Tujuh termasuk tiga sekeluarga ditahan, edar 55kg dadah - Utusan Malaysia

Tujuh termasuk tiga sekeluarga ditahan, edar 55kg dadah

Dadah
HUSSEIN Omar Khan menunjukkan rampasan dadah keseluruhan seberat 55 kilogram, pada sidang akhbar dekat Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Polis menahan tujuh individu termasuk tiga sekeluarga berusia 21 hingga 44 tahun dipercayai terlibat dalam pengedaran dadah seberat kira-kira 55 kilogram (kg) dalam kes berasingan sekitar Petaling Jaya, di sini pada 15 Mei lalu.

Kesemua dadah yang dirampas adalah jenis syabu dan ganja dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM500,766 yang dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang.

Kira-kira pukul 3.10 petang hari tersebut, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor menahan dua lelaki dan seorang wanita tempatan dekat sebuah tempat letak kereta di sekitar Petaling Jaya.

Polis turut merampas 10 bungkusan dadah jenis syabu yang dipegang oleh suspek sebelum menemukan seorang lagi lelaki kira-kira sejam kemudian di lokasi sama dan merampas sebungkus lagi dipercayai syabu di dalam kereta yang dinaiki suspek.

Sementara itu dalam kes berasingan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya menahan dua lelaki kira-kira pukul 2.30 petang dekat Sungai Way dan merampas dua 2.051kg ganja yang diletakkan dekat tempat duduk belakang sebuah kereta.

Susulan penangkapan tersebut, kira-kira pukul 10 malam keesokan harinya, polis menahan seorang lagi lelaki tempatan di Pantai Dalam, Kuala Lumpur dan merampas ganja seberat 22kg yang disembunyikan dalam sebuah kotak dan tong di ruang tamu sebuah rumah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil saringan awal ujian air kencing mendapati daripada kesemua suspek yang ditahan dua daripada mereka didapati positif dadah jenis benzo dan Tetrahydro-Cannabinol (THC).

“Bagi kes pertama, ujian saringan air kencing bagi keempat-empat suspek negatif, namun dua sekeluarga (ayah dan anak) dan seorang lagi lelaki masing-masing mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah kecuali wanita (isteri atau ibu) tidak mempunyai rekod lampau.

“Suspek kes kedua pula, salah seorang daripada mereka mempunyai enam rekod jenayah tiga daripadanya bersabit dadah, seorang lagi mempunyai tiga rekod jenayah dan satu dadah sementara seorang lagi tidak mempunyai rekod lampau.

“Dadah yang dirampas pula dipercayai berasal dari kawasan golden triangle dibawa masuk melalui sempadan utara tanah air, namun ia masih dalam siasatan polis,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Tambahnya, selain tangkapan dan rampasan dadah, polis turut merampas barangan lain di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 yang melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha LC bernilai RM6,800 dan wang tunai sebanyak RM238.

Kesemua suspek direman selama tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana sabit kesalahan boleh dihukum gantung atau penjara seumur hidup serta minimum 12 sebatan.

Dalam pada itu, Hussein menjelaskan dadah jenis syabu yang dirampas seberat 11.418kg itu boleh dibekalkan kepada 22,836 pengguna dalam masa sehari dengan mengambil kira penggunaan harian sebanyak 0.5 gram.

Bagi ganja pula, jumlah 43.9kg itu boleh digunakan oleh 87,720 orang dalam masa sehari dengan kadar penggunaan harian yang sama.

“Justeru, polis mengalu-alukan orang awam menyalurkan maklumat-maklumat jenayah terutamanya berkaitan dadah kepada polis dalam usaha membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah secara habis-habisan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN