"Apa cerita anak-anak kita ini?" - Utusan Malaysia

“Apa cerita anak-anak kita ini?”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEORANG kawan memberitahu, anaknya yang baru habis belajar di UiTM sekarang menjadi rider di sebuah restoran makanan segera.

Dia yang berkelulusan kejuruteraan sukar untuk mendapatkan kerja seperti kelayakannya. Jadi dia `sambar’ apa saja kerja yang ada. Tiada istilah memilih kerja kerana tidak ada pekerjaan yang hendak dipilih-pilih itu.

Kata ibu berkenaan, dia reda dengan apa yang dilalui anaknya itu. Biarlah anaknya bekerja dari bawah dulu. Merasa betapa susah dan penatnya mencari duit sendiri.

“Insaf rasa tengok budak-budak rider penghantar makanan ini. Ada penghantaran baru dapat duit. Satu penghantaran anak saya dapat RM4.30.

“Kalau guna khidmat penghantar makanan ini, janganlah kedekut bagi duit lebih atau tips. Kena pula sekarang ini musim hujan. Lagi kasihan mereka ini,’’katanya.

Tetapi jauh di sudut hatinya, saya tahu dia rasa sedih kerana mengharapkan anaknya tidak sepatutnya bersusah payah bekerja sebagai penghantar makanan.

Semua ibu bapa pun begitu. Apabila berjaya menghantar anak belajar tinggi tentu mahu anaknya bekerja selesa.

Ramai kawan saya yang mempunyai anak graduan dari institusi pengajian tinggi, anak-anak mereka masih tidak mempunyai pekerjaan tetap. Masing-masing kalau berjumpa pasti ayat ini yang keluar – “Apa cerita anak-anak kita ni?”

Dan yang masih belajar di universiti pula, macam-macam kesukaran belajar secara online di rumah.

Dengan pandemik Covid-19, yang angka kesnya selalu naik, jarang turun, ramai yang dibuang kerja, ia menambah parah graduan yang mahu mencari kerja ketika ini.

Seorang graduan sumber manusia dari universiti swasta pula memberitahu saya, dia belum mendapat kerja setelah tamat pengajian tahun lalu.

“Ada iklan kerja eksekutif sumber manusia tetapi mereka mahu pengalaman sekurang-kurangnya dua tahun.

“ Macam mana hendak dapat pengalaman, kalau tidak ambil graduan bekerja. Jadi yang tiada pengalaman terus tiada pengalamanlah,” katanya dengan nada kecewa.

Jadi dia mencuba berniaga secara online. Menjual produk kecantikan kecil-kecilan untuk mendapatkan wang sendiri.

Saya pun terfikir, bagaimana graduan yang datang daripada keluarga yang susah. Ibu bapa mengharapkan anaknya dapat mengubah nasib keluarga apabila berjaya di Menara Gading, tetapi akhirnya bergelut mencari pekerjaan.

Dan yang paling tidak boleh diterima tentulah penggunaan `kabel’ atau orang dalam untuk mendapat pekerjaan. Orang yang tidak layak dipanggil pula bekerja, atas sebab dia itu anak bos, anak kakitangan atau saudara mara. Sedangkan yang berkelayakan tidak diberi peluang dan mereka ini ada yang merupakan satu-satunya harapan keluarga untuk membantu dari segi kewangan apabila sudah tamat pengajian.

Majikan pula janganlah guna alasan `busuk’, susah dapat kerja ketika pandemik ini dengan menawarkan gaji rendah termasuk yang bertahap profesional, dengan gaji sama seperti yang bekerja di kedai makanan segera.

Saya ada melihat beberapa syarikat yang mengiklankan jawatan profesional tetapi menawarkan gaji bermula RM1,800 hingga RM3,500 dengan meletakkan keutamaan untuk yang telah bekerja dua tahun ke atas.

Ini yang dikatakan, hendak suruh buat macam-macam kerja tetapi bayar gaji yang rendah, gajinya sama tahap dengan jurujual di pusat beli-belah.

Mengambil kesempatan pada saat-saat sukar ini tentulah perbuatan yang di luar moral kemanusiaan, apatah lagi mengambil kesempatan dengan kesusahan orang lain.

Semoga Covid-19 cepat berakhir, anak-anak kita dapat kembali belajar di universiti dengan selesa dan yang sudah habis pengajian dapat mencari kerja yang sesuai dengan kelayakan. Amin. Saya pasti ini doa kebanyakan ibu bapa ketika ini. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN