Jadi tuan di negeri sendiri - Utusan Malaysia

Jadi tuan di negeri sendiri

ANIFAH AMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), DATUK SERI ANIFAH AMAN menyatakan perlahan kepada Utusan Malaysia selepas temubual 20 minit dengan beliau selesai, Jumaat lalu.

Katanya, kalaulah Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 ini diadakan enam bulan lagi, pasti beliau akan dapat memenuhi permintaan ramai rakyat Sabah di Tenom, Sandakan, Semporna dan kawasan lain yang mahu mengenali parti yang baru diambil alihnya itu.

“Tapi saya akur walaupun dikira parti baharu, saya yakin PCS dapat menarik perhatian rakyat Sabah agar kita menjadi tuan di negeri sendiri,” katanya kepada wartawan ZULKIFLI JALIL yang disertai jurugambar SHIDDIEQIIN ZON dalam pertemuan di Hotel Le Meridien, Kota Kinabalu sehari sebelum penamaan calon.

Ikuti sedutan temubual berikut:

KELULUSAN PIHAK ATASAN?

UTUSAN: Dari segi pengamatan Datuk Seri dalam tempoh lebih kurang 27 bulan kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan) memerintah, apa yang tidak kena?

ANIFAH: Secara keseluruhan rakyat sangat mengharap perubahan. Yang kata ‘Sabah ubah’ tapi selepas itu tidak nampak sesuatu yang boleh menggembirakan rakyat. Janji-janji yang diutarakan sewaktu pilihan raya tidak dilunaskan dan rakyat yang memerlukan itu tidak nampak sesuatu yang diusahakan oleh Warisan.

Ramai juga termasuk pegawai-pegawai kerajaan, ada dalam kalangan mereka yang senior tapi keutamaan diberi kepada yang datang dari Semporna. Dan inilah antaranya dan itu yang saya katakan, janji-janji dari segi belia untuk mendapat kerja, pelaburan dari luar negara dan ialah kita juga tahu bahawa Covid-19 ini. Tapi sebelum itu tidak ada tanda-tanda positif yang boleh orang kata, menunggu macam seolah-olah dikatakan tidak boleh bersabar lagi. Tetapi janji itu terlalu luas sangat dengan harapan orang begitu tinggi. Tetapi apabila tidak dapat dilaksanakan, maka memanglah reaksi rakyat begitu negatif.

Maknanya Warisan tidak sempurna?

Ya. Tidak sempurna dari segi ekonomi. Waktu Covid-19 ini pun, janji-janji yang diutarakan tidak dapat dilaksanakan dan orang yang diharapkan untuk bantu, mereka pula yang banyak tidak puas hati. Tentang pakej bantuan Covid-19 kerajaan Sabah iaitu RM200 juta untuk projek infrastruktur, daripada RM200 juta kalau tidak silap hanya RM60 juta atau RM40 juta bagi rakyat. Yang lain itu tidak tahu apa yang jadi. Ini rakyat adukan.

Warisan mendakwa mereka memperjuangkan hak rakyat tempatan. Adakah benar?

Ini ramai yang timbulkan peribahasa, lembu punya susu, sapi dapat nama. Ini orang kata, kerajaan dulu yang buat, ya lah sapi yang dapat nama. Jadi, dia seolah-olah yang mengusahakan ini tapi sebenarnya rakyat Sabah secara keseluruhan tahu ini yang telah diusahakan oleh kerajaan yang lalu.

Khabarnya kerajaan terdahulu (pimpinan Tan Sri Musa Aman) bagi geran komunal, tapi kali ini di bawah (Datuk Seri) Mohd. Shafie (Apdal), Warisan beri terus. Sehinggakan setiap kali ada sahaja yang anjurkan anugerah untuk tanah kebelakangan ini.

Bohong tidak ada. Itulah, mentaliti rakyat menyatakan cukuplah dengan janji-janji ‘ubah, ubah, ubah, Sabah ubah’. Yang berubah itu mereka yang tertentu sahaja. Jadi sentimen itu ada dengan mengharapkan parti baharu yang cuba dan minta membela nasib mereka.

Dan ada juga menyatakan, biarpun kita sudah lama dijanji-janjikan, tapi cari parti yang lebih baik daripada Warisan. Ini kelebihan PCS. Ini parti tempatan pasal kita tidak mendukung DAP, PKR dan Tun Dr. Mahathir Mohamad macam Warisan. Jadi, apa-apa juga keputusan sebelum dibuat mereka, kena minta kelulusan atau kebenaran daripada pihak atasan di Kuala Lumpur. Dan sama juga dengan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Hanya kita sahajalah yang bertuankan sendiri.

Lebih 57 tahun merdeka, bekalan air bersihnya mana? Calon-calon yang diketengahkan PCS bagaimana?

Ramai datang sendiri menawarkan tempat jadi calon. Mereka rata-rata mempunyai keazaman untuk melihat Sabah ditadbir oleh anak Sabah sendiri. Keduanya, mereka mahu parti pemimpin yang ikhlas dan jujur. Jangan lagi mengutarakan janji-janji tapi tidak bermaksud untuk melunaskan. Dan yang graduan, belia dan lepasan sekolah ini mahu pekerjaan. Ibu-ibu mahu berniaga kecil-kecilan macam yang bikin kerepek, keropok. Mereka memerlukan modal tidak banyak, dalam RM20,000 tetapi tidak diadakan. Inilah kita mahu menuntut isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan juga minyak wang royalti kita supaya boleh menggunakan dana ini untuk membantu anak-anak muda mencari kerja. Kalau ada, kita mahu menghapuskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan beri kepada wanita-wanita termasuk ibu tunggal untuk berniaga kecil-kecilan. Kita bagi dana jaga kebajikan warga emas. Lihatlah kemudahan-kemudahan asas, macam mendukacitakan walaupun kita sudah merdeka lebih dari 57 tahun. Kalau tak silap saya, masih ramai lagi penduduk Sabah tidak mempunyai kemudahan asas seperti air bersih dan jalan raya di kampung. Rakyat tertanya-tanya, Sabah ini kaya dengan sumber asli, tapi orangnya masih miskin. Atas sebab itulah, mereka datang supaya PCS dapat membangkitkan suara orang-orang muda ini. Antaranya, graduan yang tidak ada kerja. Merekalah antara yang tampil ke hadapan untuk menjadi calon.

Maknanya calon-calon PCS ini terdiri daripada mereka yang datang kepada Datuk Seri untuk mengadu?

Mereka memperjuangkan. Oleh kerana PCS parti baru sebulan lebih, saya mengambil alih daripada kepimpinan dahulu kerana dua hari selepas saya ambil alih, Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan. Ia suatu kejutan kerana saya berpendapat, waktu Covid-19 bukan masa sesuai untuk membubarkan DUN. Apabila bubar, inilah orang muda, profesional serta ahli akademik yang ikut serta mengatakan mungkin PCS sahaja yang boleh utarakan nasib rakyat Sabah. Sebab mereka sudah hilang kepercayaan kepada Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Lantang bersuara tetapi bila kena offer timbalan menteri. senyap pula. Dulu kata tak mahu parti Malaya (Semenanjung) ikut campur, sekarang bersekongkol dengan mereka. Tapi itu bukan isu bagi PCS. Cuma saya minta kawan-kawan di Semenanjung dan ada antara mereka masih menteri, apa salahnya kalau rakyat Sabah memerintah negeri sendiri? Maka kawan-kawan di Semenanjung kalau siapa juga menang, kerajaan boleh bantu untuk melaksanakan apa-apa yang diperlukan oleh rakyat. Tapi mereka datang ikut campur, maka apa kehendak rakyat Sabah tidak tersampai oleh kerana parti-parti dari Semenanjung ini. Dan bukan bertuankan kepada rakyat Sabah.

Ini bermakna Warisan berperanan macam itukah?

Bukan sahaja Warisan tetapi UMNO Sabah. Datuk Seri Bung Moktar (Radin), dia terpaksa minta kelulusan daripada Presiden UMNO. Biarpun mereka menafikan tetapi kita tahu. Sama juga macam Bersatu, mereka juga tidak boleh buat keputusan melainkan atas persetujuan atasan. Dan kemungkinan atasan itu tidak mungkin memberi manfaat secara keseluruhan kepada rakyat Sabah. Macam PCS, kita tuan sendiri. Kita utarakan kepada kerajaan Pusat apa sahaja yang dikehendaki rakyat termasuk memperjuangkan nasib mereka melalui MA63 dan apa yang termaktub dalam Perlembagaan. Tapi bukan bererti kita menentang kerajaan Pusat. Kita mahu bekerjasama dengan Pusat.

HALUAN MA63

Apa masalah pokok berkenaan MA63 ini?

Kita mempunyai hak 40 peratus daripada kutipan-kutipan cukai dan sebagainya. Kalau 40 peratus itu dilaksanakan, maka bolehlah kita buat sesuatu untuk bangunkan kemudahan bagi penduduk di luar bandar khususnya. Sama juga dengan royalti minyak. Jadi, inilah yang kita minta kepada kepimpinan atasan supaya apa juga termaktub buat masa ini, tolonglah laksanakan perjanjian. Tidak usah lagi kita tunggu jawatan kuasa ini, jawatan kuasa itu ditubuhkan. Seolah-olah tidak menghormati Perlembagaan. Itu yang saya agak pelik, kenapa mahu ditubuhkan jawatan kuasa, seolah-olah mempersoalkan Perlembagaan sendiri.

Sebelum ini, Mohd. Shafie ada bangkitkan isu siapa yang layak jadi ketua menteri. Beliau ada bangkitkan tiga nama iaitu Musa Aman, (Datuk) Hajiji (Noor) dan Bung Moktar. Apa motifnya?
Ia hanya sebahagian cubaan untuk meningkatkan semangat kaum-kaum dia. Ia turut melibatkan isu kad pengenalan palsu. Kalau bukan Warisan yang menang, maka sesiapa yang menjadi ketua menteri akan jadi takut kepada pemegang kad pengenalan palsu. Di Sabah ini sebenarnya kaum dan agama seseorang itu tidak jadi batu pengukur, sebaliknya apa yang lebih penting adalah calon yang paling layak untuk menjawat jawatan itu.

PCS masih baharu. Seperti yang Datuk Seri cakap tadi, adakah PCS mampu menang dalam PRN ini?

Kita ada satu kelebihan yang mana sekarang ini kita berlawan dengan satu pihak Kerajaan Persekutuan dan satu lagi kerajaan negeri. Oleh kerana orang Sabah sudah sering ditipu, wakil-wakil kerajaan negeri dan Persekutuan boleh menjanjikan pelbagai manifesto, tapi kita tidak boleh sebab kita tak mampu. Itu saya tak bimbang tapi saya mengharapkan rakyat Sabah meskipun tertekan dengan keadaan semasa tetapi dapat membuat keputusan yang bijak .

73 calon PCS bertanding, berapa jangkaan boleh menang?

Saya tak dapat menentukan berapa kerusi boleh dimenangi. Hanya Tuhan yang berkemampuan. Kita muncul ke hadapan semata-mata untuk membela nasib rakyat Sabah.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN