Sumbangan ahli kimia bendung Covid-19 - Utusan Malaysia

Sumbangan ahli kimia bendung Covid-19

PENSANITASI tangan berasaskan alkohol yang dihasilkan oleh UTM. – IHSAN PEMBACA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEMEMANGNYA kehadiran pandemik Co-vid-19 tidak dijangka dan telah memberikan impak kepada segenap urusan kita.

Dalam konteks ini, integrasi kepakaran sains termasuk bidang kimia diperlukan bagi menyumbang kepada pengawalan wabak secara holistik dan berkesan.

Antara sumbangan ahli kimia termasuk dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) adalah menghasilkan pensanitasi tangan berasaskan alkohol setelah timbul isu ia agak sukar diperoleh berikutan permintaan dan penggunaan yang tinggi.

Dengan menggunakan kemudahan dan sumber universiti, pasukan sukarelawan ditubuhkan bagi menyalurkan bantuan pensanitasi tangan yang secukupnya kepada barisan hadapan dan masyarakat awam.

Formulasi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) digunakan sebagai panduan asas bagi menyediakan pensanitasi tangan dengan mengambil kira kos tetapi tetap berkeupayaan membunuh bakteria atau virus berbahaya. Telah dibuktikan, pensanitasi tangan dengan kepekatan alkohol antara 60 hingga 95 peratus adalah berkesan digunakan.

Penggunaan jenis etanol 96 peratus dan isopropil alkohol 99.8 peratus turut disarankan sebagai sumber alkohol. Dengan kefahaman alkohol berkeupayaan mengubahsuai struktur protein serta memusnahkan dinding sel dan membran sel bakteria atau sampul koronavirus.

Selain itu, bahan kimia hidrogen peroksida diperlukan bagi menyahaktifkan spora bakteria dalam larutan sanitasi serta mengelakkan pencemaran daripada bakteria. Bahan gliserol juga ditambah bagi melindungi kulit daripada kekeringan dan mengelakkan penyakit kulit dermatitis.

Kini terdapat pelbagai jenis pensanitasi tangan yang dijual dalam pasaran dengan bahan tambahan lain. Misalnya, bahan pewangi seperti minyak pati digunakan bagi mengurangkan bau alkohol.

Harus diingat, setiap bahan tambahan perlu dipastikan tidak menyumbang kepada ketoksikan, menyebabkan alahan atau menganggu sifat bioaktiviti pensanitasi tangan.

Dalam hal ini, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) berperanan utama dalam mengawal selia perihal kesihatan dan keselamatan pensanitasi tangan serta memastikan semua produk terbabit berdaftar dengannya.

Kawalan pencegahan Covid-19 juga memerlukan sumbangan ahli kimia dalam proses nyah kuman di tempat awam, kawasan kerja, institusi pendidikan atau kediaman. Justeru, produk yang digunakan untuk nyah kuman perlu dipastikan mengandungi bahan kimia aktif dengan kepekatan yang betul.

Antara bahan kimia yang biasa digunakan adalah alkohol, ammonia kuaterner dan agen pengoksida.

Sumbangan kimia juga diperlukan dalam kajian menggunakan ubat sedia ada yang dinilai semula untuk tujuan merawat pesakit Covid-19. Terdapat beberapa jenis ubatan yang berpotensi untuk merawat pesakit Covid-19 seperti chloroquine/hydroxychloroquine, remdesivir, lopinavir/ritonavir, favipiravir dan interferon beta.

PROF. MADYA DR. ZAITON ABDUL MAJID & DR. MOHD. BAKRI BAKAR
Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya