BARU-BARU ini, khabarnya Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menolak satu permohonan seorang pelajar untuk mendapatkan bantuan kewangan pembelajaran di sebuah institusi seni. Pelajar itu ingin mendalami ilmu dalam bidang perfileman.
Menjadi hak mana-mana institusi yang menawarkan biasiswa, dermasiswa atau pinjaman pendidikan untuk meluluskan atau menolak sebarang permohonan pelajar. Penolakan boleh menggunakan alasan yang umum sahaja demi mengelak sebarang kontroversi.
Akan tetapi, apabila penolakan terhadap pelajar yang ingin mendalami ilmu perfileman itu berbunyi: “Gagal kerana menjurus kepada hiburan dan melalaikan”, pernyataan ini menyerlahkan sikap luar biasa Maidam terhadap filem dan industri perfileman.
Sudut pandang Maidam ini sangat percaya semua filem itu berunsur hiburan dan melalaikan. Jika ini dianggap sebagai suatu dosa, maka apakah perancangan strategik Maidam mendekati pembikin-pembikin filem tanah air bagi mengubah konsep dan definisi filem menurut kepercayaan Maidam? Atau Maidam tidak berbuat apa-apa gerakan dakwahnya terhadap golongan ini?
Proses penghasilan sesebuah filem sebenarnya boleh diatur bagi patuh syariah. Begitu juga ketika proses lakonan dan sebagainya. Jika Maidam percaya proses ini boleh dilakukan, maka Maidam serta pelbagai institusi keagamaan di negara ini wajar menggerakkan kempen menghasilkan filem-filem yang Islami sifatnya. Ini kerana filem turut mempunyai kuasa mempengaruhi sikap serta akal budi para penontonnya.
REFORMASI
Mungkin niat suci pelajar yang permohonannya ditolak oleh Maidam menuju ke arah reformasi perfileman. Hal demikian ini kerana pengajaran dan pembelajaran filem di institusi tersebut memberi pemberatan kepada penghasilan karya seni bermutu yang memuatkan idea.
Justeru, filem tidak akan lagi bersifat hiburan semata-mata, tetapi infotainment, tidak melalaikan sebaliknya memberi kesedaran kepada jiwa dan akal.
Ulama terkenal Nusantara, iaitu Hamka menghasilkan beberapa buah novel yang telah diangkat menjadi filem. Entahlah kalau Maidam juga akan menganggap novel termasuk yang dihasilkan oleh Hamka juga hanya hiburan dan melalaikan.
Filem daripada novelnya, Di Bawah Lindungan Ka’bah telah mengangkat isu hubungan muda mudi melalui sudut pandangan Islam yang teliti. Filem telah dijadikan suatu kuasa baharu sebagai medium dakwah. Filem ini barangkali ditonton oleh jutaan orang di Indonesia dan Malaysia – yang melalui tontonan mendapat tahu tentang adab Islami dalam masyarakat Melayu Minangkabau pada suatu zaman tertentu.
Begitu juga dengan filem Semerah Padi. Isu bagaimana hukum Islam harus ditegakkan dan dilaksanakan telah dinaratifkan dengan begitu dramatik, indah serta memberi kesan kepada penonton, menafikannya sebagai sebuah filem hiburan serta melalaikan. Kesan filem itu masih terasa hingga kini khususnya mereka yang pernah menonton filem ini dahulu.
Jika tidak difilemkan, bagaimana kita akan dapat melihat dan turut ‘merasai derita’ tokoh pejuang Islam bernama Omar Mukhtar di Libya? Pejuang Islam yang gigih ini dengan lantang dan berani mengetuai gerakan melawan Regio Esercito atau tentera diraja Itali dalam filem Lion of The Desert (1981).
Ia rela dengan tenang digantung sampai mati oleh rejim penjajah Itali selepas mengambil wuduk. Filem ini telah menjadi wacana bagaimana penganut Islam yang tertindas di negara sendiri yang belum merdeka harus melawan cengkaman pihak metropole kafir walau apa pun risikonya. Ia sekali gus membuktikan filem ini bukan hiburan murahan serta tidak melalaikan kerana ia sebuah naratif jihad luar biasa ketika negara-negara Islam dijajah oleh kuasa-kuasa asing.
NASIONALIS
Jika nanti Maidam lebih berlapang dada serta terbuka hati untuk memahami peranan filem dalam masyarakat moden serta mereformasi filem kita melalui dakwahnya, barangkali elok diangkat beberapa kisah menarik yang terdapat di Terengganu sendiri.
Antaranya, kisah nasionalis Abdul Rahman Limbong. Atau tokoh ulama, Tokku Paloh. Atau kisah kedatangan Islam ke Terengganu. Tidak kurang penting ialah tokoh-tokoh hebat Terengganu seperti Tuk Sheikh Duyung, Tuk Sheikh Abdul Malik, Tokku Bukit Bayas dan sebagainya.
Dakwah cara lama makin memerlukan pendekatan baharu, strategi serta pelbagai platform internet termasuk filem. Novel-novel Hamka telah melalui transformasi dari teks ke visual.
Kita harus mampu membuktikan kebolehan menafikan persepsi negatif tentang filem sebagai sesuatu yang melalaikan dan menghiburkan semata-mata. Kita harus melihat sisi positif filem yang dirancang sebagai karya seni yang mengandungi unsur ilmu, pengajaran dan adab. Ini yang harus dihasilkan, bukan menyalahkan filem.
DATUK Anwar Ridhwan ialah Sasterawan Negara, kini bertugas sebagai pensyarah kanan di Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).










