Bubar DUN Sabah: Sah atau tidak? - Utusan Malaysia

Bubar DUN Sabah: Sah atau tidak?

MOHD. Shafie Apdal mengumumkan pembubaran DUN Sabah dalam sidang akhbar khas di Kota Kinabalu, 30 Julai lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh Salleh Buang

Politik Sabah bergolak lagi dan sejarah silam seolah-olah berulang. Pada 7 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menetapkan semalam untuk menentukan sama ada keputusan Yang Dipertua Sabah (YDP) membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Julai lalu adalah justiciable (boleh diadili atau dibicarakan di mahkamah). Pesuruhjaya Kehakiman, Leonard David Shim menetapkan tarikh itu selepas mendengar permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman terhadap keputusan membubarkan DUN.

Permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman itu dibuat Tengku Fuad Ahmad, iaitu peguam bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Permohonan difailkan pada 4 Ogos lalu. Tengku Fuad memberitahu wartawan, mahkamah menetapkan 10 Ogos untuk Peguam Besar Negeri Sabah membuat hujahan bertulis bagi pihak responden dan 12 Ogos bagi pihaknya memfailkan hujahan balas bagi pihak pemohon.

PEMBUBARAN

Matlamat permohonan semakan kehakiman adalah bagi mahkamah membuat keputusan sama ada YDP Tun Juhar Mahiruddin (responden pertama) telah bertindak mengikut undang-undang sewaktu membubarkan DUN atas nasihat Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, iaitu responden kedua. Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu semalam menangguhkan keputusan ke 21 Ogos ini.

Jika mahkamah putuskan tindakan YDP betul menepati kehendak undang-undang, maka pembubaran DUN adalah sah dan pilihan raya negeri perlu diadakan. Andainya tindakan YDP menyalahi undang-undang, maka pembubaran DUN adalah tidak sah dan Musa Aman berpeluang menemui YDP dan meminta untuk dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Dalam permohonan semakan kehakiman itu, Musa menamakan Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai responden ketiga dan kerajaan negeri sebagai responden keempat.

Tengku Fuad menyatakan, alasan utama permohonan semakan kehakiman adalah YDP tidak dinasihati secara betul oleh Mohd. Shafie dalam menggunakan kuasanya untuk membubarkan DUN di bawah Perlembagaan negeri.

Pada 30 Julai lalu, Mohd. Shafie mengumumkan yang dia menerima kebenaran Tun Juhar untuk membubarkan DUN berkuat kuasa serta-merta bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri dalam tempoh 60 hari. Mengikut Musa, sewaktu Mohd. Shafie mengumumkan pembubaran DUN itu, dia telah pun mendapat sokongan 32 ADUN untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.
Katanya lagi, sehari sebelum itu, iaitu 29 Julai, dia telah pun memiliki 32 surat akuan bersumpah daripada wakil-wakil rakyat untuk memilihnya sebagai ketua menteri yang baharu.

KESESUAIAN

Istilah justiciability bermakna kesesuaian untuk semakan kehakiman sesuatu keputusan pentadbiran atau kelas keputusan (suitability for judicial review of a particular administrative decision or class of decisions). Berasal daripada common law, prinsip ini bertujuan memelihara imbangan antara peranan mahkamah dan eksekutif.

Dalam kes Teh Guan Hong lwn. Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (2015), Mahkamah Rayuan menyatakan, antara keputusan mahkamah enggan menyemak atau membicarakan adalah keputusan yang ada kaitan dengan dasar kerajaan atau keputusan politik.

Dalam kes itu, Mahkamah Rayuan memetik keputusan House of Lords dalam kes CCSU lwn. Minister for the Civil Service [1984] di mana dinyatakan, suatu isu itu dianggap non-justiciable (tidak boleh dibicarakan atau didengar oleh mahkamah) apabila institusi mahkamah atau prosedur mahkamah tidak sesuai (ill-suited) untuk membuat keputusan mengenainya disebabkan antara lain, tiada kriteria mencukupi untuk menentukan secara kehakiman suatu pertikaian (lack of satisfactory criteria for a judicial determination of the dispute at hand).

MERIT

Dalam kes Tengku Muhammad Fakhry Petra Ibni Sultan Ismail Petra lwn. Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan & Ors [2010], Hakim Mohamed Ariff Md. Yusof menyatakan, mahkamah tidak boleh mendengar isu yang ada kaitan dengan urusan istana, kuasa Sultan dan sebagainya. Hakim menambah, sekiranya pertikaian itu boleh diselesaikan menerusi satu prosedur alternatif yang lebih sesuai, mahkamah tidak boleh mendengarnya.

Dalam kes antara Musa dan 32 ADUN (sebagai pemohon) dan YDP Sabah dan tiga responden, isu justiciability perlu diputuskan terlebih dahulu oleh mahkamah. Saya difahamkan, bagi kes semalam, mahkamah akan mendengar hujah lisan oleh peguam bagi kedua-dua pihak sebelum membuat keputusan. Andainya mahkamah memutuskan non-justiciable, kes akan terhenti di situ sahaja. Sebaliknya, sekiranya mahkamah memutuskan kes ini justiciable, mahkamah boleh mula mendengar merit kes (mungkin pada hari sama atau pada satu tarikh lain). Hanya setelah mahkamah menerima keterangan dan mendengar hujah daripada kedua-dua pihak, barulah mahkamah boleh memutuskan sama ada YDP telah bertindak mengikut undang-undang apabila membubarkan DUN Sabah ataupun sebaliknya. Beban pembuktian pemohon dalam kes ini adalah atas imbangan kebarangkalian.

Sama-samalah kita tunggu perkembangan berikutnya.

DATUK Salleh Buang ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya