Orang muda tolak pemimpin recycle - Utusan Malaysia

Orang muda tolak pemimpin recycle

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman (kanan) ketika sesi soal jawab dalam pertemuan tertutup dengan anak-anak muda di Kuala Lumpur, baru-baru ini. – UTUSAN/AIZZAT NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YB (Yang Berhormat) kita, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan langkah berani dan mengejutkan untuk mengetuai satu gagasan politik orang muda. Ahli Parlimen Muar itu menyatakan, Malaysia memerlukan suntikan orang muda setelah kegagalan pemimpin lama dan pemimpin recycle. Eloklah tu.

Saya tak dengar pun orang muda menolak gagasan ini. Syed Saddiq nak memimpin gerakan pelbagai kaum yang diterajui orang muda. Apa salahnya? Kalau mahu kutuk yang orang muda tiada pengalaman memimpin negara, maka saya bersetuju.

Saya menyokong penuh tindakan Syed Saddiq. Anak-anak saya pun tiba-tiba teruja nak join Syed Saddiq. Saya pun terkejut. Biasanya anak-anak saya hanya mengikuti perkembangan politik tetapi kali ini, berminat pula nak masuk politik!

Saya katakan kepada mereka, saya menyokong kalau mereka masuk politik. It is your time now. Ayah sudah tua. Sakit sini, sakit sana. Setakat menulis kolum, senanglah, tetapi nak bergerak dalam wadah politik tanah air dengan turun ke padang, ayah surrender. Setakat fikirkan strategi, itu memang kerja ayah. Nak bagi sokongan kewangan pun boleh juga, ala kadar tetapi cukup. Kita kena harap kepada yang muda pula.

Jadi, mari kita tengok apa Syed Saddiq boleh buat. Kasi dia peluang. Kasi dia jalan. Kasi dia sokongan. Let’s see what he is made of. Saya kenal Syed Saddiq dari jauh dan ada satu, dua kali bersama dalam forum. Kepimpinan beliau menyerlah. Beliau mempunyai idealisme tinggi.

Sekarang dia meninggalkan mentor politiknya, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk membuka pencak silatnya sendiri. Saya kira beliau adalah harapan baharu semua rakyat Malaysia, bukan orang muda sahaja.

Maka saya ingin menggelar Syed Saddiq dan pergerakan politiknya sebagai Kaum Muda Malaysia Moden. Kaum Muda Malaysia Moden memperjuangkan kesucian Perlembagaan negara, keramat Rukun Negara dan keagungan demokrasi sebagai tonggak rakyat.

Memang elok masa ini golongan muda bergerak ke tengah. Jangan lagi duduk di persisiran tetapi membelah ombak lautan dengan bahtera berpegangkan idealisme dan prinsip kesejagatan global. Orang muda adalah globally connected. Orang muda perlu memperjuangkan hak setiap graduan dan orang muda lain untuk membantu mereka membina kehidupan lebih senang dan sejahtera.

Semua graduan nak kerja. Semua graduan nak rumah. Semua graduan nak kenderaan ala kadar untuk berkerja.

Sebelum Syed Saddiq mengumumkan pergerakan orang muda, ‘bateri’ saya pun sudah agak malap dan saya terasa malas nak menulis kolum bagi masa depan negara. Saya tidak nampak parti-parti politik masa kini ada idea-idea baharu. Mereka asyik menyanyi gurindam lama. Bila Syed Saddiq mengumumkan niat beliau, baru saya nampak cahaya di hujung terowong yang panjang dan gelap. ‘Bateri’ pun sudah caj semula.

Sama-sama kita saksikan Syed Saddiq sebagai hulubalang yang masuk gelanggang politik dan membuka langkah pencak silatnya sendiri. Mungkinkah kita bakal menyaksikan kelahiran Perdana Menteri termuda dalam sejarah negara dalam masa terdekat?

PROFESOR Dr. Mohd. Tajuddin Mohd. Rasdi ialah ahli akademik seni bina dan penganalisis kritis media sosial.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN