan seorang ibu terhadap anak yang pernah dikandungnya selama sembilan bulan, apatah lagi bila si anak itu terlebih dahulu dipanggil menghadap Allah SWT.

Lantas Zarul mengiringi wanita tersebut menuju ke arah bilik mayat yang terletak selang beberapa pintu dari situ.

Zarul lantas memeriksa senarai nama-nama jenazah yang ditempatkan di situ. Dibeleknya beberapa kali namun nama arwah tiada di situ. Pelik! Zarul garu kepala. Dia memeriksa buat kali kedua kalau-kalau terlepas pandang.

“Maaf makcik, nama anak makcik ni memang tak ada dalam senarai ini. Saya dah check berulang kali,” kata Zarul dengan rasa kasihan.

Wanita tersebut tunduk memandang lantai. Sekali lagi serba salah. Dia tak tahu bagaimana ingin membantu wanita tersebut di kala itu.

“Err, betul ke jenazah anak makcik di hantar ke sini? Entah-entah di hospital lain tak?” Tanya Zarul kembali. Ini kerana kemungkinan besar jenazah tersebut berada di hospital lain yang berdekatan situ.

Sebelum wanita tersebut pulang, dia sempat berpesan kepada Zarul. Katanya, jika Zarul ada kelapangan nanti cubalah periksa nama anaknya sekali lagi. Zarul angguk kepala sambil tersenyum. Dia faham sangat perasaan wanita itu.

“Nanti kalau ada jenazah anak makcik tu anak jaga elok-elok ya. Dia itu budak baik dan selalu dengar nasihat orang tua. Semoga Allah SWT tempatkan rohnya bersama-sama golongan orang beriman,” sambung wanita itu sebelum berlalu pergi.

Azan subuh sayup-sayup berkumandang di udara. Zarul mengeliat malas. Sudah masuk subuh rupanya, bisiknya dalam hati.

Selesai menunaikan solat subuh Zarul lantas menuju ke kantin untuk bersarapan. Malam tadi pun dia cuma jamah dua keping roti bakar dan secawan kopi saja.

Tiba-tiba dia dapat panggilan dari rakan sejawatnya, Khalid yang mana dia perlu uruskan satu jenazah lelaki Melayu untuk ditempatkan ke bilik mayat sementara menunggu dituntut.

“Rul, ini aku nak daftar masuk satu jenazah Islam,” kata Khalid sambil menunjuk ke arah sebuah troli berdekatan pintu.

Zarul jeling, nampak sosok kaku yang sudah siap ditutupi kemas dengan sehelai kain putih.

Lantas dia dan Khalid menolak troli tersebut ke bilik mayat. Namun ketika ingin merekodkan nama dan butir-butir peribadi si mati, ketika itulah Zarul tergamam.

Khalid yang perasan dengan sikap sahabatnya itu lantas bertanya, namun Zarul seolah tidak mengendahkan soalan sahabatnya itu, dia terus menuju ke arah troli, lalu membuka kain putih yang menutupi tubuh jenazah.

Masya-Allah! Zarul beristighfar beberapa kali. Dia merenung jenazah lelaki tersebut mata yang tak berkelip. Jenazah yang ada di depannya ketika itu cukup sempurna keadaannya.

Raut wajahnya seperti orang sedang lena tidur. Mukanya cukup bersih dan bibirnya seperti sedang mengukir senyuman. Langsung tidak nampak cacat celanya.

Dari wajahnya yang tenang juga Zarul dapat simpulkan yang arwah memang telah reda dan bersedia dengan kematiannya.

“Eh, kenapa pula kau macam terkejut bila tengok jenazah ni? Kau kenal ke arwah ini?” tanya Khalid.

“Tak ada apa-apa, cuma nama arwah ini mengingatkan aku pada seseorang, tapi nampaknya orang lain, “ kata Zarul menyembunyikan sesuatu.

Khalid lantas beredar. Zarul pula masih termanggu di situ dengan seribu persoalan. Memang ada perkara berlegar di fikirannya ketika itu.

Nampaknya kejadian malam semalam ada kaitannya dengan apa yang terjadi hari ini. Namun Zarul keliru kenapa wanita tersebut mencari jenazah anaknya pada malam tadi sedangkan mengikut rekod yang diterima ketika ini anaknya baru saja meninggal dunia hari ini sekitar pukul 4.30 pagi.

Menginjak tengah hari barulah kelihatan beberapa orang waris arwah datang untuk menuntut jenazah.

Ketika itulah Zarul bertanya kepada salah seorang waris arwah yang berada di situ tentang kematian arwah. Menurutnya, arwah meninggal dunia kerana sesak nafas.

Arwah juga dikhabarkan anak yang cukup baik dan bertanggungjawab. Arwah baru mulakan kerja walaupun usianya sudah menjangkau 25 tahun kerana selepas tamat belajar dia menjaga ibunya yang uzur di kampung setelah ayahnya meninggal dunia lima tahun lalu. Namun dua bulan lalu giliran ibunya pula dijemput Ilahi.

Terlopong mulut Zarul. Memang benarlah kata ‘arwah ibunya’ yang arwah memang seorang anak yang cukup baik dan amat bertanggungjawab.

Kejadian tersebut tidak Zarul ceritakan pada sesiapa waima pada ahli keluarganya sekalipun. Biarlah pengalaman itu menjadi rahsia hidupnya.

Sebelum kenderaan yang membawa arwah bertolak pergi, Zarul sempat sedekahkan Al-fatihah.

Semoga roh arwah, ibu dan bapanya akan ditempatkan oleh Allah SWT bersama golongan orang yang beriman. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya