Apa agaknya perasaan anda apabila bertemu semula dengan kekasih lama? Sakit hati, sedih, hati bagai dihiris atau seronok tak terkata? Kisah kali ini diceritakan oleh Ihsan Sabri. Dia pemandu Grab sepenuh masa yang punya banyak pengalaman ketika membawa penumpang.
Salah satunya terjadi baru-baru ini. Ihsan yang juga dikenali dengan nama Spider San mendapat Ping dalam hujan lebat di stesen KTM. Segambut. Nama penumpang yang terpapar pada aplikasi Grab ialah Ali Hani yang mahu ke Crown Regency, sekitar kawasan KLCC.
“Sesampainya di stesen KTM, saya perhati seorang demi seorang lelaki berwajah Bangladesh yang akan naik ke kereta. Saya yakin mesti warga asing melihat pada namanya. Cuma yang mengejutkan bila yang datang ialah seorang gadis cantik yang memakai pelitup muka. Dia tergesa-gesa masuk ke kereta meredah hujan,” cerita Ihsan.
“Terima kasih sangat you datang. Bateri telefon I dah habis, jadi I minta tolong abang KTM tu pesan Grab. Banyak kali pula kena batal….bla bla bla..,” kata gadis itu yang bercakap laju dan panjang lebar, umpama keretapi ETS.
“Saya beralih memandangnya sambil tersenyum sebelum saya menarik pelitup muka. Cuma gadis itu terdiam bila melihat wajah saya,” cerita Ihsan. Beberapa minit perjalanan dia hanya berdiam diri. Berbeza dengan keramahannya ketika masuk ke dalam kereta tadi. Tiba-tiba dia bertanya, “You kerja apa sebelum ni?”
“Terkejut saya dengan soalannya. Biasanya soalan pertama penumpang ialah “part time ke full time?” atau “dah lama ke buat Grab?”
“Saya pun menjawab dan selepas tu saya mula rancak bersembang. Dia banyak mendengar saja. Tapi bila saya berhenti bercakap, dia akan tanya lagi soalan lain agar saya terus bercerita.“ Tiba-tiba dia tanya “adik-adik you sihat? You anak sulungkan?”
“Terdiam saya. Macam mana dia tahu saya anak sulung? Saya beralih melihatnya dan sekali lagi saya terkejut. Dia duduk di tengah-tengah kerusi dan dekat saja dengan muka saya. “Dalam hati saya berkata, ‘cantiknya minah ni. Tapi saya jawab juga, adik-adik sihat. Saya kembali lihat ke hadapan memerhati trafik yang sangat teruk.
“You dari mana cik? Kerja apa?” tanya Ihsan pula. Dia tak mahu keadaan terus menyepi. “I orang Sarawak, kerja pramugari.” Pendek jawapannya.
“Ha… Saya pernah berkawan dengan orang Sarawak dulu Perempuan Sarawak memang cantik-cantik, baik-baik pula tu” puji Ihsan dengan harapan dapat tips lebih.
Sembang punya sembang, akhirnya sudah sampai di Crown Regency. “Dulu saya selalu datang sini cik. Bekas teman wanita saya dulu tinggal kawasan sini.”
Setibanya di zon drop off, si gadis itu menghulurkan tambang dan mengucapkan terima kasih.
“Seronok sembang dengan cik. Terima kasih ye, saya cakap sambil memandang dia yang sedang berdiri di luar.
“I pun happy dengar suara you. You memang baik, San’. Dia bercakap dengan suara tersekat-sekat sambil menurunkan pelitup muka. Dia menutup pintu dan berlalu.
“Sungguh, mata saya berair. Saya bergerak jauh sikit dari situ, tutup aplikasi Grab dan menangis tepi jalan.
“ Tercapai juga cita-cita nak jadi pramugari ye Zee. Alhamdulillah. Lapan tahun berlalu dan awak masih cantik sama seperti hari pertama kita berjumpa,” kata Ihsan bercerita. Mereka berpisah lantaran Ihsan gagal dalam perniagaannya dan mahu gadis itu mencari lelaki lain yang lebih baik. Kalau anda berada di tempat Ihsan, apa agaknya yang akan dibuat? Menyambung semula hubungan lama atau simpan sahaja dalam-dalam dan teruskan kehidupan? Ya … hidup ini penuh dengan kejutan! – Mingguan Malaysia










