Kita terlalu bagi muka - Utusan Malaysia

Kita terlalu bagi muka

PENDUDUK membawa botol dan bekas kosong untuk mendapatkan bekalan air daripada lori tangki Air Selangor di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Baru-baru ini, penduduk di tujuh wilayah di Kuala Lumpur dan Selangor menderita kerana mengalami gangguan bekalan air bersih selepas operasi empat loji rawatan air (LRA) dihentikan berikutan air sungai tercemar. Hampir 1.2 juta pengguna terkesan dengan mala petaka itu. Punca pencemaran sungai dipercayai dari sebuah kilang menyelenggara mesin dan jentera di Rawang.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian, siasatan awal Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mendapati kilang itu gagal melakukan penyimpanan sisa minyak buangannya mengikut syarat-syarat ditetapkan. Kilang tersebut sebelum ini pernah dikompaun RM60,000 atas kesalahan sama. Kenyataan Loy Sian menunjukkan kompaun sahaja belum mampu membetulkan keadaan.

Hukuman lebih berat dan setimpal perlu diwujudkan, misalnya tempoh penjara yang lama, kilang dirobohkan, jentera dan peralatan disita dan dimusnahkan. Selain denda tinggi, pesalah diwajibkan membayar pampasan untuk menampung kos kerajaan menjalankan kerja pembersihan sungai dan pemulihan alam sekitar yang tercemar.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pula bertitah, mana-mana bangunan kilang yang didirikan di tepi sungai dan menjadi punca pencemaran sungai hendaklah dirobohkan. Baginda bertitah agar kerajaan negeri bertindak lebih tegas. Baginda juga tidak mahu ada campur tangan ahli-ahli politik dalam perkara itu.

Pada 2016, pencemaran sungai menyebabkan LRA Semenyih ditutup selama empat kali, mengakibatkan beberapa kawasan di Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Petaling mengalami gangguan bekalan air. Pada masa itu, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim mencadangkan denda maksimum dinaikkan sehingga RM1 juta dan pemilik kilang dipenjara sehingga 10 tahun.

Dalam insiden terbaru ini, polis menahan empat lelaki yang merupakan pemilik kilang kerana disyaki memencemarkan Sungai Gong, Rawang. Pada 6 September lalu, polis mendapatkan perintah reman selama enam hari dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

PEMUTIHAN

Mengikut laporan media, kerajaan negeri telah memberi peluang lagi kepada pemilik tanah dan kilang haram untuk membuat proses pemutihan sehingga hujung tahun ini. Kenyataan ini menyebabkan pihak tertentu bertanya: “Sudah 12 tahun pemilik kilang haram diberi masa, kenapa beri muka lagi kepada mereka?”

Pada hemat saya, selepas ini kerajaan perlu melaksanakan polluter pays principle, iaitu mewajibkan pencemar membayar sejumlah wang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan kerja memulihkan kembali keadaan alam sekitar yang sudah tercemar kepada keadaan asalnya.

Australia bertindak sedemikian dengan menubuhkan Pihak Berkuasa Perlindungan Alam Sekitar (EPA). Kesatuan Eropah juga bertindak sama pada 2004. Perancis melaksanakannya dalam Artikel 4 Piagam Alam Sekitar negara itu, manakala Ghana mula menguatkuasakannya pada 2011. England dan Wales melaksanakannya di bawah Environmental Damage (Prevention and Remedian) Regulations 2009, manakala Amerika Syarikat melaksanakannya di bawah Clean Water Act 1972. Di bawah Environmental Management Act 2002 Zimbabwe, mana-mana orang yang disabit melakukan pencemaran alam sekitar boleh diperintahkan membayar kos untuk membersihkan semula alam sekitar yang telah dicemar olehnya (cost of decontaminating the polluted environment).

Pada asalnya, prinsip ini disebutkan sebagai Prinsip 16 Deklarasi Rio Mengenai Alam Sekitar dan Pembangunan 1992 yang mana Malaysia sejak awal lagi menyertainya. Malangnya selepas tiga dekad, kita masih lagi gagal melakukan sesuatu yang konkrit dan bermakna.

LEMAH

Pada 2017, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (ketika itu), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar ada menyatakan, kerajaan akan memperkenalkan Akta Perlindungan Alam Sekitar untuk memberi kuasa kepada jabatan Persekutuan bertindak ke atas industri yang menyebabkan pencemaran sungai. Akta itu nanti akan memberi kuasa kepada jabatan Persekutuan memaksa kilang haram dipindahkan atau diroboh. Beliau menambah, dalam kes pencemaran Sungai Semenyih disebabkan oleh kilang haram, agensi di bawah kementeriannya tidak boleh bertindak kerana perkara itu di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pada Mei 2019, apabila kes pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang berlaku di mana hampir 6,000 orang penduduk daerah itu terkesan, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (ketika itu) Yeo Bee Yin berkata, kerajaan bercadang menggantikan undang-undang alam sekitar sedia ada dengan satu akta baharu untuk memberi kuasa yang lebih sempurna dan mewujudkan hukuman lebih berat kepada penjenayah alam sekitar.

Soalnya, apa sudah jadi dengan undang-undang alam sekitar baharu yang dijanjikan oleh beberapa menteri pada masa itu?

Kesimpulannya, kita ada undang-undang alam sekitar yang sudah lapuk, tidak mampu menangani masalah pencemaran sungai. Kita ada PBT tetapi nampaknya masih lemah melaksanakan penguatkuasaan ke tahap yang rakyat mahu.

Kita berdepan dengan pendirian kerajaan negeri yang terus berlembut dan memberi muka kepada pemilik kilang haram. Akhir sekali, kita berdepan dengan realiti jabatan atau agensi Persekutuan tidak boleh bertindak kerana tidak ada kuasa berbuat demikian.

DATUK Salleh Buang ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN