Hari ini sudah masuk hari ke-46 Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikenakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor sejak 14 Oktober lalu. Ia berikutan peningkatan kes Covid-19.
Ekoran itu, aktiviti masjid dan surau turut terjejas. Antara yang terhalang adalah solat Jumaat. Di Selangor, solat Jumaat hanya dibenarkan enam jemaah di zon merah dan kuning manakala masjid di zon hijau 23 orang dan surau Jumaat 16 orang.
Di Wilayah Persekutuan kelonggaran diberikan mendirikan solat Jumaat mengikut satu pertiga luas dewan solat utama masjid dan surau Jumaat bagi zon hijau dan kuning. Jemaah di zon merah pula hanya 12 orang.
Sememangnya keadaan ini mendukacitakan terutama bagi geng masjid. Sebabnya, nikmat solat berjemaah telah ditarik oleh Allah SWT. Analoginya, hanya orang sakit yang tahu nikmatnya kesihatan.
Walaupun terhalang menunaikan solat Jumaat, kita janganlah alpa dengan kelebihan-kelebihan yang ada pada penghulu segala hari ini. Amalan-amalan sunat hari Jumaat adalah berdasarkan kepada kemuliaan hari tersebut dan bukannya berkaitan ibadat di dalamnya seperti solat Jumaat.
Ia sama dengan kemuliaan Ramadan yang juga disebut penghulu segala bulan.
Kemuliaan bulan ini bukan kerana ibadat puasa. Sebab itu, mereka yang tidak dapat berpuasa kerana uzur atau bermusafir masih mendapat ganjaran yang dijanjikan jika melaksanakan ibadat yang lain.
Ini dijelaskan oleh sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sebaik-baik hari yang terbit matahari padanya ialah hari Jumaat. Pada hari tersebut diciptakan Nabi Adam a.s, dia dimasukkan ke syurga dan dia dikeluarkan daripadanya. Dan pada hari tersebut, terdapat satu waktu yang mana jika seseorang Muslim berdiri mendirikan solat dan berdoa kepada Allah SWT akan sesuatu hajatnya, nescaya Allah SWT akan memberi apa yang dihajatkannya tersebut. (Riwayat al-Bukhari)
Oleh yang demikian, jangan kita lepaskan peluang menggandakan ibadat-ibadat sunat pada hari Jumaat. Walaupun kita terhalang menunaikan solat Jumaat dan beriktikaf padanya, masih banyak amalan yang boleh dilakukan. Antaranya:
Selawat Nabi
Perintah berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (al-Ahzab: 56)
Sememangnya amalan berselawat ini bukanlah sukar dilakukan. Namun, masih ramai umat Islam yang gagal mengamalkannya dalam hidup seharian. Lebih utama tuntutan ini dilakukan pada hari Jumaat.
Banyak kelebihan bagi mereka yang sentiasa berselawat sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: Sesungguhnya barang siapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat. (Riwayat Muslim)
Malah, ada riwayat di dalam al-Sunan al-Kubra oleh Imam al-Baihaqi bahawa akan dibentangkan setiap selawat daripada umat Nabi Muhammad SAW pada setiap Jumaat. Ini dijelaskan menerusi sabda Nabi SAW yang bermaksud: Perbanyakkanlah berselawat ke atasku pada setiap hari Jumaat. Sesungguhnya selawat yang dibaca oleh umatku akan dibentangkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Barang siapa yang paling banyak berselawat ke atasku, maka dia akan berada paling hampir denganku (di dalam syurga). (Riwayat al-Baihaqi)
Membaca surah al-Sajadah dan surah al-Insan
Dianjurkan untuk kita membacanya dalam solat Subuh hari Jumaat.
Ia seperti mana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah. Beliau berkata yang bermaksud: Nabi Muhammad SAW biasa membaca pada solat Subuh pada hari Jumaat ‘Alam Tanzil…’ (Surah al-Sajadah) pada rakaat pertama dan ‘Hal ataa ‘alal insani hinum minad dahri lam yakun syai-am madzkuro’ (Surah al-Insan) pada rakaat kedua. (Riwayat Muslim)
Membaca al-Kahfi
Marilah sama-sama kita berusaha membaca surah ini yang berjumlah 110 ayat. Jika sukar menghabiskannya dalam satu masa, bolehlah kita membacanya sedikit demi sedikit setiap kali lepas solat pada Jumaat.
Antara kelebihan membaca al-Kahfi adalah sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: Barang siapa yang membaca Surah al-Kahfi pada hari Jumaat, dia akan disinari cahaya di antara dua Jumaat. (Riwayat al-Baihaqi)
Bersihkan diri
Antara amalan yang lazim adalah memotong kuku. Menurut Imam Nawawi: Imam Syafie dan para ulama Mazhab Syafieyyah menegaskan, dianjurkan memotong kuku dan mencukur rambut-rambut di badan (kumis dan bulu kemaluan) pada hari Jumaat. (Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab, 1:287)
Bagaimanapun, dalam hal memotong kuku, tiada hari-hari tertentu ditetapkan dengan kaifiat tertentu. Ini kerana tiada nas yang jelas tentang perkara itu menurut pandangan Imam al-Sakhawi dan selainnya.
Satu lagi amalan yang sering dilupakan adalah mandi sunat hari Jumaat. Dalam sebuah hadis, Nabi SAW bersabda bahawa:- Tidak mandi seorang lelaki pada hari Jumaat dan membersihkan dirinya setakat yang termampu, seterusnya beliau meminyakkan rambut, mengenakan wangi-wangian harum yang dimilikinya di rumah, lantas dia keluar (ke masjid) dan dia tidak mencelah di antara dua orang (di dalam masjid), lalu dia bersolat apa yang diwajibkan ke atasnya. Dan sesudah itu duduk diam sewaktu imam sedang berkhutbah, melainkan diampunkan segala dosanya dari Jumaat tersebut hinggalah ke Jumaat yang akan datang. (Riwayat al-Bukhari)
Bagi mereka yang berada di zon yang mengizinkan solat Jumaat, bersegeralah ke masjid untuk memastikan dapat menunaikannya. Kepada yang masih terhalang menunaikannya, segeralah menunaikan solat zuhur dan janganlah melewat-lewatkannya.










