'Aku hampir mati' - Utusan Malaysia

‘Aku hampir mati’

Asrul Ambia Ahmad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tiada yang lebih menakutkan selain memikirkan soal ajal dan maut tatkala diri dijangkiti virus Covid-19. Tidaklah bermaksud sesiapa pun yang terjangkit wabak itu maka ajal pasti tiba. Jika Allah SWT kata tidak, maka tidaklah ia berlaku.

Pun begitu, sebagai manusia biasa, kita tidak boleh menafikan bayangan sedemikian sentiasa berlegar dalam fikiran. Lebih-lebih lagi jika semangat untuk meneruskan kehidupan semakin berkurang.

Bagi jurukamera profesional, Asrul Ambia Ahmad, 49, itulah keadaan yang dilaluinya ketika bertarung nyawa melawan virus yang sudah menular dalam badannya.
Syukur, umurnya masih panjang. Dia masih berkesempatan bertemu ahli keluarganya selepas hampir sebulan terlantar di hospital tanpa menerima lawatan daripada sesiapa.

MENANGIS

“Jangan ambil mudah. Patuhilah SOP (prosedur operasi standard). Jika disahkan positif, mungkin itu hari terakhir kita berjumpa dengan orang tersayang.

“Semasa saya di unit rawatan rapi (ICU), doktor kata saya hampir mati selepas sistem pernafasan terjejas teruk sehingga tidak sedarkan diri selama 19 hari.

“Kalau ingat semula, sangat sedih dan saya menangis kerana dapat berhubung semula dengan keluarga pada hari ke-20 selepas sedar,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Meskipun peristiwa itu sudah berlalu, dia tetap sebak ketika berkongsi pengalaman tersebut. Lebih memilukan, dia terpaksa bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan kerana oksigen di dalam badan hanya tinggal 50 peratus.

Asrul Ambia pada awalnya disahkan positif Covid-19 ketika menjalani penggambaran drama bersiri di Scotland, 31 Mac lalu. Setibanya di tanah air pada 9 April, dia terus dimasukkan di ICU, Hospital Sungai Buloh kerana sukar bernafas hingga menjejaskan organ lain dalam badan.

“Bila disahkan positif, virus menyerang paru-paru dan secara tidak langsung memberi kesan sampingan terhadap organ lain dalam badan. Bagi mengelak sebarang kemungkinan, doktor memberikan saya ubat dengan dos tinggi bagi menyelamatkan saya,” katanya.

Kesan daripada suntikan ubat yang diberikan menyebabkan dia mengalami luka pada bahagian lengan manakala jarinya bertukar kehitaman walhal tidak mempunyai sebarang kecederaan pada anggota tersebut sebelum ini.

“Doktor kata, saya terlalu penat. Saya tanya doktor, kenapa boleh jadi luka macam ini tetapi mereka tidak memberi jawapan khusus. Saya rasa disebabkan kena cucuk jarum,” ujarnya.

Sementara itu, pelakon terkenal, Ashraf Muslim, 39, yang turut menjalani penggambaran di lokasi sama, mengingatkan masyarakat agar tidak berputus asa atau lemah semangat jika ditakdirkan positif Covid-19.

“Semua orang akan berfikiran seperti ini (ajal) tetapi jangan rasa lemah. Ada sebab mengapa Allah SWT pilih kita untuk menjadi pesakit Covid-19. Belajar erti reda, sabar dan bersyukur ketika menjalani kuarantin dalam wad.

“Dekatkan diri dengan Allah, imarahkan wad. Insya-Allah, anda akan tenang serta mendapat nikmat yang kita tidak pernah dapat sebelum ini,” jelasnya.

BELASAH

Ashraf atau nama sebenarnya Muhd. Ashraf Muslim berkata, kemungkinan seseorang yang disahkan positif Covid-19 tidak boleh berjumpa ahli keluarga sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga bulan demi mengelak wabak itu merebak.

Pelakon drama Ada Apa Dengan Dosa itu turut mengingatkan masyarakat supaya tidak sambil lewa dengan wabak tersebut dan terus mematuhi SOP bagi mengelak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula setelah kes jangkitan Covid-19 menunjukkan peningkatan drastik selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September lalu.

“Mungkin mereka di luar sana yang belum kena jangkitan, sebab itu ambil mudah.

Virus ini tidak mengenal sesiapa pun. Anda kaya, miskin, pangkat Datuk atau Tan Sri, makan makanan tambahan hari-hari, semua virus ini ‘belasah’ sesiapa saja,” tegasnya.

Penulis ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN