Buku bukan karipap - Utusan Malaysia

Buku bukan karipap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBENARNYA sudah banyak pihak menulis atau bercakap mengenai industri buku di negara ini. Apabila mengaitkan sesuatu dengan industri, maka berseleraklah angka-angka yang ditaburkan kepada pembaca atau khalayak.

Maka saya cuba mengelak daripada menambah rasa muak pembaca dengan meminimumkan angka-angka. Hakikatnya, tidak semua mengenai buku dapat diukur atau disukat dengan angka kerana ia melampaui semua itu.

Oleh hal yang demikian, elok lupakan sementara sasaran 31,000 judul buku bagi populasi 31 juta warga di negara ini seperti ditetapkan oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Menurut badan dunia itu, angka berkenaan melayakkan negara ini dilabelkan negara maju.

Benarkah berjaya menerbitkan 31,000 judul buku setahun sudah menjadi negara maju? Nanti dulu. Jangan telan angka popular ini. Kita kena bertanya lagi, 31,000 judul yang bagaimanakah boleh menjadi tanda aras negara maju?

Kita berada pada satu fasa di mana syarikat penerbit buku berselerak di sana sini. Kalau dulu hanya organisasi penerbitan arus utama, kini telah tumbuh dengan pesat. Buku yang diterbitkan sebahagian besarnya membawa bentuk yang hampir sama – provokasi masyarakat dengan pelanggaran hal-hal tabu, anarki dan liar.

Memang berlambak di kedai-kedai buku dan khalayak memberikan sokongan luar biasa. Ini disebabkan gaya pemikiran liar menjadi ikutan generasi muda yang sebaya. Malah dengan sengaja mengabaikan aspek bahasa terutama ejaan kerana itu kononnya bentuk baharu yang tidak dibuat oleh penerbit arus perdana sebelum ini.

Bukan semua tetapi sebahagian besar sengaja memilih gaya sedemikian kerana melihat sambutan hangat daripada pembaca khususnya remaja. Tidak kurang juga yang mempromosikan kehidupan di luar lingkaran norma agama dan budaya.

Bagaimanapun, rentak dan gaya seperti ini tidak lama kerana ia tidak lebih sekadar sohor kini (trending) pada sesuatu masa. Sekarang, buku bercorak demikian tidak lagi mendapat sambutan sehangat dulu. Banyak juga penerbit di luar arus perdana ini gulung tikar.

Ironinya, ada yang melihat penguncupan jumlah penerbit ini sebagai merudumnya industri buku. Mereka mengira jumlah penerbit yang lesap dan jumlah judul buku yang menjunam. Tetapi tidak banyak yang bertanya, bagaimanakah isi pemikiran dalam buku berkenaan?

BERACUN

Katakanlah, sebahagian besar daripada 31,000 judul yang diterbitkan dalam setahun adalah buku yang seperti disebutkan, bolehkah kita menerima sasaran UNESCO bahawa negara ini sudah maju?

Kalau benar bidang perbukuan memang tidak mampu menerbitkan jumlah judul yang digariskan oleh UNESCO, tidak perlulah memaksa dengan menerbitkan buku-buku ‘beracun’ yang bercanggah dengan nilai masyarakat.

Walaupun begitu, ada sesetengah buku yang diusahakan oleh penerbit kecil ini memuatkan gagasan pemikiran yang besar, seterusnya menyumbang pembangunan nilai-nilai insan. Ini memang memberi sumbangan kepada masyarakat.

Tetapi kalau berlambak buku-buku yang merosakkan dan kita pun gembira kerana industri berkembang maju, tentu ada sesuatu yang tidak kena dengan sesetengah dalam kalangan kita. Untuk apa maju kalau menyumbat racun kepada khalayak untuk jangka masa panjang?

Sebelum menjadi ‘negara maju’ dengan lambakan buku begini, eloklah kembali kepada matlamat utama buku sebagai pendiri peradaban seperti yang telah lama dilakukan oleh pemikir-pemikir silam termasuk dalam kalangan Islam.

BUKAN KARIPAP

Mereka menghasilkan buku untuk mengalir dan mewariskan pemikiran kepada generasi yang berabad-abad selepas itu. Pemikir dan ulama tersohor, Ibnu Taimiyyah misalnya, menghasilkan lebih 500 buku (kitab) yang terus dihayati hingga kini.

Menulis lebih 500 kitab pun sudah satu hal yang sangat hebat pada zamannya tetapi yang paling luar biasa, sebahagian besar kitab-kitabnya ditulis semasa beliau dipenjarakan oleh pemerintah Islam sekitar 650 Hijrah.

Kalau mengikut logiknya, karya-karya Ibnu Taimiyyah tentu penuh dengan anarki, marah-marah dan protes kerana tidak ada kebebasan. Tetapi buku-buku beliau adalah sebaliknya yang memuatkan pelbagai disiplin ilmu.

Buku yang ditinggalkan terus menjadi rujukan. Begitulah tingginya nilai ilmu yang tersimpan dalam buku. Daripada generasi kepada generasi, ilmu itu mengalir sekali gus mendirikan peradaban manusia. Benarlah, penulis yang hebat tidak mati selepas kematiannya.

Buku bukan seperti karipap yang intinya ditentukan oleh selera pembeli sepenuhnya. Walaupun dari sudut pemasaran, buku perlu mengambil kira cita rasa pembeli tetapi penerbit yang bertanggungjawab tidak memberi hidung untuk dicucuk oleh kehendak pasaran.

Sesetengah penerbit di luar arus perdana sengaja memilih pendekatan isi kandungan yang keras, liar dan bertentangan norma masyarakat kerana itu kehendak pasaran. Jangan percaya kalau dikatakan itu satu cetusan kebebasan. Semua itu mengarut.

Oleh yang demikian, buku-buku begini wajar dikecualikan daripada jumlah judul yang menjadi tanda aras negara maju. Ini bukan buku-buku yang melawan sistem atau memperjuangkan kebebasan, tetapi buku yang sengaja mendatangkan kerosakan.

Maka tidak perlu gundah gulana dan bersedih hati apabila penerbitan buku kita tidak mencapai angka yang digariskan oleh UNESCO. Cukuplah meratibkan industri buku merudum. Kalau industri menjulang dengan buku-buku yang ‘beracun’ pun tidak ada gunanya.

PENULIS ialah Editor portal Kuseman.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN