Pengakuan sesetengah pihak khususnya bukan Melayu yang mereka mempelajari bahasa Melayu untuk ujian dan peperiksaan semata-mata sebenarnya tidak memeranjatkan langsung kerana memang itulah hakikatnya. Hal ini sebetulnya sudah lama diperhatikan oleh banyak pihak yang mendapati mereka ini rata-ratanya mempelajari mata pelajaran itu atas orientasi instrumental, yakni untuk memenuhi syarat pendidikan sebagai mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Sudah tentu orientasi instrumental bukan cara terbaik untuk mempelajari bahasa Melayu yang merupakan lambang penting negara dan rakyat untuk tujuan pendukungan identiti kebangsaan.
Sepatutnya bahasa Melayu ikut dipelajari secara integratif, iaitu bagi sama-sama menyokongnya dalam budaya sepunya sebagai tonggak utama identiti kebangsaan.
Mengapakah sikap lebih positif terhadap bahasa Melayu tidak diperlihatkan mereka? Adakah mereka tidak memahami kepentingan gagasan bahasa Melayu sebagai bahasa negara? Apa-apa pun, sikap sedemikian adalah kesan langsung dan nyata tentang kurang berkesannya proses pembentukan negara bangsa kita, yakni untuk melahirkan warganegara yang bangga, sayang dan setia kepada bahasa negara. Sehubungan itu, sepatutnya rakyat pelbagai kaum sepakat berkongsi sejarah, budaya dan bahasa yang sama setelah sekian lama kita merdeka dan menubuhkan Bangsa Malaysia.
Namun ia sama sekali tidak berlaku sedemikian rupa. Justeru, budaya nasional sepunya bersekali ideologi kesepunyaan yang menyatukan semua kaum sebagai satu komuniti nasional bangsa Malaysia melalui bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan masih belum berjaya dibentuk.
KEBENDAAAN
Dalam pada itu, setelah ditinjau program tata negara kita khususnya berkaitan hal persekolahan, tidak dapat dinafikan ia belum berjaya sehingga kini biarpun sudah 63 tahun merdeka. Dengan kata lain, dampak sosial daripada sistem pendidikan kita masih tidak berupaya menggemblengkan rakyat terutama golongan muda untuk mengadunkan identiti kebangsaan dan identiti budaya ke dalam perwatakan peribadi, kemudiannya dijadikan perwatakan nasional.
Ini jelas kelihatan pada mereka ini yang rata-ratanya tidak pun menerima gagasan dan nilai yang berkait dengan identiti kebangsaan dan identiti budaya itu. Bahasa negara diperlaku sedemikian cara, iaitu hanya sebagai alat untuk mencapai sesuatu yang ada kaitan dengan kebendaan.
Sesungguhnya identiti kebangsaan dan identiti budaya ini perlu dipupuk dan dilestarikan secara sosial. Ini bermakna ia hendaklah disosialisasikan, antaranya dengan dimasyarakatkan pada mulanya untuk kemudiannya dibudayakan perasaan bangga, sayang dan setia kepada bahasa negara yang dimiliki bersama oleh semua kaum. Melalui sosialisasi ini, segala gagasan, nilai dan harapan bersama kita terhadap bahasa Melayu hendaklah bukan sahaja disebarluaskan tetapi diakuri sepenuhnya oleh setiap daripada kita yang memanggil diri mereka warganegara Malaysia.
Dengan ini, sistem pendidikan kita perlu diteliti semula dari segi pendekatan istimewa untuk mensosialisasikan rakyat, khususnya golongan muda di sekolah dan universiti tentang gagasan, nilai dan harapan negara
Oleh itu, satu kaedah perlu dicari segera untuk melahirkan golongan muda yang perwatakan peribadi mereka adalah hasil langsung daripada wujudnya unsur perkongsian hak sepunya dalam kehidupan sosial unggul rakyat yang sentiasa bangga mendukung lambang negara antaranya bahasa Melayu. Melalui kaedah ini, kita mahu melihat bukan sahaja kaum bukan Melayu mengidentifikasi diri mereka dengan negara ini secara lebih bangga, tetapi juga mempercayai gagasan, nilai dan harapan bersama itu betul-betul penting sehingga sanggup mengamalkannya dalam kehidupan sosial pada setiap masa.
BANGGA
Dengan ini, identiti kebangsaan dan identiti budaya yang ingin dipupuk melalui sosialisasi akan menghasilkan komuniti nasional Bangsa Malaysia yang bukan sahaja amat bangga tetapi terikat kuat dalam soal bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Sebenarnya, pemupukan identiti kebangsaan dan identiti budaya dalam konteks bahasa Melayu bertujuan mewujudkan perpaduan erat dalam kalangan rakyat pelbagai kaum.
Selain bertujuan mewujudkan keadaan politik stabil dan kemampanan negara untuk jangka masa panjang, ia sebenarnya juga penanda keberhasilan kita sebagai negara maju kerana berjaya menyatukan rakyat melalui bahasa negara.
PROFESOR Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Majlis Profesor Negara.










