Tanah simpanan Melayu akan hilang - Utusan Malaysia

Tanah simpanan Melayu akan hilang

PEMBUKAAN lombong-lombong bijih timah di kawasan bandar pada awal abad ke-19 menyebabkan ramai orang Melayu rasa terpinggir daripada arus pembangunan lalu mereka berhijrah ke kampung-kampung.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH simpanan Melayu merupakan salah satu kategori tanah di luar pasaran terbuka. Ia diwujudkan sebelum merdeka bagi menghalang tanah pegangan Melayu daripada jatuh ke milikan asing.

Pada awal abad ke-19, British membawa masuk imigran dari China dan India untuk bekerja di Tanah Melayu. Sebahagian besar tanah diperuntukkan untuk pertanian komersial seperti perladangan getah dan teh. Ada juga pembukaan tanah untuk perlombongan bijih timah terutama berdekatan bandar.

Orang Melayu mula rasa tersisih kerana hak mereka terhadap tanah seolah-olah dilucutkan terkeluar dari arus pembangunan ekonomi. Ini mendorong sebahagian besar mereka menjual tanah di kawasan bandar dan berpindah ke kampung. Ada juga fenomena orang Melayu meminjam wang daripada ceti dan menggadai tanah sebagai cagaran yang kemudiannya dijual apabila gagal membayar balik pinjaman.

Bertitik tolak daripada pemerhatian ini, penguasa British menggubal rang undang-undang Enakmen Rizab Melayu (Negeri-negeri Bersekutu) (Bab 142) yang diluluskan pada 1914 dan terpakai di Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan. Negeri-negeri lain turut meluluskan Enakmen Rizab Melayu masing-masing selepas itu (kecuali Pulau Pinang dan Melaka yang merupakan Negeri-Negeri Selat).

Ciri utama enakmen ini adalah menghalang urus niaga kepada orang bukan Melayu, menafsirkan ‘Melayu’ serta meletakkan amanah dan kuasa membuat keputusan tentang tanah rizab Melayu kepada Raja dalam Mesyuarat (Ruler in Council). Sekitar 2009, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang pada masa itu, Raja Muda Perak berkongsi Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu yang menjadi teras peruntukan tanah simpanan Melayu dalam Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan. Perkara 89 Fasal 2, contohnya, mensyaratkan yang luas tanah simpanan Melayu tidak boleh melebihi jumlah keluasan tanah untuk hak milik umum dan ini menggambarkan nisbah 50:50.

NILAI RENDAH

Pelindungan diberikan juga kepada tanah orang bukan Melayu di mana Fasal 4 melarang pengisytiharan sebagai tanah simpanan Melayu terhadap mana-mana tanah dipunyai atau diduduki oleh bukan Melayu. Pada hari ini, tanah simpanan Melayu mempunyai nilai yang rendah dan tidak kompetitif kerana tidak dapat mencapai nilai pasaran yang sama dengan tanah persendirian lain.
Ia mungkin disebabkan lokasinya di pedalaman yang kurang atau tiada infrastruktur seperti saliran air, elektrik dan kemudahan awam menyebabkan tiada tarikan untuk pembeli serta pelabur.

Pada zaman British, penguasa juga mengarahkan pejabat daerah melarang tanaman getah di usahakan di atas tanah simpanan Melayu dan ini merupakan ciri senyap (silent feature) . Ini menggambarkan tujuan asal undang-undang tanah simpanan Melayu pada zaman British adalah untuk menghalang pembangunan dan membiarkannya terkeluar daripada arus pembangunan.
Selain itu, Enakmen Rizab Melayu melarang urus niaga tanah yang memberi apa-apa kepentingan terhadap tanah simpanan Melayu kepada bukan Melayu, termasuk pindah milik dan gadaian. Ini menyebabkan institusi kewangan kurang berminat untuk membiayai sebagai cagaran.

