Antara momen bersama keluarga sering saya ingat adalah melihat kakak-kakak bermain batu seremban. Saya amat tertarik melihat lima biji batu berbentuk piramid dibaluti kain berwarna-warni.
Bertambah seronok apabila melihat batu-batu itu dilambung ke udara sebelum disambut semula oleh mereka dengan begitu pantas dan cekap.
Namun tiba giliran saya, begitu hampa kerana tidak dapat melambung kelima-limanya sekali gus. Malah, saya tidak dapat menggenggam kesemua batu-batu tersebut disebabkan tangan yang terlalu kecil.
Untuk menceriakan saya, setibanya di rumah, kakak-kakak mengeluarkan guli dan papan congkak. Saya teruja apabila dapat bermain congkak untuk pertama kalinya. Malah tidak sedih apabila kalah kerana pengalaman itu sangat menyeronokkan dan menjadikan saya tidak berputus asa untuk terus bermain lagi.
Merenung kembali, soal menang atau kalah bukanlah penting. Apa yang lebih bermakna ialah kepuasan kerana dapat menikmati permainan yang belum pernah saya cuba sebelum itu.
Congkak kemudiannya menjadi kegemaran kami pada waktu lapang. Malah lebih istimewa, saya mempunyai banyak kenangan manis ketika bermain cong-kak bersama arwah nenek dan arwah datuk hampir setiap kali mereka mengunjungi kami.
Saya juga suka bermain wau dan layang-layang. Paling tidak dilupakan, tali wau putus dan terbang ditiup angin sehingga tersangkut di atas pokok.
Masih banyak lagi permainan tradisional yang asing bagi saya. Contohnya, guli, galah panjang, gasing dan dam.
Di sebalik keasyikan permainan moden seperti PUBG, Dota dan GTA, permainan warisan nenek moyang kita janganlah dilupakan.
PENULIS berusia 17 tahun dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).









