Isu kebolehpasaran graduan dan pengangguran dalam kalangan siswazah bukan masalah baharu di negara kita. Bilangan graduan yang semakin bertambah menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan antara peningkatan jumlah mereka dengan peluang pekerjaan.
Tahun ini, keadaan menjadi semakin parah dengan wabak Covid-19 yang memberi kesan langsung kepada ekonomi negara, sekali gus menjadi ancaman besar kepada peluang pekerjaan graduan.
Dianggarkan 300,000 graduan baharu memasuki pasaran pekerjaan dan situasi ekonomi yang sangat tidak memberangsangkan mula memberikan cabaran besar kepada semua pencari kerja ini.
Pihak industri pula tidak dapat memberi jaminan mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka.
Ironinya, majikan dilihat tidak sanggup mengambil risiko menambah tenaga kerja baharu dalam skala besar di tengah-tengah wabak yang dengan jelas melumpuhkan aktiviti ekonomi di seluruh dunia. Oleh itu, isu kebolehpasaran graduan ini wajar dilihat sebagai tanggungjawab bersama beberapa pihak seperti graduan itu sendiri, ibu bapa dan industri ataupun majikan.
Misalnya dalam situasi sekarang, graduan terpaksa bersaing hebat sesama mereka untuk merebut peluang pekerjaan yang ditawarkan. Dalam konteks ini sebagai orang baharu dalam dunia pekerjaan, graduan perlu bersedia untuk bermula dari bawah, menerima gaji yang sederhana serta tidak memilih kerja. Hal ini sangat penting kerana graduan tidak berada di posisi untuk membuat pilihan. Sebaliknya, mereka berada dalam kedudukan untuk menerima apa sahaja yang ada di depan mata. Jadi, graduan perlu bersikap lebih terbuka dan positif untuk beradaptasi dengan situasi kritikal seperti ini.
Pada masa sama, graduan juga perlu merebut peluang-peluang latihan dan kursus kemahiran yang disediakan oleh kerajaan agar dapat melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran yang diperlukan oleh majikan. Ini termasuklah merebut peluang mendaftar dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara, Kementerian Pengajian Tinggi-Career Advancement Programme (Penjana KPT-CAP). Program ini merangkumi tiga subprogram, iaitu place and train (skim latihan dan penempatan), keusahawanan dan ekonomi gig. Melalui pelbagai kursus dan latihan, mereka boleh menjadi pekerja terlatih berkemahiran tinggi dan memenuhi ekspektasi serta keperluan industri terutamanya boleh menggantikan tempat pekerja asing.
MAKAN GAJI
Di samping itu, graduan juga perlu membuang jauh-jauh mentaliti dan budaya hanya mahu makan gaji. Terimalah kenyataan bahawa peluang pekerjaan sangat terhad selepas dunia dikejutkan dengan serangan virus Covid-19 yang memberikan kesan langsung kepada semua sektor ekonomi. Justeru, ambil ruang dan peluang ini untuk meneroka bidang keusahawanan sebagai pilihan kerjaya yang baharu.
Perkembangan semasa membuktikan perniagaan dalam talian menggunakan pelbagai platform digital sedang rancak dan mula mendapat permintaan yang tinggi. Sehubungan itu, graduan perlu berani mengambil risiko dan mencuba sesuatu yang baharu seperti perniagaan dalam talian yang turut menjanjikan pulangan cukup lumayan asalkan kita berusaha sungguh-sungguh. Ingat, bidang keusahawanan bukan sahaja memberikan kerja kepada graduan, malah kita juga dapat mencipta peluang pekerjaan kepada orang lain.
TERBUKA
Dalam pada itu, majikan adalah satu lagi komponen penting dalam rantaian kebolehpasaran graduan. Kita sedia faham, sentimen keadaan ekonomi mencabar menyebabkan kos operasi meningkat dan kadar keuntungan terjejas. Ini menyebabkan majikan sering mengutamakan pengambilan pekerja yang mahir dan berpengalaman. Ini sudah semestinya menjejaskan peluang graduan baharu yang mendambakan pengetahuan dan pengalaman. Jadi, kita berharap majikan akan bersikap lebih terbuka dengan memberi peluang kepada kumpulan graduan baharu dan muda untuk menimba pengalaman dan membuktikan kemampuan mereka.
Majikan perlu melihat kumpulan anak muda ini sebagai aset masa depan organisasi dan negara, bukannya dilabel sebagai individu yang tiada pengalaman lantas akan membebankan dan menyusahkan organisasi.
Akhirnya, kita berharap ibu bapa juga dapat memainkan peranan besar dalam memastikan anak-anak berjaya mencipta masa depan yang lebih baik. Misalnya, jika anak berminat dalam bidang keusahawanan, berilah dorongan dan galakan agar mereka bersemangat dan bermotivasi untuk meneroka bidang perniagaan. Sebaliknya, jika mereka mahu makan gaji juga, maka berikan nasihat supaya mereka tidak memilih pekerjaan dan merebut apa sahaja peluang yang ada di depan mata.
Jadi, secara umumnya isu kebolehpasaran graduan perlu dilihat dan diterima sebagai tanggungjawab kita bersama terutama oleh semua pihak yang terbabit dalam rantaian kebolehpasaran graduan. Dalam keadaan kita sedang berhadapan dengan serangan wabak, jangan kita lupakan tanggungjawab moral dan sosial dengan mencorakkan masa depan anak muda yang bakal mewarisi legasi kecemerlangan negara.
PENULIS ialah pentadbir di universiti awam dan penganalisis isu semasa.










