Komited bersihkan ‘Planet Marikh’ - Utusan Malaysia

Komited bersihkan ‘Planet Marikh’

LORI-LORI mengangkut bauksit bukan sahaja mencemar alam sekitar tetapi turut dipandu secara berbahaya. Gambar dirakam di Pahang pada 2016. – Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh Nazli Rasyid Sulong

Sekitar 2015 hingga 2016, isu perlombongan bauksit haram menjadi mimpi ngeri buat penduduk di sekitar Kuantan, Pahang. Ini berikutan aktiviti tidak terkawal tersebut menyebabkan pelbagai risiko dan ancaman khususnya pencemaran alam sekitar yang melampau. Pencemaran udara akibat debu bauksit begitu teruk hingga menyebabkan Kuantan digelar Planet Marikh kerana disaluti debu merah di sepanjang lokasi aktiviti perlombongan dan pengangkutan bauksit. Bukan itu sahaja, perairan turut menjadi merah berpunca daripada tanah merah yang mengalir ke dalam laut daripada stok simpanan bauksit di pelabuhan.

Pergerakan lori-lori keluar masuk dari kawasan perlombongan bertali arus sampai ke tengah malam selain dipandu laju dan berbahaya hingga mengabaikan muatan menyebabkan ada yang tertumpah di atas jalan. Lebih malang, kerajaan mengalami kerugian dianggarkan bernilai ratusan juta ringgit akibat ketirisan hasil dan cukai setiap tahun.

Sebab itulah isu tersebut terus menerus menjadi tajuk utama dalam media dengan topiknya menjurus kepada soal rasuah dan menuding ke arah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Namun begitu, SPRM terlebih dahulu menghidu dan ‘menjengah’ kawasan terbabit setelah menerima aduan serta maklumat daripada pelbagai pihak. Operasi bermula dengan kaedah risikan, disusuli beberapa siri tangkapan melibatkan beberapa pihak berkaitan. Hinggalah akhirnya seramai empat kakitangan Pejabat Tanah dan Galian Kuantan (PTG) termasuk seorang pegawai kanannya didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan atas pertuduhan meminta dan menerima wang rasuah daripada pelombong bauksit tidak berlesen bagi melindungi kegiatan haram tersebut daripada diambil sebarang tindakan penguatkuasaan.

Namun begitu bagi SPRM, pasca operasi merupakan tempoh lebih penting bagi memastikan perkara sama tidak berulang pada masa akan datang. Sehubungan itu, SPRM menerusi Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan (BPMP) melakukan pemeriksaan terhadap amalan, sistem dan tatacara kerja berkaitan kegiatan mengeksport bauksit di negeri itu.
Selaras dengan peranannya untuk menjalankan pemeriksaan dan perundingan bagi mengatasi kelemahan-kelemahan dalam amalan, sistem dan tatacara kerja sesebuah organisasi di sektor awam dan swasta, beberapa cadangan penambahbaikan untuk memperketat sistem dan prosedur kerja diperkenalkan.

KOD BAR

BPMP memberikan cadangan kepada PTG negeri untuk menambah baik Borang 13D atau doket dengan mewujudkan satu sistem kod bar bertujuan mengesan ketulenan borang serta semakan data pelombong dalam mengatasi isu penipuan dan pemalsuan dokumen. Sebelum ini, doket tersebut boleh dimiliki oleh pengusaha lombong dan hanya dikenakan bayaran sebanyak RM1. Bagaimanapun, ada dalam kalangan individu yang memainkan peranan sebagai orang tengah bertindak menjual dokumen tersebut kepada pelombong bauksit tidak berlesen.
Modus operandi mereka adalah dengan menjual Borang 13D dengan kadar antara RM100 hingga RM200 kepada pengusaha lombong haram bagi tujuan pengangkutan bahan mineral terbabit. Borang tersebut hanya boleh digunakan untuk satu perjalanan, dibawa oleh pemandu lori yang mengangkut bauksit dari kawasan simpanan ke pelabuhan serta perlu ditunjukkan kepada penguat kuasa sekiranya menjalani pemeriksaan. Ia juga perlu disahkan (dicop) di pelabuhan bagi tujuan pengiraan masuk untuk pembayar royalti.
Ekoran itu, Borang 13D telah ditambah baik menggunakan kertas khas daripada Percetakan Nasional Malaysia Berhad dengan mempunyai ciri-ciri keselamatan serta penggunaan kod respons pantas (QR) yang mengandungi maklumat pemegang Pajakan Melombong.

