Media tempatan melaporkan, minggu lalu sehingga Sabtu, terdapat 287 kes baharu Covid-19, menjadikannya jangkitan harian paling tinggi sejak wabak menular di negara ini.
Mengulas situasi itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menyatakan, negara kita kini berada di ambang gelombang ketiga Covid-19.
Malangnya, masih ramai tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan termasuklah ahli politik yang pergi berkempen di Sabah menjelang pilihan raya negeri, 26 September lalu.
Setelah bergerak bebas di sana (sedar bahawa mereka terdedah kepada risiko jangkitan virus), mereka kemudian dibenarkan pulang ke Semenajung tanpa dikehendaki mematuhi prosedur kuarantin mandatori 14 hari yang sepatutnya dilaksanakan.
Akibatnya, beberapa negeri mencatatkan jangkitan baharu tertinggi termasuk Kedah (241 kes), Sabah (130) dan Selangor (34).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Azman Nasrudin dilaporkan positif Covid-19 selepas pulang dari Sabah. Sepatutnya beliau dan ahli keluarganya menjalani kuarantin diri selama 14 hari selepas balik dari Sabah. Malangnya, isteri beliau (yang turut pergi ke Sabah) terus kembali mengajar seperti biasa. Berikutan itu, Sekolah Kebangsaan Permatang Janggus, Penaga di Kepala Batas (tempat dia mengajar) terpaksa diperintahkan tutup. Kira-kira 600 murid di sekolah itu dikehendaki menjalani ujian saringan dan diarahkan kuarantin di rumah sementara menunggu keputusan ujian.
Dalam satu kes lain, pusat pentadbiran kerajaan negeri Melaka, Kompleks Seri Negeri ditutup selepas seorang ADUN dikatakan positif. Beliau yang baru pulang dari Sabah mengunjungi kompleks berkenaan selepas tempoh kuarantin tiga hari ke atasnya tamat. Bagaimanapun, Jabatan Kesihatan negeri kemudian mendapati hasil ujiannya positif.
Nampaknya kita gagal mengambil pengajaran daripada kes kluster Sivagangga di Napoh, sedikit masa dahulu. Dalam kes berkenaan, seorang pemilik restoran nasi kandar di pekan itu yang baru kembali dari India dan diarah kuarantin dirinya di rumah telah melanggar perintah dan bergerak bebas menjalankan perniagaannya. Akibatnya, jangkitan berlaku dan seluruh daerah Kubang Pasu dikenakan lockdown.
KECEWA
Ramai yang kecewa dengan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob apabila beliau menyatakan dalam posting di Facebook pada 29 September lalu bahawa orang yang baru pulang dari Sabah hanya perlu menjalani swab test setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Justifikasi prosedur yang longgar ini adalah kerana pergerakan rentas negeri memang kerajaan benarkan. Sabah adalah sama dengan negeri lain. Seperti Kedah, walau terdapat kes mendadak, kerajaan tidak kuarantin mereka yang datang dari Kedah.
Kenyataan menteri ini bermakna jika swab test pertama (setibanya seseorang itu di KLIA) menunjukkan negatif, orang yang baru pulang dari Sabah bebas pergi ke mana sahaja.
Ramai netizen tidak boleh menerima kenyataan menteri itu kerana kes kluster Sivagangga mengajar kita bahawa ujian yang awalnya menunjukkan negatif boleh dituruti ujian kali kedua menunjukkan positif. Prosedur meminta orang yang baru pulang dari luar negara kuarantin dirinya sendiri di rumah (tidak di pusat kuarantin kerajaan) adalah satu langkah yang kurang bijaksana, seperti yang berlaku dalam kes kluster Sivagangga.
Selain kluster Sivagangga, ada dua kes kluster lain yang membuktikan perkara sama.
Dalam kes kluster Pitakwa (kes indeks 8737), seorang warganegara yang ujian kali pertama pada 17 Julai di KLIA menunjukkan negatif, akhirnya positif, tiga hari kemudian. Dalam kes kluster Shirala (kes indeks 8730), seorang bukan warganegara yang ujian kali pertamanya di India dan KLIA menunjukkan negatif, akhirnya positif, lima hari kemudian.
CUAI
Rabu lalu, sewaktu menghadiri persidangan mengenai tanah di ibu kota, saya ditanya oleh seorang peserta (sewaktu rehat tengah hari), apakah seorang mangsa jangkitan virus mempunyai hak membuat tuntutan terhadap pihak yang cuai menyebabkan jangkitan, termasuk kerajaan sendiri?
Saya katakan kepadanya, satu tuntutan sivil telah pun difailkan oleh pihak-pihak tertentu dalam kes kluster Sivagangga. Pada masa ini, belum ada banyak kes sebegini yang difailkan di Malaysia tetapi sudah ada banyak kes di luar negara. Kes-kes ini yang dipanggil negligent endangerment lawsuits (tuntutan berasaskan kecuaian yang membahayakan) telah difailkan terhadap syarikat perkapalan (cruise lines), syarikat penerbangan, syarikat penjagaan kesihatan, hotel, pusat jagaan kanak-kanak dan syarikat insurans (https://justicecounts.com/coronavirus-lawsuits-covid-19-lawsuits/ ).
Mahkamah Agung Pennsylvania menyatakan, dalam kes Billo lwn. Allegheny Steel Co. (1937), tidak ada bezanya antara kecederaan atau mudarat akibat kecuaian memandu kereta dengan kecederaan atau mudarat akibat kecuaian menyebabkan penyakit berjangkit.
Dalam satu kes di Austria, 2,500 pemain ski memfailkan tuntutan terhadap pihak berkuasa kerana kegagalannya mengurus penularan wabak Covid-19 di sebuah pusat sukan salji di Tyrol. Mereka mendakwa pihak berkuasa di tempat itu gagal memastikan keselamatan mereka daripada jangkitan wabak – iaitu satu ‘kecuaian yang membahayakan’ (negligent endangerment) keselamatan mereka.
DATUK Salleh Buang ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi










