Dalam perbahasan terbaru tentang pertikaian sekolah vernakular Cina yang disarankan ditutup secara berperingkat kerana didakwa bermasalah dari segi nasionalisme, beberapa pihak tampil membela. Pelbagai alasan dikemukakan untuk terus mempertahankannya.
Antaranya, diayah bahawa penguasaan bahasa ibunda yang baik mampu memberi kesan positif kepada penguasaan bahasa lain. Untuk membuktikannya, diketengahkan satu kajian yang dikatakan dilakukan oleh salah satu badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Ia tentang bagaimana etnik Melayu di Selatan Thailand yang didakwa setelah berjaya menguasai bahasa ibunda mereka dengan baik, dapat pula menguasai bahasa Thai dan bahasa Inggeris dengan cemerlang.
Penemuan ini yang merumuskan pengetahuan bahasa ibunda yang baik kemudiannya akan menyumbang kepada pembelajaran yang berjaya terhadap bahasa lain, adalah pelik selain tidak tepat dalam kes rakyat Thai daripada etnik Melayu itu. Ini kerana rata-ratanya etnik Melayu di sana sudah lama kehilangan bahasa ibunda mereka dalam bentuk utuh. Bahasa Melayu yang masih dituturkan oleh sebilangan kecil, bukan sahaja bersifat dialek. Ia adalah patois, yakni hanya digunakan dalam keadaan tidak formal dan tidak ada status linguistik. Oleh itu, ia tidak boleh pun digunakan untuk persuratan bahasa Melayu antaranya sebagai bahasa pengantar di sekolah.
Thailand yang mengangkat dasar asimilasi apabila menubuhkan negara moden dan membina negara bangsa Thai yang bersatu, tidak membenarkan wujudnya persekolahan aliran bahasa lain. Dengan ini, tiada sekolah vernakular di Thailand.
Sekolah vernakular Cina yang sudah wujud semenjak 1815, tidak pernah pun berjaya menghasilkan lepasan yang fasih dalam ketiga-tiga bahasa dipelajari. Yang berlaku, mereka hanya fasih berbahasa Mandarin, tidak pun bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
Tidak dapat dinafikan, bahasa Melayu walaupun berupa bahasa negara, dipandang sepi oleh banyak pihak di negara ini kerana tiada nilai ekonomi yang setanding bahasa Mandarin dan bahasa Inggeris.
Meskipun demikian, bahasa Melayu selaku bahasa negara, hendaklah dilihat dari sudut kenegaraan, iaitu identiti nasional untuk negara ini dan identiti budaya bagi rakyatnya. Oleh itu, bahasa Melayu wajib didukung dalam apa jua keadaan oleh setiap rakyat yang memanggil dirinya warganegara.
Oleh itu, dalam membina semula negara bangsa yang belum terjadi itu, sikap positif dan dorongan kuat adalah unsur penting yang perlu ada. Hentilah daripada cuba menegak benang basah dengan menjaja dongeng, penguasaan bahasa ibunda yang baik boleh mencetuskan kejayaan mempelajari bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Bukti dalam kalangan rakyat Thai dari etnik Melayu bukan sahaja meleset, ia cuba pula diherotkan.
PROFESOR Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Majlis Profesor Negara.










