AKHIRNYA, apa yang diharapkan oleh kebanyakan daripada kita, sudah dilaksanakan. Ramai yang meminta agar sekolah di seluruh negara diberikan cuti kerana ini merupakan satu kaedah mengelak perhimpunan individu dalam satu-satu masa.
Sejak angka positif kes Covid-19 meningkat dari sehari ke sehari Oktober lalu, ramai dalam kalangan masyarakat meminta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula, bukan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
PKP dilaksanakan di seluruh negara antara 18 hingga 31 Mac lalu.
Ia melalui beberapa fasa dan kalau mengikut apa yang ditetapkan sebelum ini, antara 10 Jun hingga 31 Disember nanti kita berada di bawah fasa pemulihan (PKPP). Namun, PKPB dikuatkuasakan semula di kebanyakan negeri kecuali Kelantan, Pahang dan Perlis sahaja memandangkan negeri-negeri itu sifar kes sudah sekian lama.
Kini, atas permintaan dan rungutan ramai, sekolah di seluruh negara bercuti bermula 9 dan 10 November lalu hingga 17 Disember ini bagi kumpulan A dan 18 Disember bagi negeri-negeri kumpulan B.
Tarikh-tarikh tersebut merupakan hari akhir persekolahan bagi tahun ini.
Sekolah akan dibuka semula 20 Januari 2021 kecuali pelajar tingkatan dua dan tiga yang akan memulakan persekolahan pada 8 Mac nanti. Oleh itu, tidak ada lagi suara-suara yang mengeluh kerana masih ada negeri yang tidak bercuti sedangkan negeri-negeri lain bercuti. Ada yang berkata tidak adil kerana tidak semua sekolah bercuti, peperiksaan pula semakin hampir.
REDA
Namun, apabila peperiksaan-peperiksaan penting ditangguhkan, kebimbangan ibu bapa terhadap anak-anak yang tidak bersekolah menjadi semakin reda. Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditangguhkan kepada 22 Februari depan manakala Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) kepada 8 Mac 2021. Ini bermakna pelajar-pelajar masih mempunyai banyak masa untuk menghadapi peperiksaan-peperiksaan tersebut.
Bagi negeri-negeri yang berada dalam zon kuning dan merah, tahun ini budak-budak sekolah lebih banyak berada di rumah daripada di sekolah.
Rungutan yang timbul ialah segala bentuk pengajaran yang dilakukan menerusi dalam talian dikatakan masih tidak memuaskan. Bukan hanya budak-budak sekolah yang bimbang, ibu bapa pun turut terkesan apatah lagi yang terbabit dengan peperiksaan penting.
Malah, tidak semua pelajar mempunyai kemudahan peranti elektronik yang bersesuaian dengan konsep pembelajaran di rumah. Dikatakan 36 peratus daripadanya tidak memiliki kemudahan tersebut termasuklah komputer riba.
Pro dan kontra mengenai sekolah bercuti atau tidak dalam era Covid-19 memang naik bingit telinga mendengarnya. Ada yang suka bercuti panjang demi keselamatan anak-anak kerana kanak-kanak tidak mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP). Ada yang tidak suka bercuti panjang kerana memikirkan masa depan anak-anak terutama yang bakal menghadapi peperiksaan penting.
REZEKI
Ada pula yang suka bercuti tetapi tiba-tiba jadi tidak suka bercuti, bukan kerana kerana cuti panjang tetapi kerana baru mengetahui masalah-masalah yang bakal timbul. Seperti awal-awal pelaksanaan PKP dahulu, apabila anak-anak berada di rumah, mulalah ibu bapa merungut pula hendak menjaga mereka. Bagi yang bekerja, masalah menjadi lebih rumit kerana anak-anak tidak tahu hendak letak di mana. Hendak hantar balik ke kampung pun tidak boleh kerana tidak boleh merentas negeri.
Kini, apabila diberi cuti panjang dan ditangguhkan peperiksaan-peperiksaan penting, kita berharap rungutan-rungutan ini terhenti. Cuma timbul pula rungutan baharu berkaitan rezeki pelbagai pihak yang terlibat dengan sekolah dan institusi pengajian lain.
Dianggarkan lebih kurang 70,000 pekerja kantin terpaksa berehat dan tidak bekerja sepanjang tempoh yang panjang ini. Itu belum lagi dikira pengusaha dan pembekal makanan, pengusaha bas sekolah dan ramai lagi yang terpaksa berehat, tidak mempunyai sumber pendapatan.
Senario yang dapat dilihat, sebaik sahaja PKPB dilaksanakan, jalan menjadi lengang. Memang jika sekolah bercuti, ia mempengaruhi aliran trafik di mana-mana sahaja. Oleh itu, kita selalu berdoa dan berharap, kita mampu menghapuskan rantaian pandemik ini demi kelangsungan hidup kita, agar dapat menikmati suasana ceria, bebas ke mana-mana, belajar, berniaga,beribadat, bekerja dan membantu memulihkan ekonomi negara.
PENULIS ialah penganalisis sosial dan bekas guru.










