SAYA sengaja pilih untuk buat latihan amali semasa belajar di Kajian Sebaran Am, Institut Teknologi Mara (ITM) dari 1974 hingga 1977 dan tidak di akhbar berbahasa Inggeris. Tidak sangka, selepas tamat pengajian, saya pilih untuk bekerja sebagai wartawan Utusan Malaysia.
Sebenarnya, saya juga tidak sangka akan jadi wartawan secara tetap. Ia berlaku oleh sebab saya gagal mendapat biasiswa atau pinjaman pelajaran Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan terpaksa bekerja sebagai wartawan di Utusan.
Ketika itu, Universiti Columbia menerima permohonan saya untuk buat pengajian di peringkat Sarjana Seni Halus dalam bidang Pengarahan Filem.
LIGA IVY
Columbia merupakan universiti ulung di Amerika Syarikat (AS) dalam Liga Ivy. Ada lapan universiti dalam liga ini iaitu Harvard, Princeton, Cornell, Yale, Columbia, Brown, Dartmouth dan UPenn.
Sebagai pelajar yang masih belum tamat pengajian di ITM tapi sudah diberi tempat oleh universiti Liga Ivy, amat mengejutkan pegawai Mara. Mereka tidak fikir saya layak belajar di universiti seperti itu lalu menolak permohonan biasiswa.
Namun, semasa bekerja di Utusan, saya berjaya merapati menteri-menteri berkenaan dan akhirnya diberi pinjaman Mara.
Akhirnya, saya mencipta dua sejarah akademik. Pertama, berjaya mendapat tempat di universiti Liga Ivy semasa masih belajar di ITM. Kedua, menjadi pelajar bidang perfileman pertama di universiti seperti itu.
DOKUMENTARI
Mungkin jika tidak bekerja di Utusan, saya tidak dapat pinjaman pelajaran Mara. Oleh sebab itu apabila dapat kesempatan, saya terbit sebuah dokumentari khas tentang Utusan untuk Finas. Ia berjudul Utusan Warisan Bangsa yang akhirnya mencipta sejarah lain, iaitu merakam sejarah Utusan semasa ia masih kekal pada tahap asal yang pada masa itu.
Saya rakam dokumentari itu pada 2011 semasa bangunan baharu Utusan sedang dibina dan rakam kerja-kerja di pejabat pengarang yang tidak sesiapa pernah lakukan.
Dokumentari kedua yang saya buat ialah Bertahun di Residensi tentang Tunku Abdul Rahman, menggunakan gambar-gambar peribadi dalam album anak saudara dan anak angkat Tunku, iaitu Syed Abdullah Barakhbah.
Dokumentari ketiga ialah tentang masyarakat Portugis di Melaka yang saya amat kenal sebab pernah bersekolah di St. Francis’ Institution (SFI) yang kini dikenali dengan nama Sekolah Menengah St. Francis. Saya rakam kegiatan kumpulan tarian dan muzik yang diketuai oleh Joe Lazaroo. Malangnya dokumentari ini masih belum disiar oleh RTM, sehingga Joe Lazaroo meninggal dunia.
Dokumentari Bertahun di Residensi telah disiar oleh RTM dan juga dipertontonkan kepada pelajar di Universiti Nottingham, England dalam acara khas dengan saya menghadirinya untuk acara forum.
PENULIS ialah pengkritik filem tempatan.










