Kini bukan lagi mampu lihat - Utusan Malaysia

Kini bukan lagi mampu lihat

RAMAI mengimpikan untuk membeli rumah di Putrajaya tetapi harga yang terlalu tinggi menyebabkan mereka membatalkan sahaja hasrat itu. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bukan lagi angan-angan!

Berita baik bagi yang berniat memiliki aset di Putrajaya.

Pemodenan, keindahan dan sifar jenayah menjadikan Putrajaya menjadi pilihan utama golongan muda untuk memiliki kediaman sendiri. Ramai sebenarnya mahu menetap di Putrajaya, namun masih tidak berkemampuan untuk membeli rumah di bandar tersebut ekoran faktor harga yang melambung naik. Ramai merungut mengatakan rumah-rumah di Putrajaya hanya sekadar mampu lihat dan mustahil untuk dimiliki.

Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Rosida Jaafar ketika ditemu bual Utusan Malaysia, baru-baru ini memberi perkhabaran baik dan sinar baharu buat mereka yang masih mencari kediaman.

Katanya, Putrajaya sebagai sebuah bandar terancang dengan semua kemudahan selain lokasinya sebagai pusat pentadbiran negara serta strategik menyebabkan harga rumah lebih tinggi berbanding kawasan sekitar.

Namun, jika dibanding dengan Kuala Lumpur, harga rumah di Putrajaya masih lagi rendah bagi perumahan jenis banglo dan berkembar. Sementara harga rumah teres adalah sama seperti bandar-bandar besar lain di Lembah Kelang iaitu antara RM500,000 hingga RM700,000 disebabkan nilai tanah.

MAMPU MILIK
Bukan itu sahaja, kategori rumah mampu milik berharga di bawah RM300,000 turut ditawarkan di Putrajaya khusus untuk golongan berpendapatan sederhana dan ke bawah.

Pada masa ini, perumahan mampu milik di Putrajaya merangkumi pembangunan Putra Harmoni, Putra Damai, Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) yang dijual pada harga bawah RM300,000 seunit.

Kesemua inisiatif tersebut dibangunkan secara bersama oleh pelbagai pihak termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Jabatan Perdana Menteri dengan 9,774 unit siap dibina dan 2,804 unit sedang dalam pembinaan.

Sementara 37,394 unit kediaman sedia ada dibangunkan merangkumi kuarters kerajaan (22,452), perumahan mampu milik (9,774) dan perumahan swasta lain (5,168).

Atas sebab itu, maka hala tuju kementerian dalam perkara ini adalah untuk menambah bilangan Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Residensi Wilayah) supaya golongan muda berpendapatan RM4,000 ke bawah juga boleh membeli rumah di situ.

Kerajaan tidak lagi berhasrat membina perumahan bawah (landed houses) yang berharga tinggi seperti sasaran asal dalam Pelan Induk Putrajaya bagi menampung peningkatan jumlah penduduk yang dianggarkan sebanyak 120,000 orang. Sebaliknya digantikan dengan pangsapuri pada kadar harga berpatutan.

Kerajaan pada masa sama menetapkan 30 peratus perumahan jenis swasta diberikan diskaun 25 peratus kepada kakitangan kerajaan menerusi skim Civil Servant Reserve Unit (CSRU).
Kini tiada lagi kata-kata ‘hanya bermimpi’ atau ‘beranganlah’ jika hendak tinggal di Putrajaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×