Antara isu hangat diperkatakan adalah ketiadaan mekanisme untuk memantau pembatalan status rizab Melayu menyebabkan keluasannya semakin berkurang. Ini berlaku apabila rizab Melayu dibatalkan tanpa penggantian tanah lain dengan ‘serta-merta’ seperti mana disyaratkan di bawah Fasal 3 Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan. Prosedur undang-undang juga berbeza bagi tanah yang diisytiharkan tanah simpanan Melayu pada sebelum dan selepas merdeka. Sebelum merdeka, Perkara 89 Fasal 1 mensyaratkan enakmen baharu mengenai pembatalan diluluskan oleh majoriti jumlah ahli Badan Perundangan Negeri (dua pertiga yang hadir dan mengundi). Enakmen itu kemudiannya harus dipersetujui oleh ketetapan setiap Majlis Parlimen yang diluluskan majoriti bilangan ahli Parlimen (dua pertiga juga). Bagi tanah yang di isytiharkan sebagai tanah simpanan Melayu selepas merdeka, pembatalan boleh dibuat oleh menteri besar dengan kelulusan raja dalam mesyuarat dan diwartakan.

KELIRU

Kekeliruan tentang kuasa pembatalan rizab Melayu boleh dilihat dalam keputusan mahkamah. Pada 1989, Kerajaan Negeri Johor memberi arahan ‘Melayu’ bagi maksud tanah simpanan Melayu ialah seorang warganegara Malaysia.

Dalam kes Zaleha bte Sahri lwn. Pendaftar Hakmilik Johor [1996], Mahkamah Tinggi meluluskan permohonan deklarasi membatalkan status rizab Melayu dimiliki pemohon, seorang wanita Melayu yang berkahwin dengan rakyat Singapura dan ingin mewariskan tanahnya kepada suami dan anak-anaknya. Keputusan kes ini bertentangan dengan kehendak undang-undang pembatalan rizab Melayu. Mahkamah sebenarnya tidak mempunyai kuasa membuat deklarasi untuk membatalkan status rizab Melayu.

Dasar terkini menyentuh tanah simpanan Melayu ada dalam Dasar Perumahan Mampu Milik Negara 2019. Kerajaan mencadangkan penggunaan tanah rizab Melayu untuk pembinaan perumahan mampu milik. Malangnya, kerangka perundangan tanah simpanan Melayu tidak seiring dengan dasar ini. Peruntukan enakmen tanah Rizab Melayu tidak menggalakkan pembangunan. Ia sebenarnya sudah usang dan diluluskan pada zaman di mana orang Melayu hanya golongan petani dan nelayan.

Kerajaan boleh menggunakan Perkara 76(4) Perlembagaan Persekutuan untuk menyelaras dan menyeragamkan undang-undang mengenai tanah simpanan Melayu di negeri-negeri dengan mewujudkan Akta Tanah Simpanan Melayu. Akta ini harus mengadakan mekanisme pantauan keluasan rizab Melayu dari semasa ke semasa dengan penggunaan teknologi pengurusan data terkini. Akta boleh mewujudkan satu lembaga atau perbadanan tanah simpanan Melayu yang dianggotai wakil daripada kerajaan negeri dan wakil raja-raja sebagai satu badan khas mengawal selia perkara tentang pembangunan tanah simpanan Melayu.

Garis panduan komprehensif untuk menilai tanah simpanan Melayu bagi menaikkan nilai ekonomi tanah tersebut boleh juga dimasukkan dalam sebahagian akta tersebut. Jaminan harus juga diwujudkan dengan pindaan Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan untuk memasukkan fasal baru tentang larangan pemansuhan Perkara 89 kecuali dengan kebenaran Majlis Raja-Raja.

Sudah tiba masanya kerajaan mengambil inisiatif untuk mengkaji semula dasar dan perundangan supaya tanah simpanan Melayu dapat dibangunkan dengan mampan terutama bagi generasi akan datang. Selagi tanah simpanan Melayu tidak dibangunkan dengan baik, kita akan menghadapi pembaziran sumber tanah yang sebetulnya berpotensi digunakan untuk penyediaan perumahan mampu milik. Sekiranya tidak diteliti semula dan dikemas kini dalam masa terdekat, tanah simpanan Melayu mungkin hilang relevanan dan tidak mustahil di telan zaman.

PROFESOR Madya Dr. Sharifah Zubaidah Syed Abdul Kader adalah dari Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya