Banjir kilat, birokrat yang karat - Utusan Malaysia

Banjir kilat, birokrat yang karat

Kerja-kerja pembersihan kolam air pancur berhampiran Masjid Jamek di ibu negara berikutan banjir kilat selepas hujan lebat hingga menyebabkan air Sungai Klang melimpah, baru-baru ini. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ada dua masalah yang paling diingati di Kuala Lumpur – kesesakan jalan raya tahap ‘gila’ dan banjir kilat. Kita tidak tahu apakah yang telah dilakukan atau dicadangkan oleh jurutera, perancang bandar dan pihak berkaitan untuk mengatasi dua masalah ini.

Seingat saya, sejak menjadi penghuni Kuala Lumpur pada 1984, masalah banjir kilat tidak pernah selesai. Cerita kereta tenggelam sudah tidak ada nilai berita lagi di Kuala Lumpur kerana perkara biasa. Hujan di hulu, Kuala Lumpur yang tenggelam. Dua sungai yang membelah Kuala Lumpur – Sungai Kelang dan Sungai Gombak pun melimpah.

Seperti tidak boleh terfikir oleh akal tentang masalah yang berpuluh tahun tidak selesai, sekali gus memberikan kerosakan harta benda yang besar kepada penghuni. Kalau diambil pada 1984 hingga sekarang, bayangkan sudah berapa kali ahli Parlimen yang kawasan Parlimennya di Kuala Lumpur bertukar ganti?

Tetapi Kuala Lumpur tetap dengan identiti lamanya – banjir kilat. Musim hujan di Kuala Lumpur adalah ‘pesta air’ yang boleh mengalirkan air mata apabila kereta di atas jalan tiba-tiba menjadi kapal selam. Mereka yang pernah mengalami bahana banjir kilat tahulah betapa peritnya ‘pesta air’ ini.

Sebenarnya menulis tentang banjir kilat di Kuala Lumpur ini sangat membosankan. Sudah banyak kali menulis perkara yang sama dan jawapan serupa dikitar semula apabila berlaku banjir kilat.

Memang banjir kilat tidak lama, sekejap sahaja tetapi kerosakan harta benda tidak menunggu lama atau tidak.

Saya kerap terbaca alasan banjir kilat – kerana hujan yang berlebihan pada musim tertentu. Ditambah dengan faktor saliran dan sungai yang semakin cetek disebabkan projek pembangunan.

Nampaknya pihak-pihak yang berkenaan tahu sebab-sebab tetapi tidak ada tindakan yang boleh menghentikan banjir kilat.

Hujan berlebihan atau luar biasa lebatnya pada musim tertentu adalah faktor alam. Memanglah manusia sukar untuk mengawal taburan hujan kerana ini faktor alam tetapi mesti mencari kaedah untuk mengatasi faktor alam itu.

BASI

Sungai didalamkan atau diluaskan dan segala yang menghalang laluan air dibersihkan.

Tetapi setiap kali berlaku banjir kilat ada lagi pihak yang menggunakan alasan hujan berlebihan dan sungai tidak dapat menampung kuantiti air pada satu-satu masa. Jawapan yang agak basi ini diulang siar oleh media tanpa mempersoalkan tindakan proaktif pihak berkenaan.

Sungai menjadi cetek disebabkan oleh banyaknya tapak pembinaan adalah faktor manusia. Di manakah penguatkuasaan supaya pihak pemaju turut memikul tanggungjawab memastikan setiap projek pembinaan tidak meninggalkan kesan buruk pada alam sekitar?

Di Kuala Lumpur ini pantang ada tanah lapang, segala padang permainan dan pasar malam kerap menjadi mangsa. Tanah yang bernilai emas membuatkan sesetengah pihak menjadi pelahap, tetapi tidak memikul tanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar.

Nampaknya pemaju mengaut keuntungan dengan sikap lahap sesetengah birokrat dan alam sekitar di Kuala Lumpur yang menjadi mangsa. Penghuni pula menanggung beban daripada pemaju dan birokrat yang tidak cakna dengan kesan daripada sikap mereka.

Saya fikir Kuala Lumpur masih jauh lagi untuk layak untuk menjadi ibu kota negara maju kalau masalah banjir kilat pun sudah berpuluh tahun tidak ada penyelesaian. Definisi negara maju bukan hanya prasarana atau pernah mencatat rekod sebagai ibu kota yang berdirinya menara tertinggi di dunia.

Negara maju juga menjanjikan kehidupan yang aman dan sejahtera – dari sudut jenayah dan juga alam sekitar. Tidak semua kejadian banjir di Kuala Lumpur boleh dianggap sebagai bencana, banyaknya disebabkan pengurusan alam sekitar dan penguatkuasaan.

Kalau masih tidak berubah juga, eloklah banjir kilat dijadikan salah satu tarikan pelancong di Kuala Lumpur. Sudah tentu banyak pelancong tidak pernah melihat kereta bertukar menjadi kapal selam, boleh melihatnya di Kuala Lumpur pada musim tertentu.

Masukkan banjir kilat di Kuala Lumpur dalam kalendar pelancongan supaya keunikan bandar raya ini boleh dinikmati oleh pelancong luar negara atau luar Kuala Lumpur.

HUTAN BATU

Bertukar menteri, datuk bandar dan ahli Parlimen sebenarnya tidak menukarkan apa-apa terhadap kebekuan berfikir untuk mengatasi masalah banjir kilat. Sebaliknya sesetengah daripada mereka kelihatan sangat rakus dengan definisi ‘pembangunan’ dan ‘modenisasi’ yang difahami sebagai tumbuhnya hutan batu yang menggapai awan.

Pembangunan menumbuhkan hutan batu yang melampau tanpa memberi ruang pada alam untuk bernafas memberi kesan buruk pada aliran sungai, kawasan aliran air dan permukaan yang serap air yang mencukupi. Pembangunan yang menggila membuatkan kawasan serap air semakin kecil.

Dari segi fizikal, Kuala Lumpur sudah sangat hebat pembangunannya. Banyak bangunan tinggi berceracak bagaikan rebung di musim hujan. Kalau hendak tahu rebung di musim hujan, lihatlah Kuala Lumpur . Sekejap tumbuh dan tumbuh.

Cuma yang tidak maju ialah sikap sesetengah birokrat untuk mengimbangi pembangunan dan kelestarian alam.

Negara maju sebenarnya mengambil kira keperluan kemanusiaan warganya.

Oleh hal demikian, definisi pembangunan atau kemajuan itu mesti merangkumi keselesaan warganya.

Pelan pembangunan jangka pendek dan panjang Kuala Lumpur sepatutnya mengambil kira perubahan iklim 10 atau 20 tahun akan datang. Pihak berkuasa tidak boleh terlalu pantas meletakkan banjir kilat pada faktor alam. Ini cuci tangan namanya. Tolong jangan sebatikan nama banjir kilat dengan Kuala Lumpur. Ini memalukan.

PENULIS ialah Editor Kuseman.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN