AGAK sukar bagi kami, Utusan Malaysia untuk mendapatkan temu bual dengan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, DATUK SERI HAJIJI NOOR, 65.
Kiriman WhatsApp untuk menetapkan tarikh pertemuan dibalasnya juga dua kali. Ringkas, “insya-Allah.”
Tengah hari semalam, kami redah juga Ibu Pejabat Bersatu Sabah di Alamesra, sembilan kilometer dari pusat bandar Kota Kinabalu.
Kebetulan beliau baru sampai setelah meninjau sebuah pusat daerah mengundi.
“Saya minta maaf…sibuk, tidak lama lagi akan ada pula pelancaran manifesto,” kata beliau kepada wartawan ZULKIFLI JALIL, HADI AB. MANAP dan jurugambar SHIDDIEQIIN ZON.
Dalam temu bual 20 minit itu yang dirakam petugas jentera Bersatu, Hajiji menjelaskan mengapa rakyat Sabah wajar memilih kerajaan baharu untuk menggantikan Parti Warisan Sabah (Warisan).
Ikuti sedutan temu bual berikut:
BAKAT ORANG MUDA
UTUSAN: Memasuki hari ketiga berkempen (14 September). Bagaimana Datuk Seri melihat senario setakat hari ini?
Apa yang saya perhatikan, semakin rancak kempen Perikatan Nasional (PN) yang kita sudah mula dari hari pertama. Menerangkan perjuangan parti dan juga apa yang akan kita lakukan untuk rakyat dan negeri.
Perancangan PN untuk memasuki gelanggang kempen?
PN akan membawa Sabah ke era baharu, harapan baharu untuk semua rakyat Sabah. Terutama sekali untuk membangunkan ekonomi negeri ini. Untuk tujuan ini, kita akan tumpukan usaha yang pertama iaitu memodenkan sektor pertanian dan perikanan. Yang kedua, merancakkan sektor pelancongan. Dan ketiga, menggalakkan pertumbuhan industri.
Selain itu, PN juga akan memberi fokus kepada pembangunan modal insan dalam kalangan rakyat, khususnya belia-belia anak tempatan. PN mendengar aspirasi orang muda, oleh itu akan mendayaupayakan bakat-bakat tempatan dalam kalangan orang muda. Yang kedua, mengiktiraf dan melahirkan bakat-bakat baharu dalam kalangan mereka. Kita juga memberi tumpuan untuk mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi untuk orang muda. Inilah antara fokus utama kita dalam pilihan raya ini selain memberi tumpuan kepada kepentingan golongan wanita dan sebagainya.
Adakah selama dua tahun dua bulan Warisan memerintah, semua ini gagal dilakukan?
Bolehlah kita kata kerajaan negeri pimpinan Warisan gagal dalam menjana ekonomi rakyat dan memberi peluang pekerjaan khususnya golongan muda di Sabah. Banyak perkara yang rakyat tidak puas hati dan menjadi kegusaran mereka semasa Warisan mentadbir negeri ini.
Bagaimana keadaan ekonomi di bawah Warisan?
Saya boleh katakan sebelum Warisan mengambil alih, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ialah 8.5 peratus. Selepas mereka ambil kerajaan, turun kepada 1.5 peratus. Apabila menghadapi pandemik Covid-19, ia turun lagi kepada 0.5 peratus. Tetapi dalam masa Covid-19 ini, kita tidak boleh salahkan sesiapa. Ini seluruh dunia sama dan ekonomi negara pun turut terjejas. Apa yang kita tekankan apabila mereka ambil alih, keadaan ekonomi Sabah turun mendadak. Tidak ada banyak peluang ekonomi yang kita bina untuk laksanakan dan sediakan peluang pekerjaan.
Adakah akibat ini meningkatkan perpindahan orang muda ke Semenanjung atau luar negara?
Memang berlaku, ramai. Apabila tiada peluang pekerjaan, mereka ke Semenanjung dan Singapura. Dalam masa dua tahun kebelakangan ini memang ketara.
Apa yang ditawarkan PN untuk orang muda?
Kita akan beri tumpuan kepada banyak perkara. Kita mahu bawa Sabah ke satu era kemajuan dalam pelbagai bidang. Bidang pertanian, perikanan dan lain-lain. Akan dilakukan dengan cara lain daripada yang lain apabila sudah mengambil alih tampuk kerajaan negeri. Kita sudah bersedia dan perancangan pun sudah tersedia.
KOMUNIKASI MAYA, VEVEONAH
Bagaimana pula dengan masalah akses internet? Contohnya, apa yang terjadi kepada Veveonah Mosibin.
Ini memang kita akui dan dalam pelancaran manifesto nanti pada Rabu ini (esok 16 September 2020) oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memang sudah ada. Keutamaannya kepada komunikasi maya terutama di pedalaman yang memang tidak begitu baik.
Kenapa sejak 1963, masalah ini belum selesai?
Sabah ini agak besar, ada pulau yang banyak dan mempunyai pedalaman yang luas. Tetapi kerajaan juga sentiasa mengambil perhatian melaksanakan pembangunan dari dulu sehingga sekarang.
Tapi, belum cukup. Jika PN mengambil alih kerajaan negeri, kita akan beri tumpuan utama kepada perkara ini. Sabah tidak mahu ketinggalan dalam bidang komunikasi.
Bagaimana hubungan PN dengan parti-parti sahabat? Baru-baru ini timbul sedikit isu berkenaan calon Ketua Menteri. Komen Datuk?
Hubungan PN dengan Barisan Nasional (BN) dan lain-lain parti kita anggap baik setakat ini. Memanglah dalam beberapa isu ada yang perlu diperhalusi. Belum lagi dapat persetujuan yang jitu.
Saya yakin dengan kebijaksanaan para pemimpin, ia boleh diselesaikan. Tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Yang penting, perlu bertolak ansur, terima dengan hati yang terbuka demi kepentingan rakyat dan negeri. Paling utama sekarang ialah kerjasama untuk tubuhkan kerajaan.
TAK TERJEJAS
Berlaku pertembungan sesama sendiri di 17 kawasan. Tetapi tiada pertembungan di antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan UMNO. Ini tunjuk kesepakatan. Tetapi kenapa komponen lain bertembung sesama sendiri?
Mungkin ini berlaku kerana parti-parti rakan menggunakan lambang sendiri. Bukan di bawah PN. Tetapi kita berharap pertembungan ini tidak akan menjejaskan harapan mana-mana parti untuk mengalahkan calon Warisan. Ia sudah berlaku, mahu tidak mahu mereka terpaksa merayu kepada rakyat dan rakyat akan buat pilihan siapa yang akan dipilih.
Apa mesej Perdana Menteri kepada Datuk untuk pimpin PN di Sabah?
Dalam PN kita berbincang, bermesyuarat. Kita menitikberatkan kepentingan rakan-rakan. Kita tidak boleh berebut mahu bertanding kerana mahu tunjuk kerusi banyak. Apa yang penting ialah kepentingan bersama. Supaya nampak ada satu persefahaman yang meyakinkan rakyat. Tugas kita dalam pilihan raya adalah untuk mendapat sokongan dan kemenangan. Itu yang penting. Soal lain boleh putuskan kemudian.
Ini termasuk jawatan Ketua Menteri pun kemudian cerita?
Kita putuskan kemudian. Siapa yang akan jadi Ketua Menteri, kita merancang tapi Tuhan yang menentukan.
Ada tiga isu utama di Sabah iaitu pencerobohan China di perairan, tuntutan Filipina dan lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI). Adakah perkara ini akan terkandung dalam manifesto?
Kerana itu PN memberi tumpuan. Kita menyatakan kepada rakyat Sabah bahawa Sabah sebahagian dari Malaysia. Kita negara berdaulat, negeri berdaulat. Tidak akan layan langsung tuntutan mana-mana pihak terutama dari Filipina. Kerana itu kita perlu berkerjasama dan sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan. Jaga keselamatan rakyat dan perairan kita. Ini tanggungjawab Persekutuan. Apa yang perlu dilakukan oleh rakyat Sabah adalah pastikan negeri kita ini tidak boleh diancam oleh sesiapa pun. Perlu bersatu padu dengan menyokong Kerajaan Persekutuan.
Jangan kita fikir perkara-perkara lain sehingga lupa kepada ancaman Filipina yang masih ada. Keputusan pilihan raya amat penting. Mesti memihak kepada PN dan BN supaya kita dapat usahakan yang terbaik.
Mengenai lambakan PATI?
Sudah dimasukkan dalam manifesto bahawa kita akan lebih tegas. Tidak boleh orang masuk ke negeri ini tanpa dokumen yang sah dan sebagainya. Akan diberikan perhatian utama dan semua pendatang asing tanpa izin (PATI) perlu dihantar pulang.
Akan ada perbincangan dengan kedutaan-kedutaan negara terlibat?
Insya-Allah, akan dilakukan. Ini yang menjadi kekhuatiran kepada rakyat Sabah dari dulu sampai sekarang. Kita juga harap kerajaan Pusat mesti bertegas dalam soal ini. Mesti diutamakan kepentingan orang tempatan. Meskipun begitu, kita juga mungkin memerlukan tenaga kerja dari luar negara tetapi perlu ada dokumen yang sah untuk terus bekerja.










