fbpx

Patuh syariah: Kenapa ‘panas’?

  • Oleh ROSALINDA MD SAID
  • 29 Julai 2020, 2:53 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERKUAT kuasa awal bulan ini, kerajaan negeri Terengganu melaksanakan peraturan pengasingan tempat duduk lelaki dan wanita bukan mahram di semua pawagam. Peraturan mengikut Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan negeri itu bagaimanapun tidak mengasingkan mereka yang berkeluarga.

Suami isteri, adik-beradik, ibu bapa, anak-anak mahupun penjaga kanak-kanak di bawah umur masih boleh duduk bersama dalam zon keluarga yang disediakan dengan syarat mengemukakan dokumen sokongan sebagai bukti.

Selain pengasingan penonton bukan mahram, garis panduan turut merangkumi tiada tayangan sepanjang bulan Ramadan di samping tutup pada Khamis bermula pukul 6 petang dan hanya beroperasi semula pada Jumaat, 3 petang. Kesemuanya telah dilaksanakan penguatkuasaanya sebelum ini.

Perkembangan terbaharu itu sekali gus menjadikan Terengganu kekal sebagai perintis dalam membangunkan sektor hiburan, kebudayaan, sukan dan pelancongan yang patuh syariah.

Walaupun orang bukan Islam tidak dipaksa mematuhi garis panduan tersebut tetapi mereka digalakkan untuk meraikannya.

Namun, ketika kebanyakan rakyat Terengganu akur dan menyokong penuh peraturan baharu itu, wujud segelintir pihak luar yang kurang senang dengan langkah pengasingan tersebut.Kononnya menjejaskan budaya majmuk di Malaysia.

Malah, tindakan penguatkuasaan yang digerakkan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) turut didakwa sebagai ‘jumud’, konon memberi imej buruk kepada Terengganu yang sinonim dengan slogan Negeri cantik, budaya menarik dan orangnya baik-baik.

Kebimbangan tidak berasas itu turut membawa kepada gesaan campur tangan Kerajaan Persekutuan untuk membatalkan pelaksanaan peraturan tersebut.

Tentunya keputusan yang dibuat kerajaan negeri telah mengambil kira populasi rakyat yang lebih 95 peratus adalah Islam.

Jika soal pengasingan penonton bukan mahram sudah ada yang ‘panas’, bayangkan sekiranya kerajaan negeri menutup terus operasi pawagam. Bagaimanapun, usaha ini mungkin tidak akan tercapai tanpa kerjasama dan sokongan penuh pengusaha pawagam, Lotus Five Star Cinemas (LFS) Kuala Terengganu yang muncul sebagai pawagam pertama di Malaysia dalam melaksanakan

pengasingan tempat duduk mengikut jantina bukan mahram.

Hormatilah pendekatan hiburan patuh syariah yang dilaksanakan di Terengganu kerana menjadi tanggungjawab sebuah kerajaan untuk memastikan rakyatnya terpelihara dan hidup dalam keharmonian.

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia di Terengganu.

Dikemaskini pada

BERITA BERKAITAN