EMINERAL

Pindaan turut dilakukan terhadap Peraturan-Peraturan Mineral 2005 yang menetapkan permohonan untuk mendapatkan Borang 13D boleh dibuat kepada PTG sahaja dan diproses menerusi eMineral secara dalam talian. Berdasarkan siasatan, SPRM mendapati segelintir kakitangan PTG negeri rancak ‘memborong’ dokumen tersebut bagi mendapatkan keuntungan haram hasil daripada permintaan dan penerimaan rasuah daripada pelombong tidak berlesen. Bayangkan jika satu borang dijual RM100, sudah cukup mengaburi mata mereka yang terlibat.
Penambahbaikan dengan mewujudkan sistem eMineral mampu mengatasi masalah peniruan dokumen secara tidak sah. Perkara itu dapat dilihat daripada statistik penguatkuasaan yang dijalankan oleh PTG negeri dalam tempoh lima tahun di mana sebanyak 62 kes direkodkan pada 2015 berbanding 2018 (3 kes) dan 2019 (2 kes).

KLAUSA BAHARU

Selain itu, PTG Pahang membuat pindaan terhadap Borang 13D dengan memasukkan klausa kesalahan dan denda sebagai peringatan agar tidak melakukan sebarang kesalahan seperti mana disyorkan oleh BPMP. Klausa yang dimasukkan adalah berdasarkan Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001 di bawah Perenggan 165(1)(f).
Sebarang ketidakpatuhan kepada klausa ini, seseorang yang disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. Sekiranya terdapat kesalahan dalam dokumen terbabit, ia dibawa ke timbalan pendakwa raya untuk persetujuan kompaun. Kaedah berkenaan dapat mempercepatkan tindakan penguatkuasaan terhadap pemegang pajakan.

PERMIT
Kes-kes penyelewengan dan salah guna kuasa sebelum ini berlaku disebabkan tiadanya pemantauan menyeluruh di peringkat awal. Dengan adanya ruang dan peluang serta beranggapan penguatkuasaan yang dilakukan tidak efektif, individu terbabit mampu mengaut keuntungan lumayan daripada pelombong haram. Selaras dengan cadangan BPMP, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (kini Kementerian Tenaga dan Sumber Asli) memperkenalkan mekanisme pemantauan ke atas pegawai yang mengendalikan sistem eBMG Permit bagi permohonan permit kelulusan approved permit (AP).

Langkah tersebut sekali gus mengurangkan risiko dan peluang berlakunya salah guna kuasa dan penyelewengan dalam kalangan pegawai-pegawai yang terlibat. Pemantauan terhadap eBMG Permit dilaksanakan oleh pentadbir sistem yang dikawal selia oleh kementerian bagi menguruskan pengeksportan mineral dan bahan batuan. Kementerian bersama PTG negeri telah memperhalusi dan memperketatkan syarat-syarat skim operasi perlombongan (OMS) dan skim pengendalian melombong bauksit bagi memastikan pelombong mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) Aktiviti Perlombongan dan Pengeksportan Bauksit Negeri Pahang yang berkuat kuasa 5 September 2019. Kegagalan pengusaha lombong menyediakan pusat pengumpulan bauksit yang teratur telah meninggalkan banyak kesan negatif kepada alam sekitar termasuk pencemaran udara dan air. Bagi memastikan masalah tersebut dapat diatasi, prosedur pengurusan stok bauksit di pelabuhan dan kaedah pengangkutan dari tapak pengekstrakan ke pusat pengumpulan dikenal pasti dan ditetapkan. Kegagalan mematuhi garis panduan boleh menyebabkan permohonan lesen di bawah Akta Perlombongan Mineral 1994 yang dikeluarkan oleh Jabatan Mineral dan Galian tidak diluluskan atau ditarik balik.

EIA

Umum mengetahui, masalah alam sekitar yang berlaku di Kuantan beberapa tahun lalu merupakan petunjuk bahawa perlombongan berpotensi sebagai suatu sumber hasil negara boleh mengakibatkan pencemaran alam sekitar yang serius melainkan ia diselenggara dengan baik. Sekiranya tidak dapat diuruskan dengan sempurna, segala usaha untuk menjadikan bauksit sebagai salah satu sumber ekonomi penting dalam negara dianggap gagal dan sia-sia. Bagi mengekang permasalahan tersebut, pindaan dibuat ke atas Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015 dengan memasukkan aktiviti perlombongan sebagai salah satu aktiviti yang memerlukan kajian penilaian impak alam sekitar (EIA). Ia juga selaras dengan SOP aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit negeri. Hasil daripada pindaan yang dilaksanakan, aduan berkaitan bauksit menunjukkan penurunan. Berdasarkan statistik Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, peratusan aduan menurun sebanyak 96.9 peratus manakala 2019 tidak terdapat apa-apa aduan berbanding 32 aduan pada 2015.

PENULIS ialah Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya