Bila penumpang tak berhenti bercakap... - Utusan Malaysia

Bila penumpang tak berhenti bercakap…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sikap mesra dengan penumpang adalah antara kriteria utama yang perlu ada dalam diri setiap pemandu Grab.Tak boleh muka masam, bersikap kasar dan kenalah menyapa penumpang apabila mereka menaiki kereta.
Kalau penumpang tidak suka bersembang, teruslah berbual mesra. Kalau si penumpang masuk dengan wajah mencuka, pandai-pandailah tenung jalan sahaja.
Cerita salah seorang pemandu Grab bernama Hassan cukup menarik untuk dikongsi. Walaupun masih muda, dia gemar membahasakan dirinya sebagai pakcik.
Hassan bercerita, dia berdepan dengan satu situasi yang `agak meletihkan’ baru-baru ini gara-gara seorang penumpang yang bercakap tak berhenti.
Cerita Hassan, tepat pukul 5.49 petang, dia menerima satu Ping daripada penumpang bernama Amira. Wah, nama sedap, mesti orangnya pun lawa, getus hatinya.
Lebih-lebih lagi apabila teringatkan salah seorang sepupu perempuannya yang mempunyai nama sama. Lawa orangnya seperti wajah gadis Korea.
Namun sangkaan Hassan meleset sebab yang muncul ialah wanita warga emas yang mungkin berusia 60 tahun ke atas. Lokasi penumpang adalah di Bangsar yang mahu ke Pantai Dalam sahaja.
“Pakcik tunggu lima minit di hadapan rumahnya supaya dia dapat mengunci pintu dengan selamat.
“Perjalanan tak jauh mana pun, dalam enam kilometer saja tapi sebab waktu itu memang waktu puncak dan pastilah jalan sesak, maka ia memakan masa satu jam 26 minit!
“Penumpang itu, masuk saja dalam kereta terus bercakap. Semua yang dia sembang, pakcik iya kan sahaja. Dari mula sampailah akhir, tiada waktu rehat.
“Dari situ juga, pakcik tahu dia ini seorang yang kuat exercise di zaman mudanya. Sebab apa pakcik kata macam itu? Bukan sebab dia beritahu tapi kerana kekuatan paru-parunya. Bayangkan pakcik yang mendengar ini pun rasa macam hendak pengsan, tapi dia bercakap tanpa henti selama lebih sejam! Kagum pakcik melihat teknik pernafasannya yang membolehkan dia berleter tanpa henti,” katanya.
Ceritanya lagi, ketika dia mendengar celoteh wanita itu, ada terfikir dibenaknya yang dia mahu sekadar pura-pura mendengar. Tapi hasratnya terbantut apabila penumpang tersebut sering pula bertanya padanya. Macam spotcheck nak tahu sama ada dia mendengar atau tidak.
“Selang 10 minit, dia akan tanya pakcik, apa pendapat kamu? Habis tu, macam mana pakcik nak mengelamun layan trafik bila di telinga pakcik ini, leteran wanita itu sudah macam bertih jagung, tak berhenti-henti.
“Selepas lebih kurang tujuh soalan ujian pemahaman yang pakcik kena jawab dengan cemerlang, sampailah juga kami ke destinasi.
“Pada pukul 7.15 petang itu, pakcik dah tahu kisah hidup dia, anak-anak dia dan adik beradik serta kawan-kawan rapatnya. Lepas itu, pakcik keletihan, mental dan fizikal,” kata Hassan ketawa.
Apa agaknya yang paling pakcik ingat pasal wanita ini? Tanya saya.
“Ayat dia setiap kali bercerita adalah ‘makcik ni bukanlah nak mengata orang, tapi…’ itulah ayat paling banyak dia ulang selama lebih sejam tu.
“Itulah keistimewaan jadi pemandu Grab. Kalau tak bawa Grab, mana ada peluang jadi pendengar setia macam ini. Nasib baik pakcik ini suka layan budak-budak dan orang tua,” kata Hassan sambil ketawa.
Saya yang dengar dia bercerita pun tiba-tiba jadi letih. Kalau saya mengalami sendiri, mahu saya ajak makcik itu turun pergi kedai kopi. Kita sembang sampai pagi! – Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya