Sektor pelancongan tenat - Utusan Malaysia

Sektor pelancongan tenat

NANCY SHUKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah
SECARA purata, Malaysia menerima lebih kurang 25 juta pelancong setiap tahun. Namun, ekoran pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia, industri pelancongan tempatan turut terkena tempias. Bagaimanapun, sektor pelancongan domestik mula dibenarkan beroperasi semula sejak 10 Jun lalu ekoran kejayaan Malaysia membendung penularan wabak ini sekali gus memberi kelegaan kepada penggiat industri berkenaan.

“Kita perlukan rakyat kita untuk melancong di dalam negara. Ini adalah masa terbaik untuk orang kita sendiri menerokai destinasi pelancongan tempatan demi membantu industri ini untuk bangkit semula.

“Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya telah merangka Pelan Pemulihan Pelancongan dan Kebudayaan bagi membolehkan mereka yang terkesan dapat menjana semula pendapatan yang terjejas teruk ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).”

Itu antara komitmen disuarakan Menterinya, DATUK SERI NANCY SHUKRI ketika diwawancara wartawan Utusan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM dan ASLINDA NASIR bersama jurugambar, SHIDDIEQIIN ZON di Parlimen, Isnin lalu. Walaupun tampak lembut dan ayu berbaju kurung dan bertudung biru polos, beliau serius ketika berbicara tentang strategi untuk memulihkan industri yang telah mencatat kerugian kira-kira RM45 bilion.

 

STRATEGI PEMULIHAN

Strategi-strategi jangka pendek dan sederhana dalam Pelan Pemulihan Pelancongan dan Kebudayaan ialah memulihkan kembali keyakinan orang ramai untuk kembali melancong melalui Kempen Malaysia Bersih dan Selamat. Pelancongan domestik disemarakkan melalui tawaran-tawaran oleh penggiat industri seperti perhotelan selain membenarkan lawatan pengunjung ke semua premis dan fasiliti awam seperti muzium, galeri, arkib, pusat kraftangan, memorial, perpustakaan dan kompleks kebudayaan. Selain itu, penganjuran program dan acara berbentuk kebudayaan dan kesenian dibenarkan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) acara langsung bermula 1 Julai lalu. Dalam tempoh ini, keutamaan diberikan kepada segmen yang dibenarkan seperti pelancongan kesihatan, taman tema dan MICE (meetings, incentives, conventions & exhibitions).

Kita turut meneroka potensi ketibaan pelancong asing melalui pelancongan rentas sempadan seperti mengadakan gelembung perjalanan atau travel bubble dengan negara-negara jiran atau destinasi-destinasi zon hijau berhubung protokol-protokol keselamatan dan kesihatan.

Selain itu, Tourism Malaysia juga berjumpa beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) utama dalam pelancongan dan syarikat penerbangan. Kita dapat lihat semua penggiat industri mula menawarkan pakej-pakej pelancongan domestik yang amat menarik. Antaranya, AirAsia telah menawarkan harga promosi RM399 bagi AirAsia Travel Pass Cuti-cuti Malaysia untuk semua penerbangan domestik sehingga Mac 2021. Begitu juga Malaysia Airlines turut menawarkan promosi tiket penerbangan dan penginapan di semua negeri.

PAKEJ ISTIMEWA

Kementerian melalui Tourism Malaysia mengambil inisiatif membangunkan satu portal pelancongan rasmi www.malaysia.travel sebagai sumber rujukan pelancong. Penggiat industri pula boleh mempromosikan tawaran dan pakej mereka di portal ini. Sejak diperkenalkan Jun lalu, sebanyak 103 tawaran dan 107 pakej menarik dipromosikan melalui platform ini dengan penyertaan 150 penggiat industri.

KERUGIAN INDUSTRI PELANCONGAN

Pembatalan tempahan bilik hotel sudah mula dilakukan sebelum PKP. Untuk tempoh Januari hingga Mac lalu, sebanyak 193,000 pembatalan tempahan dibuat. Anggaran kerugian daripada hasil perbelanjaan pelancong sahaja bagi tempoh Januari hingga Jun lalu mencecah RM45 bilion melibatkan lebih RM30 bilion untuk pelancongan antarabangsa, manakala pelancongan domestik mencatatkan RM13 bilion.

Bagi penggiat industri kebudayaan dan kesenian pula, sebanyak RM85.06 juta jumlah kerugian dicatatkan sejak 18 Mac lalu sehingga kini meliputi kerugian pendapatan bagi 22,000 penggiat industri sebanyak RM47 juta yang telah menjejaskan kos sara hidup diri serta keluarga masing-masing. Sebanyak RM33 juta terpaksa ditanggung oleh syarikat-syarikat produksi yang terpaksa membatalkan konsert serta pementasan teater.

Pengusaha galeri seni pula terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM4.06 juta melibatkan 78 galeri seni di seluruh negara selain penutupan semua premis awam yang telah kehilangan hasil kutipan tiket masuk ke muzium, galeri dan pameran serta sewaan ruang-ruang dengan anggaran kos kerugian sebanyak RM1 juta.

Segala usaha pengembangan dan pembangunan seni, budaya dan warisan termasuk aktiviti-aktiviti pemuliharaan, pemeliharaan dan perlindungan juga terpaksa dibatalkan menyebabkan ramai penggiat industri kehilangan punca pendapatan. Penganjuran program dan aktiviti seni budaya di pelbagai peringkat oleh kerajaan dan swasta telah terjejas dan terpaksa dibatalkan termasuk persembahan kebudayaan, pementasan teater, pameran, konsert, karnival dan marquee event berskala besar.

PEMBATALAN KEMPEN MELAWAT MALAYSIA 2020

Sasaran 30 juta ketibaan pelancong asing dengan perbelanjaan RM100 bilion untuk tahun ini tidak dapat dicapai berikutan pandemik Covid-19. Jika krisis ini berlanjutan, berkemungkinan impak yang lebih besar akan melanda sektor pelancongan, antaranya penurunan ketibaan dan perbelanjaan pelancong antarabangsa sebanyak 75 peratus manakala 30 peratus bagi perbelanjaan pelancong domestik untuk tahun ini. Ini seterusnya akan menjejaskan sumbangan pelancongan terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan guna tenaga negara.

Berdasarkan Laporan Statistik Guna Tenaga yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan bagi April lalu, jumlah guna tenaga menurun sebanyak 156,400 orang atau satu peratus kepada 14.93 juta orang berbanding tempoh sama tahun lalu. Antara pekerja paling terjejas adalah sektor perkhidmatan termasuk penginapan, makanan dan minuman, seni, hiburan dan rekreasi serta perkhidmatan lain seperti pusat kecantikan dan salun.

Bagi suku pertama tahun ini, kita kehilangan hampir RM9 bilion perbelanjaan pelancong asing jika dibandingkan tahun lalu. Laporan dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan, Kajian Impak PKP kepada sektor perkhidmatan di Malaysia bagi tempoh 18 Mac hingga 28 April lalu mendapati hasil sumbangan subsektor yang terlibat dengan sektor pelancongan menunjukkan penurunan yang sangat signifikan iaitu:

Hasil penginapan menurun 77.5 peratus kepada RM0.24 bilion.
Hasil subsektor makanan dan minuman menurun 86.4 peratus kepada RM0.8 bilion.
Hasil subsektor kesenian, hiburan dan rekreasi menurun 90 peratus kepada RM0.75 bilion.

HOTEL DITUTUP

Sehingga 30 Mei lalu, terdapat 4,889 premis penginapan pelancong berdaftar dengan kementerian dan 2,025 premis dikelaskan. Data diperoleh daripada persatuan-persatuan hotel yang diiktiraf oleh kementerian menunjukkan, dalam tempoh antara 18 Mac hingga 1 Julai lalu, sebanyak 36 premis penginapan pelancong pelbagai taraf bintang telah menutup operasi.
Saya juga menerima laporan ada hotel yang ingin menutup sementara operasi mereka, ada juga yang ingin menjual. Benar, sekarang waktu yang sukar tetapi perlu dilihat sama ada mereka baru terjejas sejak PKP ataupun trend perniagaan yang merosot walaupun sebelum PKP. Jika begitu, perlu juga diteliti puncanya. Adakah kerana kurang pelancong atau mungkin kerana tawaran melebihi permintaan?

Situasi masih kritikal sehingga sempadan negara dibuka dan kerancakan pelancongan domestik berada pada tahap maksimum. Kadar penginapan tertinggi juga hanya dirasai semasa cuti persekolahan dan cuti hujung minggu.

Bagi mengembalikan keyakinan rakyat untuk melancong dalam negara dan menginap di hotel-hotel, pengusaha-pengusaha penginapan telah melancarkan kempen Clean and Safe Malaysia bagi memenuhi keperluan semasa dan norma baharu.

INSENTIF BANTU PENGGIAT INDUSTRI

Kerajaan menyediakan insentif dan bantuan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Prihatin PKS Tambahan dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang boleh dimanfaatkan oleh pemain industri pelancongan dan perhotelan.

Antara insentif diperkenalkan adalah Skim Pembiayaan Pelancongan Penjana (PTF) sebanyak RM1 bilion bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sektor pelancongan.

Pengecualian cukai pelancongan sepenuhnya bagi tempoh 1 Julai 2020 hingga 30 Jun 2021, pelanjutan pengecualian cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan penginapan mulai 1 September 2020 hingga 30 Jun 2021 dan inisiatif bantuan PKS seperti kempen Mikro dan PKS E-Dagang, Skim Pembiayaan PKS Penjana, Program Pembiayaan Mikro Penjana dan Geran Padanan Pendigitalan PKS.

Selain insentif dan bantuan tersebut, kementerian juga melaksanakan inisiatif-inisiatif khusus antaranya menawarkan kursus Domestic Tourism Vibes secara dalam talian dengan kerjasama Persatuan Institut-institut Latihan Pelancongan Malaysia (ATTIM) dan Malaysian Tourist Guide Council (MTGC). Sehingga kini, seramai 3,483 pemandu pelancong telah mengikuti kursus tersebut. Pengecualian bayaran fi lesen bagi pengusaha-pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong turut diberikan sehingga 31 Disember ini selain pemberian diskaun 40 peratus pembayaran kompaun kepada semua pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong berlesen yang dikenakan kompaun.

Kempen Meet In Malaysia turut dilancarkan pada 24 Julai lalu bagi menggalakkan penganjuran MICE secara fizikal dan online serentak di Malaysia sehingga 31 Disember 2021 di samping memberikan kemudahan pembiayaan sedia ada berbentuk pinjaman iaitu Tabung Khas Pelancongan (SFT3).

PELANCONGAN MAYA DAN E-PROMOSI

Kraftangan Malaysia telah memperkenalkan E-Kraf Bazar. Sehingga kini, E-Kraf Bazar mempunyai 12,176 ahli dengan 1,122 orang merupakan usahawan kraf dan berjaya merekodkan nilai jualan berjumlah RM4.21 juta. Selain itu aplikasi CraftOnTheGo turut dilancarkan yang mempunyai maklumat direktori secara geolokasi mengandungi profil usahawan kraf, produk, imej atau lokasi outlet yang sehingga 31 Julai lalu seramai 923 profil usahawan kraf telah dimuat turun oleh pengguna.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya