Selebriti dan black money - Utusan Malaysia

Selebriti dan black money

Lima individu termasuk seorang berpangkat Datuk Seri dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk mendapatkan tahanan reman oleh SPRM berhubung kes AMLA, baru-baru ini. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Media tempatan baru-baru ini menceritakan kisah selebriti tempatan yang menerima wang ‘pelaburan’ daripada pihak tertentu. Khabarnya, ada dalam kalangan selebriti tersebut tidak sedar bahawa wang pelaburan yang mereka terima itu sebenarnya black money (wang haram), iaitu hasil kegiatan jenayah ‘pelabur’ berkenaan.

Pada 8 Oktober lalu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki memberitahu wartawan, pihaknya mempunyai senarai individu termasuk selebriti dan ahli perniagaan yang terlibat dalam aktiviti ‘mencuci’ wang sindiket Macau Scam.

Beliau menggesa individu terbabit tampil di pejabat SPRM, sebelum dipanggil untuk membantu siasatan. Apabila ditanya sama ada mereka yang menerima wang itu tahu asal usul wang tersebut, beliau menjawab, “Mustahil mereka tidak tahu kerana wang itu biasanya diserahkan dalam bentuk tunai.”

Jelasnya lagi, wang haram ini adalah hasil daripada kegiatan jenayah seperti ‘menipu, rasuah atau merompak bank’ dan ‘perlu dicuci’ menerusi pelaburan.

KOLAR PUTIH

Sehingga minggu lalu, SPRM menahan 10 individu termasuk lapan pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Dalam operasi membanteras kegiatan jenayah kolar putih ini, SPRM membekukan 750 akaun bank dengan simpanan kira-kira RM75 juta membabitkan beberapa individu termasuk selebriti dan usahawan kosmetik.

SPRM juga menyita 24 kenderaan mewah dan motosikal berkuasa tinggi, selain menyita kediaman mewah milik pasangan suami isteri yang ditahan, minggu lalu.

Dalang utama sindiket penipuan ini dipercayai rakyat China tetapi mereka menggunakan ejen di negara ini untuk menguruskan ‘pelaburan’ wang haram mereka termasuk mencari perniagaan berpotensi untuk ‘membersihkan’ wang haram mereka. Antara modus operandi yang digunakan oleh ejen sindiket ini adalah mencari selebriti tempatan dan menjanjikan kesediaan mereka melabur (menyuntik modal) dalam perniagaan mereka.

Azam menyatakan, selain bertindak di bawah Akta SPRM 2009, pihaknya juga menggunakan Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Erti ‘pengubahan haram’ dalam Seksyen 3 Akta 613 mentakrif “pengubahan wang haram” sebagai perbuatan seorang yang:
(a) melibatkan diri secara langsung atau tidak langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada satu aktiviti haram.
(b) memperoleh, menerima, melupuskan, menggunakan, mengalihkan hasil daripada suatu aktiviti haram, atau
c) merahsiakan, menyembunyikan sumber, lokasi, pergerakan, pelupusan, hakmilik atau pemunyaan hasil daripada aktiviti haram.

“Perbuatan” seorang itu seperti yang dinyatakan dalam (a), (b) atau (c) di atas dikira bersalah jika ia dilakukan dalam keadaan orang itu ‘tahu atau mempunyai sebab untuk mempercayai’ bahawa wang yang dia terima itu adalah hasil daripada suatu aktiviti haram, atau orang itu ‘tidak mengambil langkah yang munasabah’ untuk mempastikan wang tersebut bukan hasil daripada suatu aktiviti haram.

HOLLYWOOD

Kesimpulannya, jika seorang selebriti itu ada menerima wang hasil satu aktiviti haram ‘sebagai pelaburan’ daripada pihak lain (elemen perbuatan ini dipanggil actus reus) dan pada ketika itu dia tahu atau ada sebab mempercayai wang yang diterimanya itu adalah hasil aktiviti haram, atau pun dia tidak mengambil langkah yang munasabah untuk menentukan wang itu bukan hasil daripada satu aktiviti haram (elemen mental ini dipanggil mens rea), dia telah melakukan kesalahan pengubahan wang haram.

Untuk mensabitkan seorang itu melakukan kesalahan pengubahan wang haram, pendakwa mestilah berjaya membuktikan kedua-dua elemen ini.

Istilah “aktiviti haram” pula ditakrif sebagai bererti apa-apa aktiviti yang berhubungan dengan mana-mana ‘kesalahan berat’ atau ‘kesalahan berat asing.’ Untuk mengetahui apakah dia ‘kesalahan berat’ dalam Akta 613 ini, kita perlu meneliti satu senarai panjang beberapa akta lain dalam Jadual Kedua akta ini.

Jenayah pengubahan wang haram melibatkan tiga langkah berikut – placement, layering dan integration. Matlamat penjenayah adalah menjauhkan wang haram itu dari sumber asalnya (aktiviti haram) dan akhir sekali meletakkannya menjadi sebahagian daripada sistem kewangan negara.

Orang yang pertama dituduh dengan kesalahan pengubahan wang haram di negara ini adalah Dr. Hamimah Idruss. Dihadapkan dengan lapan pertuduhan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) dan 10 pertuduhan di bawah Kanun Keseksaan, dia akhirnya disabitkan dan dikenakan hukuman penjara 38 tahun. Bagaimanapun, dia perlu menjalani hukuman penjara tiga tahun sahaja kerana hukuman penjara bagi 10 kesalahan di bawah Kanun Keseksaan itu diperintahkan berjalan serentak.

Peminat filem Hollywood di negara ini pastinya ingat sebahagian wang yang dicuri daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah dilaburkan (dibersihkan) dalam pembikinan filem The Wolf of Wall Street.

Selebriti kita perlu berhati-hati dan berwaspada jika dihampiri pelabur yang tidak diundang. Wang pelaburan yang ditawarkan itu mungkin duit haram yang mahu dibersihkan. Hindari diri anda daripada diperalatkan oleh penjenayah kolar putih ini.

DATUK Salleh Buang ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN