Kena bagi elaun tadah air ni! - Utusan Malaysia

Kena bagi elaun tadah air ni!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“TADAH air ke kak?” Tanya seorang jiran yang lalu di depan saya. Saya tak tahu namanya, tetapi sering bertembung dengannya di tempat letak kereta di kawasan perumahan saya di Shah Alam, ketika pagi hendak ke pejabat.
Saya menoleh ke arah lelaki belakang saya yang membawa beberapa tong air di sisinya. Dia senyum kelat memandang saya. Ma­cam boleh membaca apa yang ada dalam fikiran saya. Iyalah, tentulah tadah air. Ada macam beratur beli makanan? Getus saya dalam hati.
Marah? Eh, tidak. Saya tak marah. Orang kita ini memang kaya dengan budi bahasa. Bila berjumpa di mana-mana, nampak kita sedang makan, ditanya lagi makan ke tu? Atau buat apa tu walaupun jelas nampak kita sedang duduk atau membaca surat khabar. Itulah caranya bertegur sapa. Tak mengapalah. Itu cara menunjukkan keramahan. Tidak sombong.
Di belakang saya, ada tujuh orang lagi beratur. Saya fikir bila balik kerja lewat malam, tiada orang yang akan beratur di paip khas untuk penghuni di situ membasuh kereta. Saya agak setelah bekalan air terganggu sejak 3 September, tiga hari lepas itu, ia pulih. Tapi jangkaan saya tidak betul. Kena beratur lagi menadah air.
“Tadah air ini memang sudah jadi acara tahunan Selangorlah bro. Nak kata apa lagi? Hadap sajalah. Negeri majulah katakan,” kata seorang lelaki kepada orang di belakangnya.
Lelaki yang masih kemas berpakaian kerja itu cuba memecah suasana tegang menunggu air penuh. Air paip itu pun perlahan sangat.
“ Lalu di Johor singgah Air Hitam, lalu di Melaka singgah Ayer Keroh. Lalu Selangor jangan singgahlah. Tak ada air,” katanya sambil disambut gelak ketawa orang di situ. Saya turut ketawa. Apa yang boleh dilakukan untuk ‘merawat’ rasa marah dan bengang ketika itu tentulah ketawa. Tak macam merawat sungai. Harga merawat sungai jutaan ringgit. Ketawa tak keluar duit pun!
Pada 3 September lalu, tujuh wilayah membabitkan 1,292 kawasan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual ekoran Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor dan Rantau Panjang berhenti operasi. Ia kerana pencemaran air mentah berpunca daripada premis perindustrian di kawasan Sungai Gong yang melakukan pelepasan berbau ke dalam sungai.
Pemilik premis yang terlibat dengan pencemaran bau itu dikatakan akan dikenakan tindakan tegas dan menanggung kos merawat semula sungai. Tanggung kos rawat sungai sajakah? Pengguna tak rugi apa-apakah?
Saya pun bagi ‘nasi tambah,’ untuk merancakkan perbualan.Kata saya – “ Penduduk Selangor ini patut dapat elaun tadah air tahunan.” Mendengar itu mereka ketawa lagi.
Salah seorang bersuara – “Patut bagilah. Tong air kena stand by. Itu kos. Sebuah tong pun paling murah RM60. Selain itu, kos beli air mineral. Tiba-tiba masa macam ini air mineral naik harga pula, ambil kesempatan betul.”
Sedikit imbasan pasal gangguan air di Selangor – pada April tahun lalu, sebanyak 4.14 juta pengguna di sekitar Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam dan Kuala Selangor terjejas selama empat hari berikutan kerja-kerja penambahbaikan sistem bekalan air di LRA Sungai Selangor Fasa 2.
Pada Julai 2019, sebanyak 1,191,942 akaun pengguna di wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat terjejas dengan gangguan air tidak berjadual akibat pencemaran diesel dikesan di LRA Sungai Selangor serta LRA Rantau Panjang di Selangor.
Tahun lalu sahaja, tak kurang 10 gangguan bekalan air di Selangor. Ini belum lagi dikira 2018, 2017 dan lain-lain. Maka tidak hairanlah rakyat di negeri paling maju dalam Malaysia ini merungut.
Esoknya, ketika mahu pergi kerja, air paip rumah saya sudah laju. Terima kasih warga kerja Pengurusan Air Selangor!
Dan ketika saya menyapu laman rumah sebelum ke pejabat, saya memandang paip yang kami gunakan menadah air sehari dua itu. Seorang jiran lain yang nampak saya di luar, menyapa – Menyapu ke kak? – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.