Apa salah SJKC dan SJKT? - Utusan Malaysia

Apa salah SJKC dan SJKT?

Exco Pendidikan Perlis, Rozieana Ahmad mengadakan lawatan di SJKC Sin Min dan Sekolah Kebangsaan Pauh di Perlis, baru-baru ini. Gambar hiasan.-NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Isu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) tidak pernah selesai sejak 1950. Krisis sekolah Cina dan Tamil ini bermula bila Barnes Report 1950 cuba diwartakan untuk dilaksanakan di Malaya oleh pihak kolonial.

Sejak itu hinggalah ke hari ini, isu SJKC dan SJKT sentiasa menjadi ‘duri dalam daging’ kepada pembinaan sistem pendidikan kebangsaan. Malah sering kali juga menjadi modal politik perkauman yang sangat menguntungkan ahli politik sehingga merenggangkan perpaduan rakyat.

Terdapat dua hujah yang selalu digunakan dalam menyokong naratif supaya SJKC dan SJKT dihapuskan.
Pertama, SJKC dan SJKT tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan kerana Perkara 152 menetapkan bahasa Melayu bahasa rasmi negara. Kedua, SJKC dan SJKT tidak membina perpaduan kaum. Dua hujah ini diulang-ulang sejak 1950-an lagi.

Sebelum meneliti dua hujah tersebut, sebenarnya adakah SJKC dan SJKT boleh digolongkan sekolah vernakular? Di dalam negara kita hanya ada dua aliran persekolahan. Pertama, aliran kebangsaan dan keduanya aliran persendirian. Semua sekolah yang di pangkalnya ada perkataan ‘kebangsaan’ maka itu adalah sekolah dalam aliran kebangsaan. Maksudnya menggunakan kurikulum kebangsaan yang seragam.
Jadi SK, SMK, SRJKC, SRJKT, SMJKC tergolong dalam sekolah aliran kebangsaan. Bermula dari Akta Pendidikan 1961 berasaskan Laporan Pelajaran Rahman Talib 1960 dan Laporan Pelajaran Razak 1956, kerajaan mewartakan sekolah aliran kebangsaan.

Sebagai sekolah beraliran kebangsaan, SJKC dan SJKT melaksanakan pengajaran bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu. Pelajar juga mengambil semua peperiksaan rasmi berdasarkan kurikulum kebangsaan. Kebenaran bagi penggunaan, pengajaran dan pembelajaran bahasa Mandarin dan Tamil di mana-mana sekolah SJKC dan SJKT diperuntukan di dalam Ordinan Pelajaran 1956, Akta Pelajaran 1961 dan Akta Pendidikan 1996. Semua akta ini selari dengan Perkara 152(b) Perlembagaan Persekutuan. Kemudian di bawah Akta Pendidikan 1996 pula dijelaskan berkaitan sekolah persendirian. Semua sekolah yang ditubuhkan oleh individu, NGO atau syarikat swasta adalah tergolong dalam aliran sekolah persendirian.
Sekolah vernakular adalah sekolah yang menggunakan bahasa ibunda kaum atau menggunakan bukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa urusan rasmi pentadbiran dan pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Sekolah persendirian yang menggunakan bahasa pengantar selain bahasa Melayu inilah membawa maksud sekolah vernakular dalam sistem pendidikan di Malaysia.

Sekolah antarabangsa, sekolah swasta, sekolah persendirian Cina, sekolah agama/tahfiz persendirian dan sekolah pondok adalah tergolong dalam aliran sekolah persendirian ini. Sekolah persendirian Cina yang menggunakan bahasa Mandarin sepenuhnya dalam urusan pentadbiran, peperiksaan dan pengajaran juga adalah sekolah vernakular.

Kita harus faham struktur persekolahan di negara ini sudah mantap. Walaupun ada di sana sini beberapa kelemahan perlu ditambah baik tapi janganlah terikut dengan gaya orang politik yang cuba meraih sokongan dengan cara ‘menakut-nakutkan’ dalam urusan pendidikan untuk anak anak kita.

Semangat Perlembagaan
Peruntukan di bawah perkara 152 (1b) menyatakan:

“Tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan Negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan”.

Atas perkara 152 (1b) inilah, Akta Pendidikan 1996 di bawah Seksyen 17 dan Seksyen 28 telah membenarkan Menteri Pendidikan meluluskan kewujudan SJKC dan SJKT.

Jadi hujah SJKC dan SJKT tidak menghormati Perlembagaan tidak sepenuhnya benar selepas wujudnya Akta Pendidikan 1996. Walaupun Perlembagaan Malaysia boleh diterjemahkan sebagai tidak membenarkan kewujudan sekolah SJKC dan SJKT di bawah perkara 152 (1a) atas terma `maksud rasmi’ tetapi ia juga boleh diterjemahkan sebagai boleh diwujudkan SJKC dan SJKT dengan menggunakan Perkara 152 (1b).

Ini terbukti apabila Seksyen 28 Akta Pendidikan 1996 diluluskan maka secara jelas undang-undang negara lebih memihak kepada perkara 152 (b) Perlembagaan Malaysia yang membenarkan kewujudan SJKC dan SJKT.

Jejas perpaduan?
Perpaduan paling tinggi adalah apabila masyakarat pelbagai kaum dapat hidup dalam keseragaman melalui proses asimilasi. Perpaduan Malaysia bergerak antara keduanya yang dipanggil sebagai integrasi. Ada masanya masyarakat terpisah-pisah (segregasi) dan ada masanya masyakat bertolak ansur dan ada pula masanya berasimilasi.

Semakin tinggi kepelbagaian maka semakin tinggi peluang untuk berinteraksi antara kaum. Laporan PPPM 2013-2025 di bahagian bab 3-24 menunjukkan wujud keadaan yang sangat jelas antara sekolah yang mana ada yang homogeneous dan ada sekolah yang heterogenous. Berdasarkan statistik Kementerian Pendidikan, peratusan murid bukan Cina di SJKC mencecah 18 peratus daripada keseluruhan 520,000 murid di SJKC.

Maksudnya, di SJKC sekarang terdapat 93,600 pelajar bukan Cina, yang majoriti pelajar Melayu. Terdapat beberapa SJKC, bilangan pelajar Melayu lebih ramai dari pelajar Cina. Maksudnya SJKC bukan lagi sekolah hanya ada satu kaum sahaja seperti era 1970-an dulu. SJKC sudah banyak berubah sehingga menjadi sekolah pelbagai kaum. Sikap sesetengah pihak yang menganggap SJKC adalah ‘musuh’ kepada perpaduan negara adalah tidak tepat lagi.

Masa depan
Orang Melayu tidak akan anti SJKC jika bahasa Melayu diutamakan dan menjadi bahasa pengantar di SJKC dan SJKT. Orang Melayu marah bila bahasa itu diremehkan di SJKC dan SJKT. Jadi kepimpinan SJKC dan SJKT harus lebih terbuka dan bersedia melaksanakan bahasa Melayu sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan. Inilah isu induk yang harus diselesaikan. Sementara itu dari perspektif orang bukan Melayu pula, mereka mementingkan soal pendidikan dan kesinambungan SJKC dan SJKT sebagai institusi pembinaan identiti dan warisan etnik. Sebenarnya, orang bukan Melayu tidak menolak pelaksanaan bahasa Melayu di SJKC dan SJKT.

Sejak Laporan Razak 1956 lagi amalan ini sudah pun diterima di SJKC dan SJKT. Cuma agenda ini tidak dipertegaskan dan sering dipolitikkan. Maka menjadi tugas kerajaan hari ini untuk memperkasakan bahasa Melayu di SJKC dan SJKT.

Menteri Pelajaran kenalah mulakan agenda pemerkasaan bahasa Melayu di SJKC dan SJKT. Janganlah teragak-agak, tersipu-sipu dan takut bertegas dengan agenda memperkasa bahasa Melayu di SJKC dan SJKT demi kebaikan semua.

ANUAR AHMAD ialah Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan UKM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN