CYBERJAYA: Yayasan Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) menyumbangkan RM180,000 kepada sembilan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi membantu mahasiswa yang memerlukan.
Presidennya, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, sumbangan RM20,000 kepada setiap institusi itu merupakan Fasa Dua inisiatif Gerobok Rezeki Yayasan Pekema bagi tahun ini.
Katanya, bantuan tersebut akan digunakan pihak IPTA untuk menyediakan makanan dan barangan keperluan asas yang boleh diambil mahasiswa yang memerlukan menerusi Gerobok Rezeki.
“Pelajar-pelajar, terutamanya daripada golongan B40 dan mereka yang memerlukan, boleh datang ke Gerobok Rezeki untuk mendapatkan makanan.
“Antara barangan yang disediakan termasuk makanan kering seperti mi segera dan minuman, yang boleh diambil sekiranya mereka memerlukan makanan, termasuk pada waktu malam,” katanya pada Majlis Sumbangan Gerobok Rezeki Yayasan Pekema kepada sembilan IPTA, di sini, hari ini.
Menurut Mohamed Nazari, inisiatif Gerobok Rezeki itu diperkenalkan buat pertama kali oleh Yayasan Pekema tahun ini dengan pelaksanaan Fasa 1 pada 11 Mac lalu melibatkan 11 IPTA, manakala Fasa 2 yang dilaksanakan hari ini melibatkan sembilan lagi IPTA, menjadikan keseluruhan 20 IPTA menerima manfaat Gerobok Rezeki tahun ini.
“Sambutan daripada IPTA sendiri amat baik dan mereka gembira dengan sumbangan yang diberikan.
“Mereka juga berharap sumbangan seperti ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang,” katanya.
Mohamed Nazari berkata, sumbangan Fasa 2 itu menjadikan keseluruhan bantuan Gerobok Rezeki Yayasan PEKEMA kepada 20 IPTA tahun ini berjumlah RM400,000.
Katanya, Yayasan PEKEMA turut menyediakan bantuan lain kepada mahasiswa yang memerlukan, termasuk sumbangan bagi pembayaran yuran pengajian dan komputer riba.
“Setiap bulan kita menerima kira-kira 15 hingga 20 permohonan dari seluruh Malaysia, termasuk Semenanjung, Sabah dan Sarawak, bagi bantuan pembayaran yuran dan komputer riba.
“Kita akan menilai setiap permohonan dan sekiranya ada peningkatan keperluan, kita boleh mempertimbangkannya,” katanya. – UTUSAN











