SUNGAI PETANI: Kira-kira 65 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Puteri Jaya, di sini menerima rawatan selepas disyaki mengalami keracunan makanan, hari ini.
Kesemua murid tahun empat hingga enam itu dikatakan mengalami gejala sakit perut, muntah dan cirit-birit selepas makan kuetiau sup di kantin sekolah.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Zubir Othman ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memaklumkan ramai murid mula menunjukkan simptom keracunan kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.
“Pihak sekolah menyediakan bilik darjah untuk dijadikan lokasi rawatan awal oleh kakitangan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda.
“Tujuh murid kemudiannya dibawa untuk rawatan lanjut di Zon Kuning HSAH dan dalam keadaan stabil,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, kantin sekolah itu diarah tutup sementara selama tiga hari bermula hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Tambahnya, sekolah itu mempunyai dua sesi dengan murid tahun empat hingga enam bersekolah sesi pagi manakala murid tahun satu hingga tiga belajar pada sesi petang.
“Pihak PIBG dan pentadbir sekolah mengucapkan terima kasih kepada kakitangan HSAH dan PKD Kuala Muda atas tindakan pantas memberikan rawatan kepada semua murid terlibat,” katanya. -UTUSAN










