Alpa penyebab gelombang ketiga - Utusan Malaysia

Alpa penyebab gelombang ketiga

Peralihan fasa ke fasa dalam PPN perlu mengambil kira semua faktor bagi mengelakkan negara sekali lagi dilanda krisis peningkatan kes Covid-19. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya baru-baru ini memaklumkan, negara kita sedang berhadapan gelombang ketiga pandemik Covid-19. Sebelum ini pada satu peringkat, kita berjaya mengurangkan kadar jangkitan virus ini ke satu angka dan melandaikan keluk jangkitan. Keadaan tersebut memberi ruang terbaik kepada Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi bertanggungjawab untuk memperkemaskan lagi gerak kerja dan kesiapsiagaan menghadapi pandemik ini. Kejayaan tersebut merupakan hasil penat lelah para petugas barisan hadapan dan sokongan padu masyarakat yang sama-sama berusaha memastikan misi utama melawan virus Covid -19 berjaya.

Pernah suatu ketika, angka kes baharu jangkitan virus ini di peringkat tempatan dicatatkan sebagai sifar. Ramai menarik nafas lega. Rata-rata memuji tindakan dan pengorbanan para petugas.

Namun, oleh kerana musuh yang dihadapi tidak dapat dilihat dengan mata kasar, kita mudah menjadi alpa. Penjarakan fizikal, penggunaan pelitup muka di tempat awam, menjauhi tempat-tempat yang sesak, keperluan menjaga kebersihan dan bermacam-macam prosedur operasi standard (SOP) yang sepatutnya menjadi norma baharu dalam masyarakat seakan-akan tidak lagi diendahkan. Kepentingan memelihara nyawa seperti digariskan dalam matlamat syariah gagal difahami yang akhirnya membawa kepada kluster-kluster baharu seperti yang dilihat hari ini.

Apabila ancaman virus ini semakin membimbangkan dan kes-kes baharu mencatatkan jangkitan sehingga tiga angka, ramai yang mula menuding jari kepada pihak-pihak yang mencetuskan gelombang baharu ini.

MATA KASAR

Jika diteliti semula, gelombang ketiga pandemik ini di Malaysia tercetus antaranya disebabkan kealpaan kita sendiri. Bermula dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan kini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Apabila berada dalam fasa pemulihan dan kes yang dilaporkan semakin menurun, rata-rata rakyat lupa kepada segala bentuk kepayahan yang terpaksa ditempuh selama tiga bulan PKP. Kita alpa terhadap keperluan menjadikan SOP yang sering kali diperingatkan sebagai norma baharu dalam kehidupan. Kita mudah rasa selamat dan tidak berhati-hati kerana musuh yang dihadapi merupakan virus tidak kelihatan di depan mata kasar. Sifat manusia sememangnya begitu. Bila diuji dengan kesusahan, dia akan beringat dan apabila dikurniakan kesenangan, mudah menjadi lalai dan alpa. Seperti dijelaskan dalam al-Quran tentang ujian dan hubung kaitnya dengan ketauhidan kepada Allah SWT: “Apabila Kami kurniakan nikmat kepada manusia, dia akan berpaling (tidak mahu bersyukur) serta menjauhkan diri (dengan bersikap angkuh). Tetapi apabila dia ditimpa kesusahan, maka dia akan banyak berdoa,” (Surah Fussilat, 41: 51).

KHALIFAH

Ujian oleh Allah SWT dalam bentuk pandemik ini seharusnya menimbulkan kesedaran bahawa kuasa yang dimiliki oleh manusia dalam menentukan sesuatu perkara adalah amat terbatas. Ia juga menunjukkan sememangnya manusia merupakan makhluk yang mudah alpa dalam memenuhi tanggungjawab sebagai khalifah Tuhan di muka bumi. Manusia perlu tahu meletakkan keutamaan dalam hidup berdasarkan ilmu dan menggunakan akal yang dikurniakan Allah SWT untuk memilih dan membuat perancangan-perancangan terbaik. Neraca pertimbangan yang diguna pakai dalam mengambil tindakan terhadap sesuatu perkara ketika pandemik ini harus menggunakan kayu ukur matlamat syariah iaitu memelihara kemaslahatan masyarakat secara keseluruhan dan menjauhi mafsadah (kerosakan) kepada kehidupan.

SINERGI

Seharusnya rakyat terus kekal berwaspada kerana belum ada vaksin khusus yang dapat melindungi diri kita daripada virus Covid-19. Ketika ini, semangat juang rakyat amat diperlukan untuk sama-sama memutuskan rantaian jangkitan. Kita boleh membuat pilihan untuk terus menuding jari kepada mana-mana pihak yang pada hemat kita harus dipersalahkan atau memperkukuhkan benteng dan bersama-sama para barisan hadapan mengatasi ancaman ini sekali lagi.

Noor Hisham dalam salah satu penulisan beliau menjelaskan, kejayaan negara menempuh gelombang pertama dan kedua adalah hasil pendekatan usaha sama erat antara kerajaan dan rakyat secara keseluruhan. Sekali lagi, sinergi ini diperlukan dalam menghadapi gelombang ketiga. Jangan jadikan kealpaan mana-mana pihak, baik pemerintah atau masyarakat sebagai punca kegagalan. Sokongan padu masyarakat amat diperlukan buat mereka yang bertugas di barisan hadapan dan penduduk di Sabah yang paling terkesan ketika ini.

Ujian yang sedang dihadapi ini seharusnya menjadikan kita insan yang lebih hampir dan sentiasa mengingati Tuhan yang menciptakan segala-galanya. Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Apakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedangkan mereka belum diuji (bagi membuktikan keimanan mereka)? Sesungguhnya! Kami telah menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang sebenar-benarnya beriman dan Dia juga mengetahui orang yang berdusta.” (Surah al-Ankabut, 29: 2-3).

Semoga rakyat Malaysia daripada pelbagai kelompok masyarakat sedar tentang tanggungjawab yang perlu dipenuhi dan diberi kekuatan, kecekalan serta bersatu hati dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan virus Covid-19 yang sedang kita hadapi ketika ini.

PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN